#2524: Qadi Berfatwa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang qadi memberi fatwa dalam permasalahan hukum-hakam yang berkaitan dengan isu qadha’?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu dua takrif:

Pertama: Fatwa

Para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut: 

  • Kata Al-Imam al-Qarafi, fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53) 
  • Syeikh al-Qunawi al-Hanafi mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319) 
  • Kata al-Imam al-Buhuti: Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat, 3/483) 
  • Imam al-Syaukani mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443) 
  • Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar: Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian. 
  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284) 
  • Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad
  • Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10) 

Kedua: Qadha

Manakala qadha adalah keputusan yang dilakukan oleh seorang hakim atau qadhi atas suatu perkara atau pertelingkahan antara dua belah pihak atau lebih.

Disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: 

 الْقَضَاءُ: هُوَ فَصْل الْقَاضِي بَيْنَ الْخُصُومِ، وَيُقَال لَهُ أَيْضًا: الْحُكْمُ، وَالْحَاكِمُ: الْقَاضِي.

Maksudnya: “Al-Qadha’: Iaitu keputusan yang ditetapkan oleh Qadhi antara pihak-pihak yang bersengketa. Dikatakan juga: al-Hukm. Dan al-Hakim ialah al-Qadhi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/20)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Ibn Hamdan katanya:

Sesiapa yang tergolong dalam kalangan ahli fatwa dan dia merupakan seorang qadhi, maka dia sama seperti selain (boleh berfatwa)

Dikatakan; Dimakruhkan untuk seorang qadhi berfatwa di dalam permasalahan hukum-hakam yang berkaitan dengannya (isu qadha) kecuali dalam masalah taharah (bersuci), solat, dan seumpamanya.

Telah berkata Syuraih :

أَنَا أَقْضِي لَكُمْ، وَلَا أُفْتِي

Maksudnya: “Aku hanya menghukum bagi kalian tetapi aku tidak berfatwa”

Riwayat Ibn Sa’d di dalam kitabnya Tabaqat (6/138) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (16921)

Kerana ia akan menjadi seperti hukum yang datang darinya ke atas suatu pihak. Tidak mungkin untuk membatalkannya pada waktu penghakiman apabila telah jelas di sisinya pendapat yang berlawanan (dengan pendapat musuhnya), atau hujah dan qarinah-qarinah keadaan keduanya. (Lihat Sifat al-Fatwa wa al-Mufti, hlm. 74)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan ilmu yang bermanfaat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H