Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri tafsirkan dan terangkan kepada kami apakah maksud nikmat seperti yang termaktub dalam surah al-Takathur ayat 8?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Maksudnya: “Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”
Surah al-Takathur (8)
Imam al-Qurtubi berkata: Manusia akan ditanya tentang nikmat dunia yang melalaikannya daripada beramal untuk hari akhirat. Soalan yang akan ditanya pada hari akhirat ini bersifat umum kepada orang kafir dan Mukmin tentang kelazatan dunia. Ia akan ditanya kepada orang kafir untuk mempersendakannya kerana maksiat dan kekufurannya. Manakala soalan kepada orang Mukmin adalah untuk memuliakannya kerana ketaatan dan kesyukurannya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/177)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Pada hari itu, kamu akan ditanya tentang kenikmatan yang telah kamu nikmati di dunia, apakah kamu bersyukur atasnya, memenuhi hak Allah dalam menggunakannya, dan tidak menggunakannya untuk melanggar perintah-Nya. Ataukah kamu tertipu oleh kenikmatan tersebut dan tidak bersyukur? Bahkan mungkin kamu telah menggunakan kenikmatan tersebut untuk melakukan maksiat kepada Allah, dan sebagai akibatnya, kamu akan dihukum karana itu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 933)
Soalan yang ditanya ini adalah ketika manusia dihisab di Padang Mahsyar. Ia berlaku sebelum manusia melihat dan diazab di dalam api neraka, walaupun Allah memberi peringatan tentangnya selepas manusia melihat api neraka. Turutan tersebut hanyalah daripada sudut pemakluman daripada Allah, bukan turutan perkara yang akan berlaku. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/388)
Daripada Makhul ketika ditanya tentang ayat ini, beliau menjawab, “Nikmat dengan maksud dapat meminum air yang sejuk, berteduhnya orang-orang miskin, kenyangnya perut, tubuh badan yang sihat dan mampu berdiri serta kelazatan merasa nikmat tidur.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 295).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H