#2613: Azan Musafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah musafir perlu azan sebelum mendirikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, azan merupakan salah satu dari syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardhu. Demikian juga iqamah dilaungkan dengan tujuan untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan. Azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan.”

Riwayat al-Bukhari (628)

Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan, para fuqaha telah bersepakat mengenai pensyariatan azan dan iqamah secara umumnya, dan kedua-duanya termasuk dalam syiar zahir bagi agama Islam. Kalaulah penduduk suatu tempat bersepakat untuk meninggalkan kedua-duanya, maka mereka hendaklah diperangi. Sesungguhnya telah dinukilkan ijma‘ ulama ke atas perkara tersebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Qurtubi, Imam al-Nawawi dan lain-lain. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/244).

Hal ini adalah sepertimana dinyatakan dalam al-Majmu‘ bahawa azan dan iqamah disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu berdasarkan nas-nas yang sahih dan ijma‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/83). Begitu juga menurut Ibn Qudamah, umat telah bersepakat mengenai azan disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu. (Lihat al-Mughni, 2/56).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara ringkasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum azan pada hak orang musafir kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, jumhur ulama dalam kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa digalakkan (sunat) untuk melaungkan azan bagi orang musafir dan bukannya wajib. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/153; Fath al-Qadir, 1/254; Mawahib al-Jalil, 1/423; Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Khirasyi, 1/234; Asna al-Matalib, 1/125; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/90; al-Insaf, 1/407).

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut mazhab kami (mazhab Syafi‘i), pendapat yang masyhur, azan dan iqamah adalah sunat bagi kesemua solat semasa musafir dan tidak musafir, bagi solat berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Kedua-duanya itu tidaklah diwajibkan dalam apa keadaan. Justeru, jika seseorang meninggalkan azan dan iqamah, maka solat yang didirikan secara bersendirian dan juga secara berjemaah tetap dikira sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/82).

Mereka yang berpendapat azan dan iqamah tidak wajib bagi orang musafir berhujah berdasarkan beberapa dalil. Di antara dalilnya adalah hadith Malik bin al-Huwairith R.A, katanya:

أَتَى رَجُلاَنِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ السَّفَرَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا أَنْتُمَا خَرَجْتُمَا، فَأَذِّنَا، ثُمَّ أَقِيمَا، ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا

Maksudnya: Dua orang lelaki datang kepada Nabi SAW berkeinginan untuk bermusafir. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Apabila kamu berdua keluar, maka hendaklah kamu berdua azan, kemudian hendaklah kamu berdua iqamat, setelah itu yang menjadi imam adalah yang paling tua usianya di antara kamu berdua.’

Riwayat al-Bukhari (630)

Begitu juga hadith ‘Uqbah bin ‘Amir, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

يَعْجَبُ رَبُّكَ مِنْ رَاعِي غَنَمٍ فِي رَأْسِ شَظِيَّةِ الْجَبَلِ يُؤَذِّنُ بِالصَّلاَةِ وَيُصَلِّي فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا إِلَى عَبْدِي هَذَا يُؤَذِّنُ وَيُقِيمُ الصَّلاَةَ يَخَافُ مِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي وَأَدْخَلْتُهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tuhanmu kagum (redha) kepada seorang penggembala kambing yang berada tinggi di atas gunung yang mengumandangkan azan untuk solat lalu dia mendirikan solat. Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Lihatlah hamba-Ku ini, dia mengumandangkan azan dan mendirikan solat kerana takut kepada-Ku. Sesungguhnya Aku telah mengampuni hamba-Ku dan memasukkannya ke dalam syurga.’

Riwayat al-Nasa’i (666); Abu Daud (1203) dan Ahmad (17442) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Begitu juga hadith Abu Qatadah R.A, katanya:

سِرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً، فَقَالَ بَعْضُ القَوْمِ: لَوْ عَرَّسْتَ بِنَا يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: أَخَافُ أَنْ تَنَامُوا عَنِ الصَّلاَةِ. قَالَ بِلاَلٌ: أَنَا أُوقِظُكُمْ، فَاضْطَجَعُوا، وَأَسْنَدَ بِلاَلٌ ظَهْرَهُ إِلَى رَاحِلَتِهِ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ فَنَامَ، فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ طَلَعَ حَاجِبُ الشَّمْسِ، فَقَالَ: يَا بِلاَلُ، أَيْنَ مَا قُلْتَ؟ قَالَ: مَا أُلْقِيَتْ عَلَيَّ نَوْمَةٌ مِثْلُهَا قَطُّ. قَالَ: إِنَّ اللهَ قَبَضَ أَرْوَاحَكُمْ حِينَ شَاءَ، وَرَدَّهَا عَلَيْكُمْ حِينَ شَاءَ، يَا بِلاَلُ، قُمْ فَأَذِّنْ بِالنَّاسِ بِالصَّلاَةِ». فَتَوَضَّأَ، فَلَـمَّا ارْتَفَعَتِ الشَّمْسُ وَابْيَاضَّتْ، قَامَ فَصَلَّى 

