#2374: Kelebihan Puasa Hari Asyura

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa kelebihan puasa hari Asyura?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kamu mulakan dengan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ، فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ». فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Nabi SAW datang ke Madinah lalu melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, maka Baginda bertanya, “Hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik. Pada hari ini, Allah menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh-musuh mereka. Musa berpuasa pada hari ini.” Baginda bersabda, “Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.” Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa pada hari ‘Asyura’.”

Riwayat al-Bukhari (2004)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani menyebut: “Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan waktu hari Asyura. Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Hari Asyura’ adalah hari ke-10 (bulan Muharram). Al-Qurtubi berkata: “Asyura’ adalah perubahan daripada perkataan aasyirah (عَاشِرَةٍ), bagi mengagungkan dan memuliakan. Pada asalnya, perkataan itu merupakan sifat untuk malam ke-10, kerana diambil daripada perkataan al-’asyr (الْعَشْرِ). Apabila dikatakan ‘hari Asyura’, maka yang dimaksudkan adalah hari malam ke-10. Hanya saja setelah diubah daripada perkataan sifat, maka didominasi oleh isim sehingga tidak memerlukan perkataan yang disifatkan, maka dihapuslah perkataan ‘malam’ sehingga lafaz ini menjadi nama tersendiri untuk hari ke-10.” (Lihat Fath al-Bari, 4/245)

Berkenaan kelebihan dan fadhilat puasa juga, kami telah menjawabnya dalam Ahkam Syar’iyyah #1065 Puasa Hari ‘Asyura’.

Antara lain, secara ringkasnya, antara kelebihan berpuasa hari ‘Asyura adalah:

  • Menghapuskan dosa setahun yang lalu

Daripada Abu Qatadah al-Ansari, katanya:

وَسُئِلَ عن صَوْمِ يَومِ عاشُوراءَ، فَقالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الماضِيَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari ‘Asyura’. Maka, Baginda menjawab: ‘Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu.’

Riwayat Muslim (1162)

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menjelaskan bahawa hadith ini merupakan dalil kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/80-81)

Selain daripada itu, guru kami Syeikh Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyebutkan, berkenaan permasalahan dosa yang dihapuskan, ada dalam kalangan ulama yang mengkhususkannya hanya kepada dosa-dosa kecil dan bukannya dosa-dosa besar. Namun, zahir nas menunjukkan kepada penghapusan dosa secara umumnya, meliputi dosa kecil dan besar. Inilah pendapat yang dipilih oleh sebahagian guru-guru kami dan zahir hadith menunjukkan kepada perkara tersebut.

  • Berpuasa di Bulan Muharram adalah yang Paling Afdhal Selepas Puasa Ramadhan

Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ 

Maksudnya:Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram.”

Riwayat Abu Daud (2429)

Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ 

Maksudnya: “Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (741)

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:

  • Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
  • Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.

Berdasarkan kenyataan di atas, tidak dinafikan lagi bahawa puasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan dan mengandungi ganjaran pahala yang sangat besar. 

Penutup

Alhamdulillah, kita baru melangkaui 1445 H dan insyaAllah akan memasuki 9 dan 10 Muharram. Justeru, 10 Muharram digelar sebagai hari Asyura dan disunatkan untuk kita berpuasa dan kita bersyukur kepada Allah SWT sebagaimana yang dinaskan dalam hadith. Terdapat hadith yang lain, menggalakkan kepada kita untuk menggabungkan puasa pada hari Asyura dan juga Tasu’a (hari ke-9 Muharram). Semoga Allah SWT jadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. 

Kami akhiri dengan beroda kepada-Nya:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Surah al-Naml (19)

Bertarikh: 26 Julai 2023 bersamaan 8 Muharram 1445 H