#2576: Memakan Burung Merak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terfikir-fikir, adakah burung merak halal dimakan? Mohon pencerahan Dr. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan burung merak ini. Dalam bahasa Arab, burung merak dipanggil sebagai Tawus (الطَّاوُوسُ). Menurut al-Damiri, ia ialah burung yang makruf (katahuan), dan ism tasghirnya ialah tuwais (طُوَيْسٌ). Nama julukannya (kunyah) ialah Abu al-Husn (أَبُو الحُسْنِ) dan Abu al-Wasyyi (أَبُو الوَشْي). Ia dalam jenis burung seperti kuda dalam jenis haiwan berkaki empat dari segi keperkasaan dan cantik. Tabiat semula jadinya pula adalah suci, cintakan harga dirinya, bangga diri, kagum dengan bulunya dan keterikatannya pada ekornya seperti tali, lebih-lebih lagi apabila ada burung merak betina melihatnya. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/5).

Burung merak adalah nama biasa untuk tiga spesies burung dalam genus-genus Pavo dan Afropavo dari keluarga Phasianidae. Burung-burung ini dikenali kerana penampilan jantan burungnya yang meneriak nyaring serta bulu ekor yang sangat menarik. Ekor yang menarik hanya terdapat pada spesies merak Asiatik, yang mana mempunyai ekor dengan titik-titik mata atau jajaran bulu-bulu yang terlindung yang mana akan dikembangkan semasa hendak mengawan.

Burung Merak, Miliki Warna warni

Gambar di atas: Burung merak mengembangkan ekornya

Perkataan merak menyerap dari suatu bahasa dalam rumpun bahasa Asli yang pada awalnya mengkhusus kepada burung merak hijau (Pavo muticus) sebelum diluas maknanya. Terdapat tiga spesies yang wujud dalam jenis burung bernama demikian termasuk:

  • Merak India, Pavo cristatus di tanah India
  • Merak hijau, Pavo muticus di Asia Tenggara
  • Merak Kongo, Afropavo congensis di Lembah Kongo.

Merak India mempunyai warna bulu hijau dan biru yang berkilat., kebanyakannya hijau dan biru metalik, akan tetapi bagi merak hijau ia mempunyai bulu badan berwarna tembaga dan hijau. Pada kedua-dua spesies, saiz dan rentang sayap merak betina lebih kecil berbanding merak jantan, serta merak jantan juga lebih panjang disebabkan oleh ekornya. Ekor merak tidak hanya terdiri dari bulu-bulu ekor “quill” tetapi juga bulu ekor yang mencanak naik. Bulu-bulu ini juga memiliki tanda seperti bebola mata, yang mana dapat dilihat dengan jelas apabila merak jantan mengembangkan atau mengipaskan ekornya. Kedua-dua jantina juga memiliki jambul di atas kepala. Merak India betina mempunyai gabungan warna bulu kelabu pudar, perang dan hijau. Merak betina juga mengembangkan bulunya untuk mengusir persaingan dari merak betina lain atau memberi isyarat bahaya kepada anak-anaknya.

Burung Kuau Raja Si Raksasa Seratus Mata | Alamendah's Blog

Gambar di atas: Burung Merak dari bahagian belakang

Merak Hijau berbeza dengan merak India di mana merak jantan mempunyai bulu berwarna hijau dan emas, serta sayap hitam dengan kilauan biru. Tidak seperti merak India, merak Hijau betina serupa dengan merak jantan, tetapi ekor menegak yang lebih pendek, warna tembaga pada leher yang lebih pudar dan kilauan warna yang lebih kurang.

Merak Kongo jantan biasanya tidak mengembangkan ekornya, tetapi menggunakan ekornya semasa hendak mengawan. Bulu ekornya lebih pendek berbanding merak India dan Hijau. Merak betina bagi spesies India dan Afrika mempunyai bulu kelabu pucat dan/atau perang.

Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) mengklasifikasikan merak biru sebagai spesies yang kurang terancam (least concern). Namun, merak hijau diklasifikasikan oleh IUCN sebagai spesies yang terancam (endangered). Populasi merak hijau menurun secara signifikan selama separuh kedua abad ke-20 disebabkan oleh aktiviti perburuan berlebihan dan kemusnahan sebahagian besar habitat alaminya; kini diperkirakan spesies ini hanya berjumlah antara 10,000 hingga 20,000 individu dewasa. IUCN telah mengklasifikasikan merak Kongo sebagai spesies terancam yang hampir pupus (vulnerable). Populasi merak Kongo telah menurun menjadi kurang dari 10,000 individu dewasa akibat aktiviti perburuan dan kemusnahan habitatnya.

Bahkan burung merak juga termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 yakni Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadual Kedua (seksyen 3) iaitu Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, telah memasukkan sejumlah jenis burung merak iaitu Merak Hijau (Pavo muticus), Kuang Cermin (Polyplectron inopinatum) atau dikenali juga sebagai Mountain Peacock pheasant, Merak Pongsu (Polyplectron malacense), Palawan Peacock pheasant (Polyplectron napoleonis), Kuang Borneo (Polyplectron schleiermacheri) atau dipanggil juga sebagai Borneon Peacock pheasant.

Oleh sebab itu, menjadi satu kesalahan dalam negara kita untuk memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub dalam Akta 716 berkenaan. 

Hukum memakan burung merak

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut al-Damiri, burung merak haram untuk dimakan disebabkan oleh dagingnya dianggap jijik. Namun, ada yang berpendapat, burung merak adalah halal untuk dimakan kerana ia tidak memakan kotoran dan daging. Sekalipun begitu, berdasarkan kepada kedua-dua pendapat ini, jual belinya adalah sah, sama ada kerana boleh memakannya atau untuk menikmati warnanya. Kemudian, al-Damiri menukilkan daripada Imam Abu Hanifah yang menyatakan, tidak dipotong (tangan) pencuri burung kerana hukum asal burung itu adalah diharuskan (untuk dimakan). Namun, Imam al-Syafi‘i, Malik dan Ahmad serta selain mereka tidak bersetuju dengan pendapat itu (yakni mengenai tidak dipotong tangan pencuri burung). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/12).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa permasalahan burung merak ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama. Kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ia adalah halal untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Selain itu juga mereka yang berpendapat ia adalah halal untuk dimakan menyatakan alasannya adalah kerana ia tidak memakan kotoran dan daging.  

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan negara seperti Malaysia mengkategorikannya sebagai haiwan yang dilindungi. Maka, dalam situasi ini memburunya adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Lebih-lebih lagi, spesies burung merak adalah hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Maka, ia bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar iaitu kepupusan burung merak. Oleh itu, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahat tersebut. Terdapat satu kaedah fiqh yang masyhur menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H