Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato’ Seri terangkan tafsir ayat 3, surah al-Nur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.”
Surah al-Nur (3)
Ibn Kathir berkata: Ia merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT bahawa lelaki penzina tidaklah berpasangan kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrikah. Iaitu, menuruti kehendaknya untuk berzina kecuali wanita penzina derhaka atau wanita musyrikah yang tidak memandang haram perbuatan zina.
Demikian pula (وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ) “dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina,” iaitu derhaka kerana berzina, (أَوْ مُشْرِكٌ) “atau lelaki musyrik,” yang tidak menganggap zina sebagai perbuatan haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/165-166)
Apabila turunnya ayat ini, Nabi SAW pun membacakannya kepada Martsad bin Abu Martsad tadi, lantas Baginda mengusulkan: Janganlah kamu berkahwin dengannya! (Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan al-Tirmizi)
Ini kerana Allah SWT hanya membenarkan lelaki beriman berkahwin dengan wanita-wanita baik yang beriman, dan wanita-wanita baik daripada ahli kitab, sebagaimana diterangkan sebelum ini. Wanita-wanita yang baik ialah orang-orang suci dan terpelihara keperibadiannya. Demikian pula dihalalkan bagi lelaki Muslim berkahwin dengan syarat wanita itu suci dirinya, bukan wanita yang mencemarkan dirinya di lembah pelacuran, sebagaimana firman Allah SWT:
تُحْصِينَ غَيْرَ مُسْلِحِينَ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri. isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina.”
(Surah al-Nisa’ 24)
Sesiapa yang tidak mahu menerima dan mengingkari hukum Allah SWT jelas disebutkan di dalam al-Quran, maka jadilah dia ketika itu seorang musyrik serupa dengannya juga. Sesiapa yang mengakui hukum Allah SWT ini, diterimanya dan didukungnya, akan tetapi dia menyalahi hukum itu serta berkahwin dengan sesiapa yang diharamkan Allah SWT mengahwininya, maka dalam hal ini samalah dia seperti seorang penzina atau pelacur.
Firman Allah ini diturunkan selepas ayat yang menerangkan tentang hukuman Jild, iaitu sebat sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَجد مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ
Maksudnya: Penzina wanita dan penzina lelaki, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan!
(Surah al-Nur: 2)
Ini adalah seperti hukuman jasmani, manakala yang sebelum ini adalah seperti hukuman moral, kerana sesungguhnya pengharaman mengahwini seorang penzina, baik lelaki mahupun wanita, adalah sama seperti menyisihkan diri dari kehormatan seorang warga negara yang baik, ataupun menggugurkan kewarganegaraannya. ataupun mencegah dari mendapat sebahagian daripada perkara-perkara yang tertentu dalam kaedah-kaedah yang terkenal dalam zaman yang baru ini.
Ibn al-Qayyim Rahimahullah, dalam Ighathah al-Lahfaan (1/66-67), selepas menghuraikan pengertian ayat yang di atas berkata: Hukuman ini sudah jelas ditetapkan oleh al-Quran, dia juga selaras dengan hukum fitrah dan bertepatan dengan kehendak akal yang sihat. Ini kerana Allah SWT telah mengharamkan hamba-Nya menjadi seorang yang dayus, atau suami kepada seorang pelacur yang tidak mempunyai kehormatan diri, kerana akal itu sesuai dengan fitrah semulajadinya, memandang buruk perbuatan melacur diri itu dan menganggapnya lucah. Lantaran itu, apabila seseorang mahu berlebih-lebihan dalam memaki hamun seseorang lelaki, dia akan mengatakan: Suami wanita pelacur! Oleh kerana itulah, Allah SWT telah mengharamkan ke atas umatnya berkelakuan sedemikian.
Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Jenayah melacurkan diri yang dilakukan oleh wanita akan mengotorkan tempat tidur suami, mencacatkan keturunan manusia yang dijadikan Allah SWT untuk menyempurnakan kemaslahatan mereka, serta dihitung salah satu daripada sejumlah kenikmatan yang dianugerahkan-Nya kepada manusia. Ini kerana perzinaan akan mencampur-adukkan air mani dan meragukan keturunan. Oleh itu nyatalah bahawa ianya termasuk antara kebaikan syariat Islam, iaitu mengharamkan perkahwinan dengan wanita penzina sehingga dia bertaubat dan membersihkan dirinya, (iaitu dapat diketahui kekosongan rahimnya dengan paling sedikit dia datang haidh sekali).
Sesungguhnya wanita penzina adalah golongan wanita yang jahat. Allah SWT menjadikan perkahwinan itu sebagai sebab unuk menimbulkan kasih sayang dan belas kasihan, dan kasih-sayang itulah yang bakal menimbulkan kecintaan, maka bagaimana pula seorang wanita yang buruk kelakuannya itu akan dikasihi oleh suaminya yang baik, atau hidupnya yang jujur?
Perkataan Arab Zauj (pasangan) yang dinamakan kepada Suami disinonimkan dengan perkataan Isytibah, iaitu persamaan. Apa yang dikehendaki daripada kedua suami itu ialah “Persamaan dalam segala matlamat dan tujuan”, sedang perbalahan atau ketidaksamaan itu tidak akan kekal antara yang baik dengan yang buruk dari segi syariat mahupun logik akal. Oleh kerana itu, mustahillah akan terhasil rasa persamaan, belas kasihan, dan kasih sayang di antara kedua pasangan itu. Benarlah firman Allah SWT:
الخَبِيثَتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَتِ وَالطَّيِّبَتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَتِ
Maksudnya: “Wanita yang jahat untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat, wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik”
(Surah al-Nur: 26)
(Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 315-318)
Justeru, dalam membina rumah tangga carilah pasangan yang soleh dan solehah sebagai mana yang digesa oleh Allah dan rasul-Nya SAW. kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H