Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan perayaan Thaipusam. Saya adalah seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), dan telah turun bertugas untuk first aid standby beberapa kali di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam. Begitu juga dengan pasukan kesihatan yang lain seperti KKM. Tugasan kami seperti biasa, adalah untuk menjaga keselamatan dan merawat mangsa jika ada apa-apa kejadian.
Persoalan saya ialah, adakah kita sebagai orang beragama Islam, boleh bertugas dalam perayaan agama lain? Adakah kita sebagai petugas beragama Islam, dianggap merelakan dan memudahkan urusan mereka untuk menjalankan upacara keagamaan mereka? Saya cuba mencari jawapan ini tapi saya tak jumpa. Sebab itu saya tanya Dato’ Seri. Selain itu, soalan ini pernah diajukan kepada saya, dan saya tak ada jawapan yang konkrit untuk perkara ini. Semoga Dato’ Seri baca mesej ini. Sekian terima kasih Dato’ Seri.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah al-Maidah: 2)
Al-Sabuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)
Hukum Membantu Orang Bukan Islam
Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan Islam, bantuan tersebut terbahagi kepada dua iaitu:
- Kebajikan sosial dan Kemanusiaan
Dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.
Riwayat al-Tirmizi (1987)
Kalimah manusia di dalam hadith ini dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa, dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.
Begitu juga firman Allah SWT yang menyebut:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah Al-Mumtahanah: 8)
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan berlaku baik kepada mereka serta berbuat adil terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 8/90)
Daripada Asma’ binti Abi Bakar R.Anha, katanya:
قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْتُ: وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُ أُمِّي؟ قَالَ: «نَعَمْ صِلِي أُمَّكِ».
Maksudnya: Ibuku datang kepadaku – dan saat itu dia masih musyrik – pada zaman Rasulullah SAW. Aku meminta fatwa kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan: “Sesungguhnya ibuku datang dan dia penuh harapan (untuk mendapatkan baktiku); apakah aku harus menyambung silaturrahim dengan ibuku?” Baginda bersabda: “Ya. Sambungkan silaturrahim dengan ibumu.”
Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003)
Daripada Zubair RA, katanya:
قَدِمَتْ قُتَيلة عَلَى ابْنَتِهَا أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ بِهَدَايَا: صِنَاب وَأَقِطٌ وَسَمْنٌ، وَهِيَ مُشْرِكَةٌ، فَأَبَتْ أسماء أن تقبل هديتها تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا، فَسَأَلَتْ عَائِشَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ: (لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ) إِلَى آخِرِ الْآيَةِ، فَأَمَرَهَا أَنْ تَقْبَلَ هَدِيَّتَهَا، وَأَنْ تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا
Maksudnya: “Qutailah pernah datang menemui anak perempuannya, Asma binti Abu Bakar dengan membawa daging dhabb (biawak) dan minyak samin sebagai hadiah dan ketika itu dia wanita musyrik. Maka Asma pun menolak pemberiannya itu dan tidak memasukan ibunya ke dalam rumahnya. Kemudian Aisyah bertanya kepada Nabi SAW mengenai hal tersebut lalu Allah SWT menurunkan ayat “لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ” kemudian baginda menyuruh Asma menerima pemberian ibunya itu dan mempersilakannya masuk ke dalam rumahnya.”
Riwayat Ahmad (16111), al-Tayalisi (1744) dan al-Bazzar (2208). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (16111) menyatakan sanad hadith ini dhaif
Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan islam yang tidak memerangi umat islam adalah dibenarkan di sisi syarak. Seorang muslim yang melihat orang bukan islam yang dalam kesusahan, maka dia perlu membantu orang bukan Islam tersebut. Sebagai contoh, seorang muslim melihat seorang bukan islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan islam tersebut. Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.
