#2316: Dikritik Bukan Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Islam membenarkan dikritik oleh non-Muslim @ non-Muslim yang mengajar sebagaimana yang seharusnya orang Islam berperanan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan kritikan non-Muslim kepada orang Islam terbahagi kepada dua:

  • Jika hal itu terkait dengan kehidupan dan pekerjaan maka tidak menjadi kesalahan untuk mengkritik, mengajar dan membetulkannya. Ini kerana dalam bab muamalat dan kehidupan ia berasaskan kepada kemampuan seseorang dan keilmuan. Boleh jadi orang Islam boleh manfaatkan kepakaran, ilmu dan juga hikmah yang dimiliki oleh non-Muslim untuk diikuti dan dilaksanakannya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya:Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Bahkan, kami dapati bahawa Rasulullah SAW menyanjung kepakaran dan profesional dalam bekerja. 

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

  • Jika hal terkati dengan amalan dan ibadat termasuk keimanan dan kepercayaan, maka tidak sayugia seseorang itu seperti non-Muslim mengkritik Muslim terutamanya dalam melakukan ibadat. Ini kerana, dalam ibadat adalah lebih kepada hubungan antara hamba dan Tuhannya. Jika dibenarkan kritik seperti ini, boleh membawa kepada banyak persepsi dan ketidakbenaran dari sudut kepercayaan. Contohnya, seorang non-Muslim menyuruh seorang Islam bertaubat nasuha, kerana kita telah fahami taubat nasuha ini perintah Allah SWT kepada Muslim sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”,

Surah al-Tahrim (8)

Dalam isu ini, ia adalah lebih baik ditukar daripada kalimah kritik atau mengkritik kepada pesan-memesan dengan kebaikan serta memberi peringatan. Saya tertarik dengan kisah di mana yang non-Muslim telah memelihara anak yang Islam menjadikan anak angkat tetapi dia sentiasa memerintahkan anaknya dan menyuruh agar menunaikan solat, menutup aurat, belajar mengaji al-Quran dan menjaga akhlak. Hal seperti ini, alangkah baiknya apabila dapat dizahirkan dalam kehidupan yang nyata ini.

Allah SWT mengkehendaki kita semua agar sentiasa tolong-menolong dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Tetapi, semua perkara tersebut apabila membabitkan Muslim dan non-Muslim sudah tentu mempunyai dhawabit atau peraturannya yang mesti diikuti atau dituruti.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لَمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ .

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H