#2555: Kesan Hijrah Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kesan hijrah Nabi SAW, bagaimana Nabi membangunkan masyarakat Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan petikan daripada kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh al-Mubarakfuri seperti berikut:

Dengan kebijaksanaan dan kepintaran Rasulullah SAW, Baginda SAW mengorak langkah membina asas-asas masyarakat baharu. Fenomena ini memberikan kesan mendalam yang terpamer melalui peribadi mulia para Sahabat Rasulullah SAW. Baginda mengajar, mendidik dan membersihkan jiwa mereka serta menggalakkan mereka berbudi pekerti mulia. Rasulullah SAW mendidik mereka dengan adab, kasih sayang, persaudaraan, sifat mulia, tekun beribadat dan mentaati perintah.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah ajaran Islam yang terbaik?” Jawab Rasulullah SAW:

 تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Maksudnya: “Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau tidak kenal.”

Riwayat al-Bukhari (12) dan Muslim (39)

Abdullah bin Salam berkata: “Apabila Rasulullah SAW sampai ke Madinah, aku pun datang kepadanya, dan setelah aku perhatikan benar-benar wajah Baginda SAW, tahulah aku bahawa wajah Baginda bukan wajah pembohong. Maka, antara perkataan awal yang diucapkan oleh Rasulullah SAW ialah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الأَرْحَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Maksudnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkan silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika orang ramai sedang tidur. Nescaya kamu akan dapat masuk syurga dengan sejahtera.”

Riwayat Ibn Majah (3252) dan Ahmad (6450). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Musnad Ahmad (11/74)

Rasulullah SAW pernah bersabda: 

 لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya merasa tidak selamat daripada kejahatannya.”

Riwayat Muslim (46), Ahmad (12583) dan al-Bazzar (7432)

Sabda Baginda lagi:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Orang Islam itu adalah apabila orang Islam lain merasa selamat daripada keburukan lidah dan tangannya.”

Riwayat al-Bukhari (10) dan Muslim (40)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

‏ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ ‏

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu kecuali setelah dia mencintai apa-apa yang dikecapi saudaranya sebagaimana dia mencintai apa-apa yang dikecapi olehnya.”

Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)

Sabda Rasulullah SAW: 

‏ الْمُسْلِمُونَ كَرَجُلٍ وَاحِدٍ إِنِ اشْتَكَى عَيْنُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ وَإِنِ اشْتَكَى رَأْسُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ ‏

Maksudnya: “Orang Islam sama seperti seorang lelaki yang apabila matanya mengadu sakit, maka semua tubuhnya mengadu sakit, jika kepalanya mengadu sakit, maka semua tubuhnya mengadu sakit.”

Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

 الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا 

Maksudnya: “Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain adalah ibarat binaan-binaan yang saling memperkuatkan antara satu sama lain.”

Riwayat al-Bukhari (6026) dan Muslim (2585)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

لاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا، وَلاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu benci membenci, janganlah kamu berhasad dengki, jangan belakang membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang Muslim meninggalkan saudaranya (tidak bertegur sapa) selama lebih tiga hari.”

Riwayat al-Bukhari (6065) dan Muslim (2559)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ‏

Maksudnya: “Orang Islam adalah saudara orang Islam. Dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya disakiti. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya. Sesiapa yang melepaskan satu kesukaran seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan satu kesukarannya daripada beberapa kesukaran di Hari Kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam, maka Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ 

Maksudnya: “Kasihanilah siapa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihani oleh yang berada di langit.”

Riwayat Abu Daud (335), al-Tirmizi  (1924) dan Ahmad (6494)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ‏

Maksudnya: “Bukanlah orang mukmin jika dia mengenyangkan dirinya, sedangkan jiran sebelahnya dalam kelaparan.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (112), al-Tabarani (12741) dan Abu Ya’la (2699)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya: “Mencela orang Islam itu satu kefasikan dan membunuhnya adalah satu kekufuran.”

