#2394: Mengambil Upah daripada Mengajar Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh mengambil upah daripada mengajar ilmu agama? Seperti mengajar al-Quran dan hadith, adakah boleh ambil upah dari pengajaran tersebut. Sebab, ada kawan yang kata, tak sepatutnya ambil upah. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa asal dalam ibadah adalah di mana seorang Muslim tidak boleh mengambil upah atau gaji, sebagai pengganti apa yang dia lakukan. Sesiapa yang mahukan ketaatannya hanya untuk memperoleh dunia, maka dia tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT, sepertimana firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ ‎﴿١٥﴾‏ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ 

Maksudnya: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah Hud: 15-16)

Sekiranya manfaat ibadah itu untuk orang lain, di mana orang selain pelakunya dapat mengambil manfaat seperti ruqyah dengan al-Quran atau mengajarkannya, atau mengajarkan hadith, maka dia dibolehkan untuk mengambil upah atasnya menurut jumhur ulama. Berbeza dengan ulama terdahulu daripada Hanafiyyah. Ia sebagai ganti atas apa yang didapatkan manfaat daripada orang lain dengan ruqyah atau pengajaran.

Antara hujah pendapat jumhur adalah berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: “Bahawasanya beberapa orang sahabat Nabi SAW melalui (suatu kaum yang tinggal di) satu sumber air, salah seorang daripada mereka disengat binatang berbisa – atau perawi menggunakan lafaz ‘سَلِيمًا’ pada makna ‘لَدِيغًا’  – maka salah seorang lelaki penduduk sumber air itu datang kepada mereka lalu bertanya: “Adakah di antara kamu seseorang yang boleh meruqyah? Sesungguhnya di sumber air itu terdapat seorang yang disengat binatang berbisa.” Maka seorang lelaki antara para sahabat pergi (bertemu pesakit) lalu membacakan surah al-Fatihah dengan mengenakan upah beberapa ekor kambing, kemudian orang (yang sakit) itu pun sembuh, maka dia datang kepada para sahabatnya dengan membawa sekawan kambing. Ternyata mereka tidak menyukai hal itu dan berkata: “Engkau telah mengambil upah atas kitab Allah SWT”, sehingga mereka datang ke Madinah dan berkata: “Wahai Rasulullah, dia telah mengambil upah atas kitab Allah SWT.” Rasulllah SAW bersabda: 

إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ اللَّهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang paling berhak kalian ambil upah ke atasnya adalah kitab Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (5737), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6/124), Ibn Hibban (5146)

Manakala dalam riwayat lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut.

Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari para sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah.

Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: “Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,” beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: 

خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِى بِسَهْمٍ مَعَكُمْ

Maksudnya: “Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”

Riwayat Muslim (2201), Abu Daud (3418), al-Tirmizi (2063), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10868), Ibn Majah (2156) dan Ahmad (10985)

Imam al-Nawawi telah membuat bab dalam syarahnya atas Sahih Muslim dengan tajuk: ‘بَابُ جَوَازِ أَخْذِ الأُجْرَةِ عَلَى الرُّقْيَةِ بِالْقُرْآنِ، وَالأَذْكَارِ’ (“Bab Diperbolehkan Mengambil Upah atas Ruqyah dengan al-Quran dan Zikir”). 

Berkenaan sabda Baginda, ‘خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ’, Imam al-Nawawi berkata:

 هَذَا تَصْرِيحٌ بِجَوَازِ أَخْذِ الْأُجْرَةِ عَلَى الرُّقْيَةِ بِالْفَاتِحَةِ وَالذِّكْرِ وَأَنَّهَا حَلَال لَاكَرَاهَة فِيهَا وَكَذَا الْأُجْرَةُ عَلَى تَعْلِيمِ الْقُرْآنِ وَهَذَا مَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَمَالِكٍ وَأَحْمَدَ وَإِسْحَاقَ وَأَبِي ثَوْرٍ وَآخَرِينَ مِنَ السَّلَفِ وَمَنْ بَعْدَهُمْ 

