#2407: Puasa Yang Paling Afdhal Berkenaan Hari 10 Muharram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah cara puasa yang terbaik berkenaan dengan puasa hari Asyura?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ، فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟»، قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: «فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ». فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Nabi SAW datang ke Madinah lalu melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, maka Baginda bertanya, “Hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik. Pada hari ini, Allah menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh-musuh mereka. Musa berpuasa pada hari ini.” Baginda bersabda, “Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.” Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa pada hari ‘Asyura’.”

Riwayat al-Bukhari (2004)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani menyebut: “Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan waktu hari Asyura. Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Hari Asyura’ adalah hari ke-10 (bulan Muharram). Al-Qurtubi berkata: “Asyura’ adalah perubahan daripada perkataan aasyirah (عَاشِرَةٍ), bagi mengagungkan dan memuliakan. Pada asalnya, perkataan itu merupakan sifat untuk malam ke-10, kerana diambil daripada perkataan al-’asyr (الْعَشْرِ). Apabila dikatakan ‘hari Asyura’, maka yang dimaksudkan adalah hari malam ke-10. Hanya saja setelah diubah daripada perkataan sifat, maka didominasi oleh isim sehingga tidak memerlukan perkataan yang disifatkan, maka dihapuslah perkataan ‘malam’ sehingga lafaz ini menjadi nama tersendiri untuk hari ke-10.” (Lihat Fath al-Bari, 4/245)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama telah membahagikan kepada empat:

  • Yang paling afdhal puasa pada hari 9 & 10 Muharram
  • Kemudian, puasa pada hari 10 & 11 Muharram
  • Kemudian, puasa pada hari 10 Muharram sahaja
  • Kemudian, puasa pada hari 9, 10 & 11 Muharram

Nas menunjukkan yang paling afdhal adalah puasa pada hari 9 & 10 Muharram. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

 Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi SAW:

 لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).”

Riwayat Muslim (1134)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar ibadat kita diterima oleh Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H