- Urusan Agama Lain dan Kemaksiatan
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah menyatakan:
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّهُ لاَ يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِ أَنْ يَعْمَل لأِهْل الذِّمَّةِ فِي الْكَنِيسَةِ نَجَّارًا أَوْ بَنَّاءً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ، لأِنَّهُ إِعَانَةٌ عَلَى الْمَعْصِيَةِ، وَمِنْ خَصَائِصِ دِينِهِمُ الْبَاطِل، وَلأِنَّهُ إِجَارَةٌ تَتَضَمَّنُ تَعْظِيمَ دِينِهِمْ وَشَعَائِرِهِمْ
Maksudnya: “Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak harus si muslim bekerja untuk orang kafir zimmi (yang ada hak tinggal dalam negara Islam) di gereja mereka sebagai tukang kayu, tukang bina atau selainnya kerana ia dikira menolong maksiat (kekufuran) bahkan asas utama agama mereka batil. Larangan itu kerana ia adalah upah yang mengandungi membesarkan agama mereka dan syiar agama mereka”.Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 38/158
Hukum Melakukan Bantuan Kecemasan Bulan Sabit Merah di Rumah Ibadat Lain
Islam sentiasa menyuruh umatnya untuk melakukan kebaikan kepada semua orang, tanpa mengira status orang tersebut sama ada islam atau bukan Islam dan seumpamanya. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mana baginda menziarahi seorang kanak-kanak daripada kaum Yahudi yang sedang sakit sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: «أَسْلِمْ»، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: «الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ»
Maksudnya: “Dahulu ada seorang budak lelaki Yahudi yang bekhidmat dengan Nabi SAW, lalu dia jatuh sakit. Maka Nabi SAW datang kepadanya untuk menziarahinya dan Baginda duduk di sisi kepalanya, lalu Baginda bersabda kepadanya: “Masuklah Islam.” Lalu budak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya berkata: “Patuhilah Abu al-Qasim SAW.” Maka, beliau memeluk Islam, lalu Nabi SAW keluar dan Baginda SAW bersabda: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada api neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1356)
Imam al-Nawawi berkata: Menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit adalah diharuskan dan pengamalannya adalah dikira sebagai penghormatan kepada kenalan-kenalan sama ada daripada kalangan jiran tetangga atau kenalan rapat. Seseorang muslim yang melawat pesakit bukan Islam harus menggalakkan pesakit agar memeluk agama Islam serta menerangkan kepada mereka tentang kebaikan yang terdapat pada agama Islam. Menggesa mereka supaya menyegerakan pengislamannya sebelum berlalunya peluang untuk bertaubat. Dalam masa yang sama, mendoakan juga bagi mereka agar diberi petunjuk dan seumpamanya. (Lihat al-Azkar, hlm. 421)
Berdasarkan perbahasan di atas, merawat mangsa yang bukan islam jika ada berlakunya kecemasan atau kemalangan adalah diharuskan walaupun dia berada di rumah ibadatnya. Hal ini kerana saudara dan rakan-rakan hanya melakukan bantuan kecemasan dan kemanusiaan jika berlakunya kejadian atau kemalangan yang tidak diingini.
Selain itu, bantuan tersebut merupakan bantuan kemanusiaan yang tidak ada kaitan dengan agama yang dianutinya. Tambahan pula, bantuan tersebut bukanlah bantuan secara langsung kepada rumah ibadatnya seperti pembersihan, pembinaan dan seumpamanya.
Tambahan pula, dengan bantuan yang diberikan itu juga boleh disertakan dengan tujuan berdakwah serta mempamerkan sikap terpuji yang melambangkan imej seseorang muslim agar dapat menyentuh hati mereka kepada agama Islam.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak ada masalah sekiranya bantuan yang diberikan kepada bukan Islam dalam bentuk bantuan kemanusiaan seperti bantuan kecemasan dan kesihatan walaupun ia berlaku di rumah ibadat mereka.
Namun begitu, sekiranya bantuan tersebut melibatkan agama dan akidah seperti menyertai acara keagamaan mereka, membina atau membersihkan rumah ibadat mereka adalah dilarang di dalam Islam sejajar dengan kaedah syarak yang mengharamkan segala bentuk kesyirikan dan menegah daripada apa jua bentuk kerjasama serta bantuan yang menjurus ke arah kesyirikan. Ia bertujuan untuk menutup ruang yang menampakkan seolah-olah orang Islam mengiktiraf agama mereka. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Janganlah kamu saling membantu di atas perkara dosa dan permusuhan.
(Surah Al-Ma’idah: 2)
Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Dan janganlah kamu bekerjasama dalam dosa dan permusuhan, yang merupakan hukum sesudah kejahatan, dan permusuhan, yang merupakan penindasan terhadap manusia. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/47)
Kami syorkan beberapa perkara untuk keharmonian:
- Kalau dapat dielakkan itu jauh lebih baik kerana keluar daripada sebarang bentuk syubhah.
- Jika terpaksa bertugas maka pilihlah lokasi di luar rumah ibadat.
- Jangan sekali-kali cenderung hati dan perasaan yang terkait dengan agama dan ibadat mereka.
- Niatkan untuk menolong sesama manusia apabila berlaku kemalangan atau kecederaan. Ini juga sebahagian daripada akhlak Islam dan daripada mahasin al-Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada terlibat dengan sebarang urusan kesyirikan.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H