Maksudnya: “Ini jelas menunjukkan bahawa dibolehkan untuk mengambil upah atas ruqyah dengan al-Fatihah dan zikir. Dan hal itu halal serta tidak makruh padanya. Begitu juga upah dalam mengajarkan al-Quran. Dan inilah mazhab al-Syafi’i, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan ulama salaf yang lain, serta ulama setelahnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/188)

Para ulama al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’ menyebut: “Dibolehkan mengambil upah daripada pengajaran al-Quran. Ini kerana Nabi SAW menikahkan seseorang dengan wanita dengan mengajarkan kepadanya apa yang miliki daripada al-Quran. Dan hal itu sebagai maharnya. Dan ada Sahabat yang mengambil upah atas kesembuhan orang kafir disebabkan ruqyah kepadanya dengan Fatihatul Kitab. Dan Nabi SAW bersabda berkenaan hal itu, ‘إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ اللَّهِ’ (“Sesungguhnya perkara yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah Kitab Allah SWT.”) Sesungguhnya yang dilarang adalah mengambil upah atas bacaan al-Quran itu sendiri dan meminta orang dengan bacaannya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 15/96)

Firman Allah SWT:

 ‏ وَآمِنُوا بِمَا أَنزَلْتُ مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ ۖ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ 

Maksudnya: “Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.” 

(Surah al-Baqarah: 41)

Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berbeza pandangan berkenaan mengambil upah dalam pengajaran al-Quran dan ilmu, berdasarkan ayat ini dan yang semaknanya. Antara yang melarang hal tersebut adalah al-Zuhri, ashab al-ra’yi (Hanafiyyah) di mana mereka menyebut: “Tidak dibolehkan untuk mengambil upah atas pengajaran al-Quran kerana mengajarkannya termasuk salah satu kewajiban yang memerlukan niat mendekatkan diri (kepada Allah) dan keikhlasan. Maka tidak diambil upah darinya seperti solat dan puasa. Allah SWT berfirman, ‘وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً’ (“Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah.”)[Surah al-Baqarah: 41]

Manakala yang membolehkan mengambil upah atas pengajaran al-Quran adalah Imam Malik, al-Syafi’i, Ahmad, Abu Thaur dan kebanyakan ulama’ berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadith Ibn ‘Abbas tentang hadith ruqyah, ‘إِنَّ أحقَّ مَا أَخَذْتُم عَلَيْهِ أَجْراً كِتَابُ الله’ (“Sesungguhnya yang lebih berhak kamu semua mengambil upah adalah Kitabullah.) Dan nas ini dapat mengangkat khilaf (perbezaan pendapat) dan sewajarnya dipakai.

Manakala apa yang dijadikan dalil orang yang berbeza dengan mengqiyaskan dengan solat dan puasa itu adalah salah. Kerana kedua-duanya terdapat banyak perbezaan. Iaitu bahawa solat dan puasa itu ibadah khusus bagi pelaku, sedangkan al-Quran itu ibadah yang bermanfaat untuk selain pengajar. Maka dibolehkan upah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 1/335)

Firman Allah SWT:

 اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk.”

(Surah Yasin: 21)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti berkata: “Dapat diambil pelajaran daripada ayat yang mulia ini, bahawa seharusnya pengikut para rasul dari kalangan para ulama dan yang lain, menunaikan semaksimum mungkin ilmu yang dimilikinya secara percuma. Tanpa mengambil upah daripada hal itu. Dan selayaknya tidak mengambil upah atas pengajaran Kitabullah, pengajaran aqidah, serta halal dan haram.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/179)

Kata beliau lagi:

