#2632: Memakan Daging Kanggaru

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terfikir-fikir, sebenarnya bolehkah haiwan seperti kanggaru dimakan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu kanggaru. Kanggaru ialah haiwan berbulu yang melompat dengan kaki belakang. Kanggaru adalah anggota terbesar dalam kumpulan mamalia yang dikenali sebagai marsupial. Antara kebanyakan marsupial, termasuk kanggaru, haiwan betinanya mempunyai kantung di perutnya. Ia melahirkan anak yang kecil, yang kemudiannya membesar dalam kantung ini. Kanggaru hanya tinggal di Australia dan pulau berhampiran.

Jenis kanggaru. Terdapat kira-kira 50 spesies dalam famili kanggaru. Kanggaru merah dan kelabu ialah anggota famili kanggaru yang paling dikenali. Kanggaru merah tinggal di dataran berumput di pedalaman Australia. Kanggaru kelabu barat tinggal dari pantai barat daya hingga ke Australia Selatan, barat laut Victoria dan barat New South Wales. Kanggaru kelabu timur tinggal di timur dan tengah Queensland dan di Tasmania. 

Di antara jenis kanggaru juga ialah kanggaru pokok dan walabi. Kanggaru pokok tinggal di atas pokok dalam hutan hujan di timur laut Queensland dan New Guinea. la mempunyai kaki belakang yang pendek dan ekor prehensil (mencengkam). Walabi pula ialah kanggaru yang benar-benar kecil. Tiada bezanya antara walabi dan kanggaru kecuali saiznya. Malah dari segi saiznya pun mungkin terdapat pertindanan, kerana sesetengah haiwan yang dikenali sebagai walabi mungkin lebih besar daripada kanggaru. Walabi leher merah yang sangat terkenal di timur Australia biasanya dinamakan kanggaru di Tasmania. Walabi yang lincah sangat biasa ditemui di seluruh utara Australia. la terdapat dari hutan pantai hingga ke Selatan Queensland. Walabi batuan terdapat di singkapan batuan di banyak bahagian Australia. Walabi ini melompat di sepanjang permukaan cenuran dengan lincah seperti kambing.

Kini, kanggaru terdapat dalam jumlah yang besar. Satu kajian menunjukkan bahawa dataran di pedalaman New South Wales sahaja mempunyai dua juta kanggaru merah dan kira-kira satu setengah juta kanggaru kelabu. Di Queensland terdapat lebih banyak lagi kanggaru.

Walaupun kanggaru yang muda mungkin mempunyai beberapa musuh semula jadi, kanggaru dewasa hanya menghadapi ancaman daripada dingo dan helang ekor baji. Orang asli pernah memburu kanggaru untuk dimakan, tetapi menghentikan kegiatan ini sebelum peneroka British tiba pada tahun 1788. Apabila peladang memugar tanah dan memperkenalkan biri-biri dan haiwan lain yang memakan rumput, mereka telah mengubah persekitaran tempat tinggal kanggaru. Dalam sesetengah kes, ini menyebabkan bilangan kanggaru berkurangan terutamanya jenis walabi. Walabi toolache yang pernah didapati di Australia Selatan dan Victoria, kini dianggap telah pupus. Dalam kes lain, perubahan yang dibawa oleh manusia membantu kanggaru untuk seketika sehingga perburuan secara besar-besaran akhirnya menyebabkan populasi kanggaru berkurangan. Pada hari ini, semua negeri memulakan pelbagai kawalan bagi memastikan keselamatan haiwan ini pada masa depan. 

Autoriti tidak bersetuju tentang sebanyak mana kanggaru menjejaskan rumput yang tersedia ada untuk biri-biri dan lembu. Bukti menunjukkan bahawa terdapat sedikit perbezaan terhadap baka yang boleh. Dengan adanya dasar negeri berhubung dengan perburuan kanggaru dan bilangan taman negara yang semakin bertambah, kanggaru besar selamat daripada kepupusan. Anggota kecil dalam famili ini lebih terdedah kepada bahaya ini. Dari segi pengelasan saintifik kanggaru dan saudaranya tergolong dalam famill marsupial, Macropodidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 10/180-183).

Hukum memakan kanggaru

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging kanggaru adalah halal dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Lebih-lebih lagi, kanggaru juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi kanggaru merupakan haiwan herbivor yang tegar. Dalam erti kata lain, ia hanya bergantung pada bahan tumbuhan untuk terus hidup. Secara umumnya, terdapat enam jenis makanan yang biasanya dimakan oleh kanggaru iaitu rumput, pokok renek, daun, lumut, buah-buahan dan tumbuhan berbunga.

Selain itu, dikatakan bahawa daging kanggaru ialah daging kurang lemak dengan kurang daripada 2% lemak, menjadikannya pilihan daging merah yang lebih sihat. Ia juga tinggi dengan protein, vitamin B penting, mineral seperti zink, zat besi dan lemak omega 3 dan asid lemak omega 6. Berbanding dengan daging lembu, kanggaru mengandungi dua kali ganda jumlah zat besi dan tiga kali ganda daripada daging ayam dan daging babi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H