#2324: Syarat Mukjizat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh saya tahu adakah syarat mempunyai syarat-syarat tersendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukjizat ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah hanya untuk para utusan-Nya sahaja agar dapat dijadikan bukti kerasulan mereka. Hanya dengan mukjizat inilah para nabi ini membuktikan kerasulannya di hadapan kaumnya.

Biasanya mukjizat itu berupa kejadian luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh orang biasa selain rasul. Umpamanya Nabi Musa AS dapat membelah laut menjadi daratan hanya dengan tongkat mukjizatnya. Nabi Sulaiman AS diberikan kepandaian memahami bahasa binatang dan dapat menundukkan seluruh bangsa jin.

Keunggulan seperti ini belum pernah ada manusia yang dapat menandinginya.

Antara syarat-syarat mukjizat:

Imam al-Haramain al-Juwaini (419-478H) menyatakan bahawa dinamakan dalil-dalil kebenaran para nabi dengan mukjizat-mukjizat secara meluas dan secara harus.

Sesungguhnya al-Mu’jiz ialah pencipta kelemahan, khaliq al-‘ajz dan dinamakan demikian kerana dia menzahirkan dengan mukjizat itu kelemahan orang yang bukan nabi mengadakan atau mendatangkan dengan apa yang zahirkan kepada nabi.

  • Mukjizat ialah perbuatan Allah atau pada makna perbuatan dan mukjizat bukan satu sifat qadim daripada sifat-sifat Allah SWT (Lihat al-Juwaini 1948: 48). Mukjizat dikhususkan kepada orang yang mendakwa dan mengaku sebagai nabi.
  • Mukjizat adalah luar biasa. 
  • Lemah makhluk untuk menentang dan mengadakan yang seumpamadengan mukjizat.
  • Mukjizat dizahirkan kepada pendakwa kenabian dan mencabar makhluk dengan mukjizatnya untuk membuktikan kebenaran kenabiannya.
  • Mukjizat tidak membohongi dakwaan pendakwa kenabian. (Lihat al-Juwaini 1948: 49-51).

Kami katakan bahawa mukjizat tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana golongan yang menetang nabi dan rasul sekali pun mereka menghimpun seramai mungkin dan mereka yang bijak lagi handal.

Misalnya, penyihir-penyihir Firaun walaupun boleh menyihir tali menjadi ular tetapi mereka rebah apabila bertembung dengan tongkat Nabi Musa AS:

قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِمَّا أَن تُلْقِيَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ نَحْنُ الْمُلْقِينَ ‎﴿١١٥﴾‏ قَالَ أَلْقُوا ۖ فَلَمَّا أَلْقَوْا سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ ‎﴿١١٦﴾‏ ۞ وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ

Maksudnya: “Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?” Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

Surah al-A’raf (115-117)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H