 الَّذِي يَظْهَرُ لِي – وَاللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ – أَنَّ الْإِنْسَانَ إِذَا لَمْ تَدْعُهُ الْحَاجَةُ الضَّرُورِيَّةُ فَالْأَوْلَى لَهُ أَلَّا يَأْخُذَ عِوَضًا عَلَى تَعْلِيمِ الْقُرْآنِ، وَالْعَقَائِدِ، وَالْحَلَالِ، وَالْحَرَامِ، لِلْأَدِلَّةِ الْمَاضِيَةِ، وَإِنْ دَعَتْهُ الْحَاجَةُ أَخَذَ بِقَدْرِ الضَّرُورَةِ مِنْ بَيْتِ مَالِ الْمُسْلِمِينَ ; لِأَنَّ الظَّاهِرَ أَنَّ المَأْخُوذَ مِنْ بَيْتِ الْمَالِ مِنْ قَبِيلِ الْإِعَانَةِ عَلَى الْقِيَامِ بِالتَّعْلِيمِ لَا مِنْ قَبِيلِ الْأُجْرَةِ. وَالْأَوْلَى لِمَنْ أَغْنَاهُ اللَّهُ أَنْ يَتَعَفَّفَ عَنْ أَخْذِ شَيْءٍ فِي مُقَابِلِ التَّعْلِيمِ لِلْقُرْآنِ، وَالْعَقَائِدِ، وَالْحَلَالِ وَالْحَرَامِ.

Maksudnya: “Yang jelas bagiku – wallahu a’lam – bahawa seseorang jika dia tidak memerlukan keperluan yang dharuri; maka yang lebih utama adalah agar tidak mengambil pengganti (upah) atas pengajaran al-Quran, aqidah, serta halal dan haram berdasarkan dalil yang telah disebutkan. Sekiranya terdapat keperluan, maka boleh mengambil upah sesuai dengan kadar keperluan asasnya, dari baitulmal umat Islam. Kerana yang zahir bahawa pengambilan dari baitulmal adalah dari sisi bantuan untuk menunaikan ta’lim (pengajaran), bukan dari sisi upah. Yang lebih utama, bagi mereka yang Allah telah cukupkan bagi adalah untuk menahan diri daripada mengambil pengganti (upah) daripada pengajaran al-Quran, aqidah serta halal dan haram.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/182)

Berkenaan persoalan di atas, sekiranya manfaat ibadah itu untuk orang lain, di mana orang selain pelakunya dapat mengambil manfaat seperti ruqyah dengan al-Quran atau mengajarkannya, atau mengajarkan hadith, maka dia dibolehkan untuk mengambil upah atasnya. Inilah pandangan menurut jumhur ulama. Berbeza dengan ulama terdahulu daripada Hanafiyyah.

Penutup

Berdasarkan kepada realiti dan waqi’i semasa keperluan kehidupan menyebabkan kerja yang hanya sebagai masa lapang dan waktu kosong sudah hampir tidak ada dalam kamus kehidupan manusia. Justeru, kita dapat lihat pihak pemerintah telah menggaji ramai para guru dan asatizah sama ada di peringkat paling rendah kepada menengah, diploma dan universiti di mana kerja mereka untuk mengajar termasuklah subjek-subjek agama dan pelbagai cabangnya. 

Inilah realiti semasa dan ia memberi maslahah kepada ummah agar anak bangsa sentiasa terdidik, diasuh dan diajar dengan sempurna dan bukan lagi bersifat part time. Justeru, kami katakan tidak mengapa berlaku penggajian serta pembayaran  kepada guru-guru kerana mereka telah mewakafkan sebahagian besar masanya untuk mengasuh dan mendidik anak bangsa yang sewajarnya kita raikan dan kita tampung keperluan kehidupan mereka sama ada bersifat rasmi atau kerajaan mahu pun NGO atau individu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ تَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَيْكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَيْكَ ، اللَّهُمْ إِنَّا نشألُكَ الجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إلَيْهَا مِنْ قَولِ أَوْ عَمَل ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءِ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H