#2362: Kerja Menguruskan Permohonan Lesen Minuman Keras

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai pegawai tadbir di sebuah pusat karaoke. Pekerjaan saya melibatkan urusan permohonan lesen minuman keras. Saya ingin tahu hukumnya disisi agama.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami katakan terlebih dahulu bahawa arak itu sendiri adalah haram hukumnya berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran, Allah SWT memerintahkan kita untuk menjauhinya seperti di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Bahkan setiap perkara yang terkait dengan arak hanya mendorong kepada kemurkaan dan laknat daripada Allah SWT. Sehinggakan telah datangnya sebuah hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat 10 golongan kerana arak, seperti mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ، وَسَاقِيهَا، وَبَائِعِهَا، وَآكِلُ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَى لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah melaknat sepuluh orang yang terkait dengan arak: orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakannya, orang yang memberi minumnya, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, pembelinya, dan orang yang dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295) dan Ibn Majah (3381)

Pekerjaan yang melibatkan urusan permohonan lesen minuman keras merupakan salah satu bentuk tolong menolong melakukan kemungkaran yang perlu dijauhi. Syara‘ melarang seseorang mu’min itu daripada membantu dalam melakukan perkara yang menjurus ke arah dosa dan perbuatan yang dilarang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Kewajipan meninggalkan perkara maksiat ini tidak akan tercapai melainkan dengan meninggalkan pekerjaan tersebut. Maka hukum meninggalkan pekerjaan tersebut dan mencari rezeki halal yang lain adalah wajib.

Ini berdasarkan kaedah usul fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Hal ini kerana Islam amat menitik beratkan perkara amar makruf dan nahi munkar. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya

(Surah Ali-Imran: 104)

Antara cara yang telah diajarkan sendiri oleh Nabi SAW apabila kita mendapati suatu kemungkaran, adalah dengan mencegahnya dengan 3 cara:

  • Mengubah dengan tangan, yakni kekuasaan jika kita mempunyai kemampuan.
  • Mencegah dengan lisan, dengan cara memberikan nasihat dan memperingatkan manusia tentang ancaman Allah SWT terhadap pelaku-pelaku maksiat.
  • Membenci dengan hati, sekiranya tidak mampu untuk mengubah dengan tangan atau mencegah dengan lisan.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al Khudri R.A berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim (78)

Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Qusyairi sepotong kata-kata yang disandarkan kepada Abu Ali al-Daqqaq, katanya: “Barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2)

Dalam situasi pekerjaan yang disebutkan dalam soalan di atas, kami menasihatkan saudara yang bertanya agar mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dengan ketetapan agama  dan tidak bercanggah dengan larangan syara‘. Semoga dengan usaha saudara untuk mencari rezeki dengan cara  yang halal, Allah SWT mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda dan tidak terjangkau oleh akal fikiran kita. Percayalah bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan usaha saudara tersebut.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”

Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)

Kami mendoakan agar urusan saudara yang bertanya sentiasa dipermudahkan dalam mendepani ujian ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H