#1826: Menziarahi Saudara Ketika Masih Dalam Iddah

Soalan :

Mohon penjelasan. Boleh ke ibu saya yang dalam iddah kematian suami keluar bermusafir menziarahi kakaknya  di negeri lain dan bermalam di sana?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal dunia. Justeru, Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Wanita yang kematian suami, wajib berada dalam idah selama 4 bulan 10 hari. Ini adalah titah perintah al-Quran dan al-Sunnah. Hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika beliau mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh tersebut. Firman Allah SWT :   

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُر وَعَشۡراۖ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari”.

Surah al-Baqarah : 234

Adapun bagi yang mengandung dan melahirkan anak, Allah berfirman :

وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مِنۡ أَمۡرِهِۦ يُسۡرا

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh ‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”

Surah al-Talaq : 4

Wanita dalam ‘iddah kematian suami wajib berada di rumah dan tidak meninggalkannya tanpa alasan yang dibenarkan syarak.Ini berdasarkan hadis Furai’ah binti Malik yang mana Rasulullah s.a.w memerintahkannya kekal di rumahnya sehingga selesai tempoh ‘iddah. Sabda Nabi s.a.w kepadanya:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: “Kekal di rumah kamu sehingga habis tempoh ‘iddah”

(Riwayat Abu Daud: (2300), al-Tirmizi (1204).

Hadis ini menyatakan bahawa suami kepada Sahabiah ini meninggal dunia dan dia ingin berkabung di tempat yang lain. Maka Nabi SAW  memberitahunya bahawa Allah memerintahkan supaya dia tinggal di rumahnya sehingga berakhirnya ‘iddah. Hadis ini juga menyatakan bahawa wanita yang telah kehilangan suami wajib menjalani iddah dan masa berkabungnya di rumah di mana tempat dia tinggal bersama suaminya dahulu.Dia tidak dibenarkan berpindah daripadanya sehingga mencapai tempoh yang ditetapkan (tempoh ‘iddah) iaitu sekiranya dia hamil dia perlu menunggu sehingga melahirkan anak  dan sekiranya tidak hamil dia harus menunggu selama 4 bulan dan 10 hari. Yang demikian merupakan iddah bagi wanita yang kehilangan suami.[1]

Berkata Imam al-Qadhi Abu Syuja`:

وَعَلَى المتَوَفَّى عَنْهَا زُوْجُهَا وَالمبْتُوتَة مُلَازَمَةُ البَيْتِ إِلَّا لِحَاجَةٍ

Maksudnya: Ke atas wanita yang kematian suaminya dan yang ditalak bain, wajib tinggal di rumah dan tidak keluar melainkan dengan hajat.

Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Penyusun matan (yakni Qadhi Abu Syuja`) menggunakan kalimah hajat untuk memberitahu bahawa keperluan yang bersifat darurat lebih lagi utama untuk pengecualian, seperti keluar kerana takut risiko kebinasaan dan kerosakan terhadap dirinya, atau terhadap hartanya, atau terhadap anaknya daripada kebinasaan dan lemas, maka harus baginya untuk berpindah kerana darurat yang menuntutnya kepada itu, dan haram keluarnya dia tanpa hajat seperti keluar untuk menziarahi (orang sakit), mengunjungi sahabat handai, dan berniaga.” (Lihat, Al-Iqna’ ,2/473)

Hikmah `Iddah

Terdapat beberapa hikmah pensyariatan `iddah kepada wanita Islam.  Antara hikmah tersebut ialah:

  1.             Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwininya. 
  2.           Bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku.  Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk kepadaisterinya.

iii.           Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu.  Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan  tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.  Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.

Menjawab bagi persoalan di atas, setelah meneliti pandangan para ulama kami berpandangan hukum menziarahi saudara ketika masih dalam tempoh ‘iddah adalah tidak dibolehkan kecuali terdapat keperluan yang mendesak. Hal ini kerana wanita yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  • Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, berhias, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
  • Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat seperti membeli keperluan makanan dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.

Riwayat al-Bukhari (5338)

Wallahua’lam

[1] https://hadeethenc.com/ar/browse/hadith/58164

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H