#2634: Cukai Sebagai Ganti Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah cukai dapat menggantikan zakat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Cukai

Cukai ialah biaya yang dibayar oleh individu atau syarikat secara berwajib kepada pemerintah sesebuah negara sepertimana yang ditetapkan undang-undang agar pemerintah dapat melaksanakan tugas-tugasnya untuk menjalankan pemerintahan melalui perbelanjaan yang banyak dikhususkan untuk rakyat. 

Terdapat bermacam-macam batasan atau definisi tentang “cukai” yang dikemukakan dalam kalangan pakar bidang kewangan. Pierre Paul Leroy Beaulieu, seorang ahli ekonomi Perancis, memberikan kefahamannya terhadap cukai sebagai suatu bantuan “diwajibkan kekuasaan awam…untuk menutup belanja pemerintah” baik secara langsung melalui pemberian mahupun tidak secara pengambilan untung daripada pemerolehan barangan. 

Cukai dari perspektif ekonomi difahamkan sebagai beralihnya sumber daya dari sektor swasta kepada sektor awam. Sementara pemahaman cukai dari perspektif undang-undang pula merupakan suatu perikatan yang timbul kerana adanya undang-undang yang menyebabkan timbulnya kewajiban warganegara menyimpan sejumlah hasil pendapatan tertentu kepada negara yang berkuasa, di mana wang cukai tersebut harus dipergunakan untuk penyelenggaraan pemerintahan.

Antara jenis cukai ialah:

  • Cukai pendapatan
  • Cukai jualan
  • Cukai tanah
  • Cukai pintu
  • Cukai jalan

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cukai disebut sebagai dharibah (ضريبة) dalam bahasa Arab. Ia didefinisikan sebagai kewajiban yang dilazimkan terhadap rakyat mengikut kadar tertentu bagi tujuan merealisasikan sebahagian daripada perancangan ekonomi, pentadbiran, politik, kemasyarakatan dan tujuan-tujuan lain, yang menjadi agenda sesebuah negara. Sumbernya adalah kesemua jenis hasil pendapatan dan dikutip daripada semua rakyat yang berpendapatan. 

Definisi Zakat

Manakala zakat pula merupakan kewajiban agama berdasarkan kadar tertentu daripada harta umat Islam untuk disalurkan kepada golongan tertentu, juga dengan syarat tertentu bagi tujuan menyucikan jiwa dan harta. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah.  (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398) Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili pula menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.” 

Riwayat al-Bukhari (1496) 

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Cukai, walau apa pun jenisnya tidak dapat menggantikan zakat kerana tempat untuk disalurkan zakat tidak sama dengan tempat untuk disalurkan cukai. Apabila cukai diberlakukan secara zalim misalnya, maka tidak boleh menzalimi orang-orang fakir dengan menghalang mereka daripada hak mereka yang telah ditentukan di dalam harta orang-orang kaya. Bahagian yang wajib dizakatkan itu bukanlah hak milik orang-orang kaya, akan tetapi ia adalah hak milik kaum fakir untuk kemaslahatan mereka. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 30)

Penutup

Sesungguhnya, zakat dan cukai dua unsur yang berlainan; satu kewajipan daripada Allah SWT dan termasuk dalam rukun Islam iaitu zakat. Sedangkan cukai pula kewajipan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah mengikut maslahat setempat. Justeru, ia amat berbeza antara kedua-duanya dan tidak boleh menggantikan antara satu sama lain. Tetapi, alhamdulillah di Malaysia kerajaan memberi pengecualian dan potongan tertentu hasil daripada mereka menunaikan zakat sebelum dikenakan cukai. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H