#1878: Lembu Besar Belum Cukup Dua Tahun atau Gugur Giginya Sebagai Haiwan Korban

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Lembu besar belum cukup dua tahun atau belum gugur giginya, adakah boleh dijadikan sebagai haiwan korban? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Haj: 34) 

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Selain daripada itu, Imam al-Baghawi juga ada menyatakan, lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Selain itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah berkenaan syarat-syarat haiwan korban. Binatang korban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah diqiaskan kepada kempat-empat kecacatan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/234).

Selain daripada itu, disyaratkan bagi haiwan korban tersebut tidak kurang daripada umur minimum, dan ia adalah berbeza-beza mengikut jenisnya. Bagi umur unta yang hendak dijadikan sebagai korban disyaratkan tidak kurang daripada lima tahun dan telah masuk tahun keenam. Manakala umur lembu dan kambing (ma‘iz) yang hendak dijadikan sebagai korban pula disyaratkan tidak kurang daripada dua tahun dan telah masuk tahun ketiga. Seterusnya bagi umur biri-biri (dha’nu) yang hendak dijadikan sebagai korban pula disyaratkan tidak kurang daripada setahun dan telah masuk tahun kedua melainkan dibolehkan untuk menyembelihnya sebagai korban sebelum cukup setahun apabila telah tanggal gigi hadapannya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481; al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Keharusan menyembelih biri-biri tersebut adalah berdasarkan kepada hadith:

ضحُّوا بالجذَعِ منَ الضأْنِ فإنّهُ جائِزٌ

Maksudnya:Sembelihlah sebagai korban dengan jaza‘ (iaitu yang berumur 8 ke 9 bulan) daripada biri-biri, kerana hal itu dibolehkan.

Riwayat Ahmad (27072) dan al-Tabarani (397)

Hal ini juga berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah R.A berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نِعْمَتِ الأُضْحِيَّةُ الْجَذَعُ مِنَ الضَّأْنِ

Maksudnya: Biri-biri yang paling baik dibuat korban ialah yang berumur 8 ke 9 bulan.

Riwayat al-Tirmizi (1499) dan Ahmad (9739)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لا تَذْبَحوا إلا مُسِنَّةً، إلا أن يَعسُرَ عليكم فتذبَحوا جَذَعةً من الضَّأن

Maksudnya:Janganlah kamu menyembelih (sebagai haiwan korban) melainkan musinnah, kecuali kamu susah untuk mendapatkannya maka sembelihlah anak biri-biri (iaitu jaza‘ah yang telah tanggal gigi hadapannya yang berumur 8 ke 9 bulan).

Riwayat Muslim (1963) dan Abu Daud (2797)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, musinnah ialah thaniyyah (umur tertentu) dan ke atas bagi unta, lembu dan kambing. Ini jelas menunjukkan bahawa tidak menyembelih korban dengan jaza‘ selain daripada biri-biri dalam apa-apa keadaan sekalipun. Perkara ini telah disepakati oleh ulama sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh. Namun al-‘Abdari dan selainnya daripada kalangan ashab kami menukilkan daripada al-Auza‘i yang berpendapat bahawa sah korban dengan jaza‘ daripada unta, lembu, kambing (ma‘iz) dan biri-biri, serta dinukilkan juga perkara ini daripada ‘Ata’.

Adapun jaza‘ daripada biri-biri (dha’nu), mazhab kami (syafi‘i) dan mazhab ulama keseluruhannya berpendapat ia adalah dibolehkan, tidak kira ada haiwan selainnya (sebagai ganti) ataupun tidak. Mereka juga menukilkan daripada Ibn Umar dan al-Zuhri yang berpendapat tidak sah korban dengan jaza‘ daripada biri-biri apabila ada haiwan lain sebagai gantinya. Kedua-duanya berhujah berdasarkan kepada zahir hadith ini.

Walau bagaimanapun, jumhur ulama memahami hadith ini sebagai suatu galakan dan keutamaan (afdhaliyyah). Dalam erti kata lain, digalakkan (sunat) untuk kamu tidak menyembelih sebagai korban melainkan musinnah (yang cukup umurnya). Akan tetapi jika kamu susah untuk mendapatkannya, maka boleh menyembelih jaza‘ah daripada biri-biri. Jadi, di sana tidak terdapatnya larangan yang jelas bagi jaza‘ah daripada biri-biri dan ia tidak sah bagi suatu keadaan. Sebaliknya umat telah bersepakat bahawa hadith tersebut tidak difahami dengan zahirnya semata-mata kerana jumhur ulama membolehkan untuk korban dengan jaza‘ daripada biri-biri dengan adanya haiwan lain selainnya (sebagai ganti) ataupun tidak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/117).

Umur thaniyyah atau musinnah bagi unta ialah genap lima tahun dan sudah masuk tahun keenam. Manakala bagi lembu pula ialah genap dua tahun dan sudah masuk tahun ketiga, dan bagi biri-biri pula ialah genap setahun dan sudah masuk tahun kedua. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Udhiyyah, hlm. 62).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan di atas, kami berpendapat bahawa lembu yang umurnya kurang dari dua tahun tidak sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat sah haiwan korban sekalipun saiznya lebih besar daripada lembu yang lain. Syarat sah bagi haiwan korban lembu selain selamat daripada kecacatan yang mengurangkan dagingnya hendaklah berumur tidak kurang daripada dua tahun dan telah masuk tahun ketiga.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H