#2475: Meletakkan Kain Berwarna Putih Pada Batu Nisan

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Guru, saya ingin bertanya apakah hukum meletakkan kain berwarna putih pada batu nisan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kubur ialah tempat disemadikan mayat selepas berlakunya kematian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Allah SWT telah menetapkan hukum-hukum dalam hal pemakaman bagi menjaga keyakinan tauhid dan menjadikannya suci daripada perkara-perkara yang mensyirikkan allah, serta memberikan manfaat bagi diri sendiri dan orang yang telah meninggal, tanpa melanggar tauhid dan iman.

Dalam Islam, kubur adalah bertujuan untuk mengebumikan jenazah dan memberikan penghormatan kepada mereka dengan mengebumikan mereka dengan baik. Oleh kerana itu, kubur bukanlah tempat untuk melakukan ibadah, tetapi hanya untuk tujuan pengebumian dan kunjungan yang sesuai dengan ketetapan syariat. Ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللهُ اليَهُودَ والنَّصارى، اتَّخَذُوا قُبُورَ أنْبِيائِهِمْ مَساجِدَ

Maksudnya: Allah melaknat kaum Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi mereka sebagai masjid.

Riwayat Muslim(530) 

Islam  juga menggalakkan umatnya menziarahi kubur kerana dengan menziarahinya akan mengingatkan kita kepada akhirat. Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibnu Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, diharuskan meletakkan kain berwarna putih pada batu nisan jika ia bertujuan memberitahu  dan membezakan bahagian yang diikat dengan kain itu adalah sebelah kepala simati atau bertujuan sebagai penanda  supaya senang untuk dikenalpasti kubur ahli keluarga agar tidak tertukar dengan kubur yang  lain. Ini sesuai dengan kaedah yang mengatakan :

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)

Ibn Qudamah menukilkan dalam kitabnya al-Mughni bahawa Imam Ahmad berkata: Tidak mengapa bagi seseorang untuk meletakkan tanda pada kubur agar dia mengenalinya. Nabi SAW telah meletakkan  tanda pada kubur Uthman bin Mazh’un.(Lihat al-Mughni,2/191)

Namun sekiranya diletakkan kain tersebut pada batu nisan dengan mempercayai apa-apa yang berkaitan dengan unsur-unsur khurafat maka ia tidak dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara-perkara yang mensyirikkan Allah. Terdapat banyak larangan daripada al-Quran dan al-Hadith supaya tidak mensyirikkan Allah kerana dosanya amatlah berat dan tidak akan diampun.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Justeru kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya menjauhkan diri dari terjerumus ke lembah kesyirikan dan sentiasa lah mengingati mati kerana dengan mengingatinya terdapat banyak kebaikan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah bersabda:

أكثِروا ذِكْرَ هاذمِ اللَّذّاتِ

Maksudnya: Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat menghancurkan kenikmatan iaitu kematian.

Riwayat Tarmizi(2307),Ibnu Majah(4258) dan Ibnu Hibban(2994)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab neraka Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Wallahua’lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H