#2106: Adakah Dibolehkan Menyambung Kembali Puasa Setelah Mengambil Ubat?

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan berkenaan puasa. Soalan ini khusus untuk pesakit yang membuat pemindahan organ. Penerima organ mesti makan ubat anti rejection pada masa yang ditentukan, sebagai contoh, makan pada pukul 8 pagi dan 8 malam. Ubat ini mesti dimakan untuk mengelak badan penerima menolak organ yang diterima. Persoalannya, adakah pesakit transplan (penerima organ) dibenarkan untuk menyambung puasa setelah mengambil ubat transplan jikalau masa ubat tersebut tidak boleh ditukar dan ubat tersebut berbentuk pil? Mohon bantuan pencerahan dan terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Transplan ialah  pemindahan yang melibatkan organ/tisu seperti buah pinggang yang masih lagi berfungsi daripada penderma (yang masih hidup atau meninggal dunia) kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ.

Terdapat 2 jenis pendermaan iaitu:

  •       Pendermaan semasa hidup (Living Organ Donation)

Pendermaan Semasa Hidup buat masa ini terhad kepada ahli keluarga terdekat (second degree ke bawah seperti ibubapa, adik-beradik, anak-anak, nenek, datuk, cucu, ibu dan bapa saudara, sepupu dan suami/isteri). Selain daripada itu, proses ini harus mendapat kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC).

 

  •       Pendermaan selepas kematian (Deceased Organ Donation)

Di dalam kes ini, organ dikeluarkan daripada penderma yang mendaftar sebagai penderma organ selepas kematian. Ahli keluarga si mati perlu memberi keizinan untuk menderma organ dari penderma ini. Seseorang yang telah meninggal dunia boleh mendermakan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan juga tisu seperti kornea (mata), kulit, injap jantung dan tulang. [1]

Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan di sini terlebih dahulu perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti berikut :

  • Makan dan minum dengan sengaja maka hukumnyab batal puasa sama ada makan sedikit atau banyak.
  • Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Sengaja muntah.
  • Persetubuhan. Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
  • Merancap. Yakni mengeluarkan air mani.
  • Datang darah haid atau nifas.
  • Gila dan murtad.  (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/86)

Kembali kepada persoalan di atas, dalam Mazhab Syafie, antara perkara yang membatalkan puasa adalah apabila sampai al-‘ain kepada jauf daripada rongga yang terbuka seperti yang dijelaskan di atas. Al-‘ain adalah sesuatu yang zahir dapat dilihat walaupun kecil seperti bijan, tidak boleh dimakan secara adatnya seperti batu kecil dan benang. Berbeza dengan sesuatu yang meninggalkan kesan seperti kentut yang dikesan dengan bau, kepanasan dan kesejukan air yang dikesan dengan rasaan, maka ia tidak dikira.

Al-Jauf di sisi mazhab Syafie adalah apa yang melepasi kerongkong hingga ke perut dan usus dalam, berbeza dengan apa yang sampai tanpa melalui jauf seperti ubat untuk luka pada daging betis atau peha, walaupun sampai ubat itu ke dalam otak atau daging, begitu juga jika dimasukkan besi ke dalamnya, tidak batal puasa. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/181)

Dalam isu ini, sekiranya pesakit mengambil ubat dalam tempoh puasa iaitu selepas terbitnya fajar sehingga terbenam matahari maka puasa tersebut terbatal kerana telah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Justeru, kami katakan disini puasa tersebut tidak boleh disambung kerana ia telah terbatal.

Syara’ telah memberi kelonggaran kepada golongan yang tidak mampu berpuasa untuk meninggalkan puasa akibat terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Oleh yang demikian, dalam situasi seperti ini kami syorkan supaya meninggalkan puasa dan menggantikan balik setelah mampu untuk berpuasa. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT :

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Jika sekiranya penyakit tersebut tidak sembuh dan berterusan maka bolehlah bayar fidyah mengikut hari yang ditinggalkan. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita semua.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beribadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahua’lam

[1] https://mybuahpinggang.com/pengenalan-transplan/

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H