#2096: Bekerja Di Syarikat Yang Meraikan PRIDE Month

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja di sebuah syarikat pembuatan makanan MNC. Branch di Malaysia mengeluarkan produk yang halal tetapi ada branch di luar negara yang mengeluarkan beer. Dan syarikat ini juga terang-terangan menyokong golongan LGBTQ+? Sebagai contoh melaksanakan PRIDE Month. Apakah hukumnya jika berterusan bekerja di syarikat ini?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ‎﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Mu’minun: 5-7)

Surah ini dimulakan dengan penegasan bahawa orang yang beriman  ialah golongan yang pasti memperoleh kejayaan dan kebahagiaan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/461) Diterangkan enam ciri orang beriman yang bakal mendapat jaminan kejayaan. Salah satunya adalah mereka yang menjaga kemaluan daripada melakukan perbuatan zina. Al-Tabari menyatakan bahawa maksud (فُرُوجِهِمْ) adalah kemaluan orang lelaki iaitu qubul mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/10) Allah SWT melarang orang beriman melepaskan syahwatnya melainkan hanya terhadap isteri mereka yang dihalalkan oleh Allah SWT kepada mereka (kaum lelaki) melalui pernikahan dengan cara yang diharuskan. Demikian juga terhadap hamba-hamba perempuan yang mereka miliki. Mereka tidak dicela sekiranya mereka melakukan demikian. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/10) Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak menjaga kemaluannya dengan melakukan perbuatan zina, perlakuan homoseksual maka mereka ialah orang yang telah melampaui sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT kepada apa yang diharamkan-Nya, dan mereka ialah orang yang berani menceroboh kawasan yang diharamkan oleh-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 547) ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah menyatakan bahawa gesaan untuk menjaga kemaluan dalam ayat ini dikhususkan kepada lelaki, kerana arahan menjaga kemaluan bagi para wanita telah dikhususkan dalam ayat 35 surah al-Ahzab. (Lihat Ma’arij al-Tafakkur wa Daqa’iq al-Tadabbur, 14/419)

Terlebih dahulu kami terangkan maksud PRIDE Month. PRIDE Month atau Bulan Kebanggaan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer (LGBTQ) kini disambut setiap tahun pada bulan Jun untuk menghormati Pemberontakan Stonewall 1969 di Manhattan. Pemberontakan Stonewall adalah titik tolak bagi Pergerakan Pembebasan Gay di Amerika Syarikat. 

Di Amerika Syarikat, Ahad terakhir pada bulan Jun pada mulanya disambut sebagai “Hari Kebanggaan Gay,” tetapi hari sebenar adalah fleksibel. Di bandar-bandar utama di seluruh negara, “hari” tidak lama lagi berkembang untuk merangkumi siri acara selama sebulan. 

Kini, perayaan termasuk perarakan kebanggaan, berkelah, parti, bengkel, simposium dan konsert, dan acara Bulan Kebanggaan LGBTQ menarik berjuta-juta peserta di seluruh dunia. Peringatan diadakan pada bulan ini untuk ahli komuniti yang telah mati kerana jenayah kebencian atau penyakit HIV/AIDS. Tujuan bulan peringatan ini adalah untuk mengiktiraf kesan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender terhadap sejarah tempatan, nasional dan antarabangsa.

Pada tahun 1994, gabungan organisasi berasaskan pendidikan di Amerika Syarikat menetapkan Oktober sebagai Bulan Sejarah LGBT. Pada tahun 1995, resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Persatuan Pendidikan Kebangsaan memasukkan Bulan Sejarah LGBT dalam senarai bulan peringatan. Hari Kemunculan Kebangsaan (11 Oktober), serta “March on Washington” yang pertama pada tahun 1979, diperingati dalam komuniti LGBTQ semasa Bulan Sejarah LGBT.

Sejujurnya, saya berpendapat dalam isu saudara yang bekerja di sebuah syarikat pembuatan makanan MNC di Malaysia di mana ia mempunyai status halal adalah harus untuk bekerja di sana. Sementelahan lagi, ia tidak melibatkan dengan LGBTQ+ berlainan dengan syarikat yang sama di luar negara. 

Walaupun begitu, dalam bab warak sayugia saudara memilih tempat kerja yang tidak ada sebarang syubhah dan keraguan. Ini kerana, akan merasakan jiwa dan hati saudara aman serta tenang. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى المُشْتَبِهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghindarkan diri daripada perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga diberi rezeki yang halal lagi diberkati.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H