#2533: Perbuatan Dosa Tidak Ditayangkan di Akhirat Selepas Bertaubat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah kisah silam atau perbuatan dosa kita akan ditayangkan di akhirat kelak walaupun sudah bertaubat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Taubat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat diertikan sebagai penyesalan terhadap dosa dan perbuatan jahat yang telah lalu, dan berazam untuk tidak mengulangi semula perbuatan dosa tersebut. Maka taubat itu didasari dengan keinsafan dan memohon keampunan, dan disertai dengan tekad agar tidak membuat membuat dosa yang sama.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ ‎﴿١٣٥﴾‏ أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُم مَّغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ ‎﴿١٣٦﴾

Maksudnya: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal.” 

(Surah Ali ‘Imran: 135-136)

Berkenaan mereka yang telah melakukan taubat dari dosa-dosanya yang telah lalu, maka pengampunan tersebut bergantung kepada rahmat Allah SWT sama ada ingin mengampunkan hamba-Nya atu tidak.  Tetapi ketahuilah bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun bagi orang yang benar-benar bertaubat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Ini juga dikuatkan lagi dengan  firman Allah SWT:

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya.”

(Surah al-Nisa’: 17)

Adakah Dosa yang Telah Disesali dan Dipohon Taubat Masih Ditayangkan di Akhirat?

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kami katakan bahawa dosa yang kita bertaubat daripadanya dengan sebenar-benar taubat dan disertai dengan penyesalan, maka dosa yang telah diampunkan itu akan dihapuskan, dan tidak lagi ia dikira sebagai dosa yang akan dipikul ke akhirat kelak.

Oleh yang demikian, ia tidak lagi ditayangkan di akhirat kelak kerana orang yang telah bertaubat umpama mereka yang tidak melakukan dosa tersebut. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id bin Abu Fadhalah al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersaabda:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

Maksudnya: “Orang yang telah bertaubat dari dosanya seperti orang yang tidak mempunyai dosa.”

Riwayat Ibn Majah (4250) dan al-Tabarani (10281)

Hadith di atas juga dikuatkan lagi dengan hadith riwayat Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ العَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ ثُمَّ تابَ، تَابَ اللهُ عَلَيْهِ   

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang hamba itu jika dia bertaubat, maka Allah akan ampunkannya.”

Riwayat al-Bukhari (4141) dan Muslim (2770)

Cara yang terbaik selepas kita bertaubat adalah dengan melakukan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, yang mana kesannya adalah terhapusnya dosa-dosa dahulu. Antaranya seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

ألا أدُلُّكُمْ على ما يَمْحُو اللهُ به الخَطايا، ويَرْفَعُ به الدَّرَجاتِ؟ قالُوا بَلى يا رَسولَ اللهِ، قالَ: إسْباغُ الوُضُوءِ على المَكارِهِ، وكَثْرَةُ الخُطا إلى المَساجِدِ، وانْتِظارُ الصَّلاةِ بَعْدَ الصَّلاةِ، فَذَلِكُمُ الرِّباطُ

Maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua sesuatu yang dapat menghapus kesalahan dan menaikkan darjat?” Para sahabat menjawab: Tentu, wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Berwuduk dengan sempurnanya pada keadaan dan situasi yang menyulitkan serta tidak disukai, memperbanyak langkah kaki menuju ke masjid dan menunggu solat (fardhu) setelah solat (fardhu), yang demikian itulah dinamakan ribath.”

Riwayat Muslim (251)

Dan juga sebagaimana yang diriwayatkan daripada Amru bin al-‘As bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَأَنَّ الحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ

Maksudnya: “Dan haji itu menghapuskan apa yang telah lalu.”

Riwayat Muslim (121)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa dosa yang telah kita bertaubat darinya tidaklah ditayangkan di akhirat kelak. Bahkan Allah SWT telah menjanjikan bahawa tidak akan berlaku kezaliman pada hari perhitungan kelak. Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini.”

(Surah al-Ghafir: 17)

Kami juga menasihatkan agar kita tidak berputus asa dari rahmat Allah SWT. Ingatlah bahawa setiap insan diberikan peluang untuk bertaubat sehingga ke akhir hayatnya. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya.”

Riwayat al-Tirmizi (3537), dan al-Albani menilainya sebagai hasan di dalam al-Sahih al-Jami‘ (1/386).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، اغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H