#2695: Cara Rasulullah Bercakap

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah Cara Rasulullah SAW Bercakap?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْرُدُ سَرْدَكُمْ هَذَا وَلَكِنَّهُ كَانَ يَتَكَلَّمُ بِكَلاَمٍ بَيْنَهُ فَصْلٌ يَحْفَظُهُ مَنْ جَلَسَ إِلَيْهِ

Maksudnya: Aisyah berkata: Rasulullah tidak pernah bercakap dengan laju seperti kamu semua. Beliau selalu bercakap dengan jelas dan terperinci, sehingga orang yang mendengar dapat menghafal apa yang mereka dengar.”

Riwayat al-Tirmizi (3639)

 

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعِيدُ الْكَلِمَةَ ثَلاَثًا لِتُعْقَلَ عَنْهُ

Maksudnya: Anas bin Malik bercerita: Rasulullah mengulangi percakapan beliau sehingga tiga kali supaya difahami (oleh mereka yang mendengar).

Riwayat al-Tirmizi (3640)

Kami nukilkan perbahasan ini dari buku, Bahasa Kepimpinan Rasulullah SAW Teladan Qiwamah dan Rumah Tangga:

Praktis bahasa ini menggunakan leksikal metafora proses qaala (قال) hanya dikeluarkan dalam keadaan yang perlu untuk menjelaskan fungsi ideasional. Baginda hanya akan mengeluarkan kata-kata pada tempat dan masa yang sesuai dan jika tidak memerlukan respons dari Baginda, Baginda akan senyap. Oleh itu, dapat kita fahami meskipun kata-kata Baginda itu ringkas dan pendek, tetapi penuh dengan makna.

Dalam menangani konflik rumah tangga, praktis bahasa perundingan melalui leksikal metafora proses tutur “قال” membawakan metawacana penegasan ketara untuk menjelaskan bahawa ia benar-benar kata-kata Rasulullah SAW. Rasulullah SAW diriwayatkan menggunakan beberapa modus performatif ketika berkata-kata, antaranya modus seruan dan modus perintah, selain daripada ayat penegasan keterangan syarat yang menunjukkan ketegasan dan serius dalam memberi saranan kepada isteri Baginda untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Penegasan kata-kata ini menyeru agar Aisyah ra. bertindak membela dirinya dan kembali kepada kebenaran. Oleh itu, penegasan ini mengaitkan dengan autoriti tertinggi, iaitu Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

قَالَ ‏”‏ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا، فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ، وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ، فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ ‏”‏‏.‏

Maksud: “Wahai Aisyah! Saya sudah mendengar cerita tentang dirimu begini dan begitu, Jika kamu bersih daripada semua tuduhan itu, nescaya Allah akan membersihkanmu. Tetapi jika kamu terpalit dengan dosa, maka mohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya; kerana sesungguhnya hamba Allah apabila mengetahui dosanya kemudian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.”

Riwayat al-Bukhari (2661)

Sabda Rasulullah SAW yang memulakan ayat dengan menyatakan kesalahan yang beliau lakukan melalui modus penegasan, seterusnya modus keterangan syarat yang mengandaikan hanya dua perkara iaitu sama ada berada di pihak yang benar atau bersalah. Kedua-dua keadaan mengaitkan dengan Allah SWT menyerlahkan fungsi ideasional bahasa dalam memberi peluang kepada Aisyah ra. membela diri. Hubungan dengan Pencipta dikaitkan ketika berada dalam kesusahan dan mensucikan diri dari segala dosa supaya kesusahan itu terangkat dan masalah dapat diselesaikan. Oleh itu, kaedah bersemuka ini membawa kepada penyelesaian masalah. Praktis bahasa perundingan secara penegasan ketara ini menjadikan kedua-dua fungsi interpersonal dan ideasional bahasa dapat dijelaskan.

Identiti qiwamah Rasulullah SAW yang bersifat toleransi dan tenang dapat diperjelaskan melalui fungsi-fungsi bahasa ini. Ketenangan Baginda menghadapi situasi genting ini perlu menjadi qudwah pemimpin rumah tangga yang bergelar suami. Sikap rasional Baginda sebagai pemimpin yang tidak mencampuri urusan ini dengan emosi memberi peluang kepada wanita untuk membela diri dan menyatakan kebenaran. Melalui perundingan, pemimpin tidak hanya mendengar dari sebelah pihak yang menyebarkannya sahaja. Oleh itu, perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang salah dan membawa kepada keruntuhan rumah tangga serta penganiayaan ke atas wanita suci.

Intertekstualiti representasi melalui laporan pemerhatian terhadap Rasulullah SAW juga menunjukkan fungsi interpersonal bahasa perundingan yang turut dihadiri oleh kedua ibu bapa beliau. Perawi melaporkan kehadiran ini melalui struktur periwayatan wacana interaksi ujaran lebih dua serangkai dan menunjukkan penglibatan ibu bapa beliau, iaitu ketika meminta mereka membuktikan kesucian beliau. Namun, kedua-duanya tidak dapat mengemukakan bukti penafian tuduhan tersebut. Melalui jawapan beliau yang penuh ketegasan menggunakan modus performatif bahawa hanya Allah SWT yang akan menjadi saksi kesucian beliau menjelaskan fungsi ideasional bahasa.

Laporan naratif proses tutur takallama juga membawakan metawacana sabda Rasulullah SAW selepas mendapat wahyu penyucian. Baginda bersabda maksudnya: “Wahai Aisyah, pujilah Allah! Sungguh Allah telah membebaskanmu (dari tuduhan)”, menggabungkan antara modus performatif seruan dan imperatif bagi menjelaskan fungsi ideasional bahasa. Praktis bahasa perundingan dalam rumah tangga mempertalikan perhubungan dengan Allah SWT supaya bersyukur di atas kurniaan-Nya yang begitu besar. Manakala tiada respons juga turut dilaporkan dalam riwayat kerana diam juga suatu jenis respons, yang menunjukkan ia diperakukan. Diam Rasulullah SAW pula membawa seribu hikmah yang menunjukkan fungsi interpersonal bahasa (Lihat Bahasa Kepimpinan Rasulullah SAW Teladan Qiwamah dan Rumah Tangga, hlm 74-76)

Benarlah firman Allah SWT agar kita mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah hasanah:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H