Maksudnya: “Kami berjalan bersama Nabi SAW pada suatu malam, lalu sebahagian orang berkata: ‘Alangkah senangnya kalau engkau singgah sebentar bersama kami wahai Rasulullah.’ Baginda menjawab: ‘Aku khuatir kamu tertidur sehingga melewatkan solat.’ Bilal berkata: ‘Aku akan mengejutkan kamu semua (daripada tidur).’ Maka mereka pun berbaring, dan Bilal bersandar pada haiwan tunggangannya, lalu kedua matanya mengantuk dan beliau pun tertidur. Ketika Nabi SAW bangun, sinar matahari sudah terbit, maka Baginda bersabda: ‘Wahai Bilal, mana kata-katamu?’ Bilal berkata: ‘Aku tidak pernah tertidur seperti ini.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah menahan roh kamu apabila Dia kehendaki, dan Dia mengembalikannya semula kepada kamu apabila Dia kehendaki. Wahai Bilal, bangunlah dan kumandangkanlah azan untuk memanggil orang ramai mengerjakan solat.’ Lalu Baginda berwuduk. Ketika matahari mulai tinggi dan cerah, Baginda berdiri dan mengerjakan solat.

Riwayat al-Bukhari (595)

Jumhur ulama memahami perintah dalam hadith-hadith ini sebagai sunat dan bukannya wajib.

Selain itu, sebahagian mereka berhujah dengan menyatakan, azan adalah bertujuan untuk memberitahu orang ramai bahawa waktu solat telah masuk supaya mereka dapat hadir bagi mendirikan solat secara berjemaah. Orang-orang musafir sering dalam perjalanan maka tidak makruh bagi mereka meninggalkannya kerana tujuan azan itu boleh tercapai tanpanya. Berbeza halnya dengan orang yang tidak bermusafir kerana mereka mungkin berpisah-pisah dan sibuk dengan pekerjaan masing-masing serta tidak mengetahui (tidak sedar) waktu solat telah masuk. Maka, makruh meninggalkan azan sebagai pemberitahuan waktu solat pada hak mereka. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/153).   

Pendapat kedua, azan diwajibkan ke atas orang musafir sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang bermukim. Ini adalah pendapat Hanabilah dalam satu riwayat, pendapat yang dipilih oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Muhammad bin Ibrahim, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin. (Lihat al-Insaf, 1/407; al-Mughni, 1/252; al-Mukhtarat al-Jaliyyah, hlm. 37; Fatawa al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim, 2/114; al-Syarh al-Mumti‘, 2/39-40).

Mereka berhujah dengan menyatakan, Nabi SAW melaungkan azan (untuk solat) ketika tidak bermusafir dan juga ketika bermusafir sebagaimana dinyatakan dalam hadith Malik bin al-Huwairith dan Abu Qatadah (seperti yang kami telah sebutkan sebelum ini di atas) serta hadith selainnya. Baginda SAW tidak pernah meninggalkan azan mahupun iqamah ketika musafir dan tidak musafir. Justeru, perkara itu menunjukkan kepada wajibnya azan dan iqamah pada hak orang musafir. (Lihat al-Mughni, 1/252).

Begitu juga Syeikh Abdullah bin Hamid memilih pendapat bahawa wajib azan bagi orang musafir. Dalam syarahan beliau terhadap teks dalam al-Raudh al-Murbi‘ menyatakan: Wajib azan ke atas orang yang bermukim di kawasan kampung dan bandar. Merekalah yang akan melaungkan azan. Adapun bagi orang yang bermusafir, tidak diwajibkan azan kepada mereka. Ini kerana mazhab (Hanbali) tidak mewajibkan kepada mereka untuk azan, dan azan pada hak mereka adalah sunat. Jika mereka mendirikan solat tanpa azan (sebelumnya), maka tidak mengapa, begitu juga tanpa iqamah. Inilah pendapat menurut mazhab (Hanbali). Akan tetapi pendapat yang tepat adalah diwajibkan kepada mereka untuk azan dan tidak boleh meninggalkannya sekalipun mereka sedang bermusafir. Hal ini kerana sesiapa yang menelusuri (mengkaji) sirah Rasulullah SAW dalam permusafirannya dan peperangannya akan mendapati bahawa tidak dinukilkan satu pun riwayat yang menceritakan bahawa Baginda meninggalkan azan dalam permusafirannya sekalipun hanya sekali. Demikianlah juga para sahabat sentiasa bermusafir, tetapi tidak terdapat satu riwayat pun yang menceritakan bahawa mereka meninggalkan azan meskipun hanya sekali. Ini kerana pada azan itu terdapatnya pahala yang besar dan menzahirkan syiar-syiar Islam. Jadi, mengkhususkan kewajipannya hanya kepada penduduk kampung setempat dan bandar (yakni orang yang bermukim) memerlukan kepada dalil dan tidak ada dalil mengenai hal itu. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/255).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa azan dan iqamah bagi orang yang bermusafir adalah sunat muakkad dan bukannya wajib sebagaimana halnya solat fardhu secara berjemaah. Namun, jika orang yang bermusafir dapat melaungkan azan sebelum solat sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf, maka itu adalah lebih baik dan utama. Lebih-lebih lagi meninggalkan azan dan iqamah menyebabkan seseorang itu terlepas daripada mendapatkan fadhilat dan kelebihan-kelebihannya yang besar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H