#2280: Paksaan Menerima Hasrat Berpoligami yang Memudaratkan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami saya memaksa saya untuk menerima hasratnya berpoligami. Dari sudut kewangan dia sememangnya berkemampuan, akan tetapi dari sudut berlaku adil dalam nafkah batin, saya tidak yakin dia mampu berlaku adil. Paksaannya ini menyebabkan saya tertekan dan mengalami anxiety disorder. Saya sendiri tidak yakin saya mampu untuk menerima baik poligami tersebut kerana saya seorang yang sangat cemburu.

Persoalannya, adakah saya berdosa kerana menolak paksaan suami untuk berpoligami. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa poligami merupakan salah satu perkara yang Allah SWT halalkan bagi para lelaki yang berkemampuan untuk menunaikan hak isteri-isterinya. Dan Allah SWT kemudiannya menyebutkan bagi mereka yang tidak mampu untuk tidak mengahwini lebih daripada seorang supaya dapat mencegah diri dari melakukan kezaliman terhadap pasangan.

Perlu juga diketahui, apabila poligami tersebut merupakan suatu perkara yang syara‘ halalkan, maka kita tidak mempunyai sebarang hak untuk menghukumkan bahawa perbuatan berpoligami adalah perbuatan yang haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 87)

Paksa Isteri Menerima Poligami

Poligami kian dimomokkan sebagai pengakhiran yang gelap buat para  isteri di luar sana, kebiasaannya para isteri akan menyatakan keberatan untuk membenarkan suami mereka berkahwin lain. Hakikatnya, pelaksanaan poligami ini jika dilakukan dengan cara yang benar dan harmoni serta dibuat dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka ianya akan membentuk sebuah institusi kekeluargaan yang lebih aman dan berjaya mencapai ketenangan.

Kami amatlah memahami perkara ini kerana perasaan cemburu untuk berbahagi kasih adalah normal, bahkan ia merupakan sifat semulajadi yang Allah SWT telah ciptakan dalam diri manusia. Terdapat beberapa kisah yang menggambarkan perasaan cemburu isteri junjungan kita Rasulullah SAW antara satu sama lain.

Antaranya, kisah cemburu Saidatina ‘Aisyah R.Anha terhadap Saidatina Khadijah R.A. Diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa ‘Aisyah R.Anha berkata: “Tidak pernah aku cemburu pada mana-mana isteri Nabi SAW seperti mana aku cemburu pada Khadijah, sedangkan aku tidak pernah bertemunya. Akan tetapi Nabi SAW sering bercerita tentangnya, dan terkadang menyembelih kambing lalu membahagikannya kepada kawan-kawan Khadijah.

Aku pernah berkata kepada Baginda SAW: ‘Seperti tiada wanita lain di dunia ini melainkan Khadijah’.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهَا كَانَتْ، وَكَانَتْ، وَكَانَ لِي مِنْهَا وَلَدٌ

Maksudnya: “Khadijah ini sekian dan sekian, dan aku dikurniakan daripadanya anak.”

Riwayat al-Bukhari (3818) dan Muslim (2435)

Berbalik kepada persoalan, dalam situasi yang dinyatakan oleh saudari yang bertanya, kami perhatikan terdapat 2 isu utama yang perlu kami bahaskan:

  • Suami tidak mampu berlaku adil dalam nafkah batin.
  • Paksaan suami memudharatkan kesihatan isteri.

1) Suami tidak mampu berlaku adil dalam nafkah batin.

Dalam keadaan ini, tidak harus bagi suami tersebut meneruskan hasratnya untuk berpoligami kerana tindakan tersebut dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kezaliman pada salah seorang isterinya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Renunglah ancaman yang telah Rasulullah SAW sebutkan tentang balasan bagi mereka yang tidak berlaku adil terhadap siteri-isterinya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ امْرَأَتَانِ، يَمِيلُ لِإِحْدَاهُمَا عَلَى الأُخْرَى، جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ أَحَدُ شِقَّيْهِ مَائِلٌ

Maksudnya: “Siapa yang mempunyai dua isteri, dan dia memberatkan salah seorang ke atas yang lainnya, maka dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan satu bahunya senget.”

Riwayat Abu Dawud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969), dan Ahmad (7936)

2) Paksaan suami memudharatkan kesihatan isteri.

Terdapat larangan yang jelas tentang mendatangkan mudharat pada orang lain, atau membalas mudharat dengan mudharat yang lebih teruk. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Paksaan terhadap isteri ini boleh menatijahkan perkara yang buruk, seperti menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu, bahkan mungkin boleh mennyebabkan konflik dengan keluarga mertua.

Telah thabit sebuah hadith daripada al-Miswar bin Makhramah R.A bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di atas minbar seraya bersabda:

إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)

Lebih parah lagi jika telah jelas mudharat yang menimpa isteri seperti diserang anxiety disorder kerana perbuatan suami yang terlalu mendesak.

Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”

Tujuan asal bagi suatu perkahwinan itu untuk mengecapi maslahat-maslahat tertentu seperti kemesraan dan kasih sayang antara suami isteri. Ini seperti mana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: “Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas.” (Lihat al-Mu‘tamad, 4/18)

Oleh yang demikian, jika poligami itu menatijahkan kehilangan maslahat perkahwinan, dan adanya keperluan untuk isteri tidak bersetuju dengan poligami tersebut kerana membawa keburukan pada isteri, maka si isteri boleh menyuarakan bantahan dan menceritakan kesan paksaan tersebut terhadap kesihatan akalnya.

Kesimpulannya

Kami katakan, hukum keharusan berpoligami bagi suami tersebut boleh berubah kepada haram atas 2 sebab yang dibicangkan:

  • Suami tidak mampu berlaku adil.
  •  Paksaan suami memudharatkan kesihatan isteri.

Oleh itu, tidak berdosa seorang isteri itu untuk menolak paksaan suami agar menerima poligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya.

Rencam kehidupan manusia mutakhir ini sebagai mana yang kita amati, suami yang ingin berpoligami terkadang-kadang boleh membawa kepada episod yang sedih di mana terpaksa menceraikan isterinya. Cita-citanya untuk bahagia tetapi yang mengundangnya keruntuhan rumah tangga. Kes seperti ini bukan satu dua kes atau terpencil tetapi amat banyak berlaku dan sering kali kita dengar. 

Nasihat kami, lakukanlah perbincangan yang matang antara kedua suami dan isteri, dan ambil juga pandangan mereka yang berpengalaman menghadapi situasi seperti ini. Kita dapat melihat banyak contoh kehidupan poligami yang berakhir dengan kebahagiaan, dan banyak juga contoh  kehidupan poligami yang berakhir dengan kesengsaraan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Amin. 

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H