Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar bahawa ahli syurga adalah orang yang bodoh, benarkah begitu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berdasarkan pengamatan kami serta mantik dan badihi melalui nas, sebenarnya orang yang cerdiklah ahli syurga. Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut, ahli syurga adalah mereka yang dikenali sebagai ulul albab iaitu yang mempunyai akal.
Firman Allah SWT:
نَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ﴿١٩٠﴾ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah Ali ‘Imran: 190-191)
Sedangkan hadith yang menyebut ahli syurga sebagai orang-orang yang bodoh adalah hadith yang tidak sahih dan tidak sabit seperti kata Dr Yusuf al-Qaradhawi.
أَكْثَرُ أَهْلِ الْجَنَّةِ الْبَلْهُ
Maksudnya: “Kebanyakan ahli syurga adalah orang-orang bodoh.”
Riwayat al-Bazzar (6339), al-Tahawi (2982) di dalam Syarh Musykil al-Athar, Ibn ‘Udai di dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (3/313) Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2/499), Ibn al-Jauzi dalam al-Ilal al-Mutanahiah (2/452), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (37/86) dan al-Zahabi dalam al-Siyar (6/303). Lihat Silsilah al-Da’ifah (no. 6154).
Hadith ini disebut oleh Syeikh Mashur bin Hasan al-Salman hafizahullah dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Ahadith al-Ḍa‘ifah dwal-Mawdu’ah Mujarradah ‘An al-Takhrij, hlm. 686, hadith nombor 3527. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Ahadith al-Da‘īfah wal-Mawdu‘ah karya Syeikh Muhammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله .
Kami katakan bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang cerdik bahkan sifatnya fatanah. Begitu juga para nabi-nabi AS, para sahabat dan tabi’in. Mungkin maksud jika ditakwilkan kerana mereka tidak melihat kepada laba dan keuntungan dunia sebaliknya akhiratlah yang diutamakan. Benarlah firman Allah SWT:
بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿١٦﴾ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
Maksudnya: “(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
(Surah al-A’la: 16-17)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H