#2568: Warna Merah Bekas Darah Selepas Dicuci

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah warna merah bekas darah yang masih ada pada baju selepas dicuci tidak boleh dipakai untuk solat, dan boleh membatalkan solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anha, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِحْدَانَا يُصِيبُ ثَوْبَهَا مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ كَيْفَ تَصْنَعُ بِهِ قَالَ:‏ تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ تَنْضَحُهُ ثُمَّ تُصَلِّي فِيهِ.

Maksudnya: “Seorang wanita telah datang menemui Nabi SAW dan berkata, “Salah seorang daripada kami terkena darah haid pada pakaiannya. Apa yang patut dia lakukan?” Baginda menjawab: “Kamu kikis dan gosok dengan air, lalu siramlah. Kemudian kamu boleh solat dengan pakaian itu.”

Riwayat al-Bukhari (307)

Dalam menjawab persoalan di atas, sekiranya pakaian itu telah dicuci tetapi masih berbekas warna darah pada baju itu, maka tidak mengapa apabila sukar untuk dihilangkan warna tersebut.

Imam al-Nawawi berkata:

وَلَا يَضُرُّ بَقَاءُ لَوْنٍ أَوْ رِيحٍ عَسُرَ زَوَالُ.

Maksudnya: “Tidak memudaratkan (tidak mengapa) jika kekal warna atau bau (najis) pada pakaian jika sukar untuk dihilangkan.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hlm 16)

Al-Mardawi berkata:

لَا يَضُرُّ بَقَاءُ لَوْنٍ أَوْ رِيحٍ أَوْ هُمَا، عَلَى الصَّحِيحِ مِنْ الْمَذْهَبِ.

Maksudnya: “Tidak memudaratkan (tiada masalah) jika kekal warna atau bau, atau kedua-duanya sekaligus (pada sesuatu benda), berdasarkan pendapat yang benar dalam mazhab ini.” (Lihat al-Insaf fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/317)

Selain itu, berkenaan kesukaran menghilangkan kesan najis sama ada bau atau warna, dijelaskan oleh pengarang kitab Busyra al-Karim seperti berikut:

ضَابِطُ الْعُسْرِ: أَنْ لَا تَزُولَ بَعْدَ الْغُسْلِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ مَعَ الْحَتِّ وَالْقُرْصِ فِي كُلٍّ، وَمَعَ نَحْوِ أُشْنَانٍ أَوْ صَابُونٍ تَوَقَّفَتْ الْإِزَالَةُ عَلَيْهِ بِقَوْلِ خَبِيرٍ

Maksudnya: Dhabit (piawaian) kesan najis yang sukar untuk dihilangkan adalah (bilamana) kesan najis tidak hilang juga setelah dibasuh sebanyak tiga kali berserta gosokan dan menekan pada setiap kali basuhan. Begitu juga berserta (bahan basuhan) seperti ‘Usynan (iaitu sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan basuhan), atau sabun yang mempunyai kuasa menghilangkan berdasarkan kenyataan orang yang pakar.” (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta’lim (Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah), hlm. 144)

Maka dapat difahami bahawa jika pakaian tersebut telah pun dicuci dengan bahan seperti sabun, namun kesan warna darah masih berbekas pada baju itu, maka hukumnya tidak mengapa, apabila untuk menghilangkannya adalah sukar.

Penutup

Sesungguhnya Islam dibina atas dasar mudah dan tidak menyukarkan. Ia juga bersifat meraikan kepada khalayak masyarakat dan uruf. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Akhir kalam, marilah kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H