#2543: Melihat Guru Yang Tidak Bertudung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri  saya ingin bertanya  tentang menjaga mata dari melihat wanita – dalam konteks pelajar dengan guru perempuan dan rakan sekelas  atau sekursus. Perlukah tidak melihat guru yang mengajar atau guru yang free hair?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur : 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

 Diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” 

Riwayat Muslim (338)

Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyarankan : “Ini adalah larangan  jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm.457)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebagai seorang mukmin hendaklah menundukkan pandangan dari melihat perkara yang haram seperti melihat aurat orang lain baik lelaki ataupun perempuan. Ini sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT sepertimana nas  yang telah dinyatakan di atas

Dalam situasi  yang tidak dapat dielakkan seperti di negara kita Malaysia yang berbilang kaum yang bercampur antara lelaki dan perempuan  dalam sektor perkerjaan, pendidikan dan sebagainya kami katakan, boleh melihat mereka yang tidak menutup aurat ketika bermuamalah atau berada dalam sesi pembelajaran ketika perlu sahaja dengan syarat tidak membayangkan apa-apa yang dapat membangkitkan syahwat.

Terdapat sebuah kisah seorang pendakwah yang ditemuramah oleh seorang yang tidak menutup aurat dan beliau menundukkan pandangan lalu wanita itu pun bertanya kenapa menundukkan kepala? Pendakwah tersebut menjawab : Aku diperintahkan untuk menundukkan pandangan dari perkara yang diharam.

Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ، فَأَمَرَنِي أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِى

Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat wanita ajnabi secara tiba-tiba(tidak sengaja). Maka beliau memerintahkanku agar memalingkan pandanganku.

Riwayat Muslim (2159)

Imam al-Nawawi menyatakan: Maksud نَظَرُ الفَجْأَة   ialah melihat  wanita ajnabi tanpa disengajakan. Pada pandangan pertama, tidaklah berdosa ke atasnya. Tetapi dia wajib memalingkan pandangannya dengan segera. Jika dia memalingkannya dengan segera, maka tidak ada dosa ke atasnya. Tetapi jika pandangannya terus berlanjutan, dia berdosa berdasarkan hadis ini. (Lihat al-Minhaj, 14/139)

Justeru, menundukkan pandangan merupakan perintah Allah yang wajib kita taati kerana dengan menundukkan pandangan kita dapat membersihkan jiwa daripada perkara-perkara yang terkeji di samping menjaga hati daripada penyakit syahwat.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah : 201)

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H