Riwayat al-Bukhari (48) dan Muslim (64)

Rasulullah SAW menjadikan kerja membuang gangguan di tengah jalan sebagai satu sedekah dan menghitungnya sebagai salah satu cabang iman. [Riwayat Muslim (720), Abu Daud (1285) dan Ahmad (21475)]

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam menafkahkan harta dan menerangkan fadilat-fadilat (kelebihan) yang boleh menarik hati. Rasulullah SAW bersabda:

الصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ 

Maksudnya: “Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), Ibn Majah (3973), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11330) dan Ahmad (22069)

Rasulullah SAW bersabda:

 أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْىٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنَ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ 

Maksudnya: “Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada orang Islam yang tidak berpakaian, maka Allah akan memakaikannya dengan pakaian hijau di syurga. Mana-mana orang Islam yang memberi makan seorang Islam yang sedang kelaparan, maka Allah akan memberinya makan buah-buahan di syurga. Mana-mana orang Islam yang memberi minum seorang Muslim yang haus, maka Allah akan memberinya minum daripada minuman syurga yang tersimpan kemas.”

Riwayat Abu Daud (1682)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

 اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ 

Maksudnya: “Selamatkan dirimu daripada neraka walau dengan bersedekah dengan belahan buah kurma. Jika kamu tidak mendapatinya, maka dengan tutur kata yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6023)

Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya menahan diri dari meminta-minta. Rasulullah SAW menyebut beberapa kelebihan bagi orang yang bersabar dan berpada dengan apa yang mereka ada. Rasulullah SAW menganggap perbuatan meminta-minta itu sebagai satu keaiban yang menjatuhkan air muka peminta, melainkan jika peminta itu seorang yang benar-benar terdesak. Rasulullah SAW turut memberitahu mereka mengenai kelebihan-kelebihan dan ganjaran pahala di sisi Allah yang disediakan dalam ibadat-ibadat mereka. Rasulullah SAW sentiasa mengikat kukuh mereka dengan wahyu yang turun dari langit; dibacanya wahyu itu kepada mereka dan mereka turut sama membacanya agar pengajarannya akan menimbulkan kesedaran tanggungjawab dakwah dalam kalangan para sahabat serta kesinambungan menyampaikan risalah tersebut, lebih-lebih lagi kesedaran untuk cuba menghayati dan memahaminya dengan sebaik mungkin.

Begitulah cara Rasulullah SAW meningkatkan semangat dan mengasuh potensi para sahabat. Dibekalkan kepada mereka dengan nilai-nilai dan suri teladan yang tinggi sehingga akhirnya mereka menjadi model nilai kesempurnaan tertinggi dalam sejarah manusia selepas golongan para nabi.

Abdullah bin Mas’ud R.A berkata: “Sesiapa yang hendak mengikuti sunnah, maka ikutlah sunnah orang yang telah mati; sesungguhnya yang hidup belum tentu selamat daripada terjebak ke dalam fitnah. Mereka itulah para sahabat Muhammad SAW. Mereka adalah manusia termulia dalam kalangan umat ini, paling baik hatinya, paling dalam pengetahuannya dan paling sedikit memberatkan diri. Allah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya dan untuk menegakkan agama-Nya. Justeru, kenalilah kelebihan mereka dan ikutlah jejak langkah mereka. Berpeganglah sedaya upayamu dengan akhlak dan perjalanan hidup mereka. Sesungguhnya mereka itu berada di atas petunjuk jalan yang lurus.”

Di samping itu, Rasulullah SAW sendiri memiliki sifat-sifat zahir dan batin yang menunjukkan kesempurnaan; Rasulullah SAW berbakat, berperibadi mulia, berakhlak mulia dan baik tingkah laku. Ini menjadikan hati-hati manusia cenderung kepada Baginda SAW sehingga mereka sanggup berkorban mempertahankan Baginda SAW. Tiada sebutir perkataan yang Rasulullah SAW ucapkan melainkan para sahabat akan bersegera untuk menjunjung perintahnya. Tiada sebarang arahan atau bimbingan yang ditunjukkannya melainkan mereka akan berlumba-lumba untuk melaksanakannya.

Beginilah cara Rasulullah SAW membentuk masyarakat baharu di Madinah; masyarakat paling hebat dan terhormat yang pernah dirakam dalam pentas sejarah. Dengan cara ini juga, Rasulullah SAW berupaya menyelesaikan masalah-masalah masyarakat melalui jalan penyelesaian yang meletakkan manusia dalam keadaan selesa, setelah suatu masa dahulu mereka berada dalam suasana yang penuh kegelapan.

Dengan faktor-faktor ini, maka sempurnalah ciri-ciri masyarakat baharu yang sanggup berhadapan dengan apa sahaja aliran zaman, sehingga berjaya menolak aliran-aliran tersebut dan mengubah perjalanan sejarah dan masa.

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H