Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar ada orang sebut tentang fiqh teragung atau fiqh terbesar. Benarkah ada fiqh seperti itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami terangkan dahulu makna fiqh atau definisinya. Fiqh mempunyai dua pengertian. Pertama, pada bahasa dan kedua, pada istilah.
Fiqh pada bahasa bererti faham. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَمَالِ هَؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا
Maksudnya: “Maka, apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”
(Surah al-Nisa’: 78)
Firman Allah SWT lagi:
وَلَكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ
Maksudnya: “Akan tetapi, kamu tidak faham akan tasbih mereka.”
(Surah al-Isra’: 44)
Begitu juga hadith sabda Rasulullah SAW:
إِنْ طُولَ صَلَاةِ الرَّجُلِ وَقِصَرَ خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang yang lama solatnya dan pendek khutbahnya adalah tanda kefahamannya.”
Riwayat Muslim (86)
Pengertian fiqh pada istilah pula membawa kepada dua maksud:
Pertama: Mengetahui hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan segala perbuatan dan perkataan mukallaf berdasarkan kepada dalil-dalil terperinci, iaitu nas al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan ijtihad, yang diambil yang daripada kedua-duanya. Sebagaimana diketahui bahawa niat ketika berwudhu’ adalah wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ باليات
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Berniat pada waktu malam adalah syarat sah puasa. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
من لم يُبت الصيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa sebelum fajar terbit, puasanya tidak dikira.”
Riwayat al-Baihaqi (4/202) dan al-Daruqutni (2/172) yang mengatakan semua periwayatnya thigah.
Begitu juga solat witir adalah sunat berdasarkan hadith seorang Badwi yang bertanya Rasulullah SAW tentang solat fardhu, kemudian katanya: “Adakah solat yang lain lagi diwajibkan ke atasku?” Baginda menjawab “Tidak, kecuali kamu melakukan solat sunat.”
Seterusnya, solat sunat selepas solat Asar adalah makruh berdasarkan Rasulullah SAW telah menegah melakukannya selepas solat Asar hingga matahari terbenam. Contoh yang lain lagi ialah menyapu sebahagian kepala ketika berwudhu’ adalah wajib. Firman Allah SWT:
وَأَمْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ
Maksudnya: “Dan sapulah sebahagian dari kepala kamu.”
(Surah al-Maidah: 6)
Kedua: Hukum syara’ itu sendiri. Justeru, apabila dikatakan: “Kamu mempelajari fiqh.” la bererti mempelajari hukum-hukum syara? yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang diambil daripada al-Quran, al-Sunnah, ima ulama’ dan ijtihad mereka.
Contohnya, hukum-hukum wudhu’, solat, jual beli, perkahwinan dan penyusuan, jihad dan lain-lain. Kesemua hukum syara’ ini juga dinamakan fiqh dari segi istilah. Perbezaan antara dua istilah tersebut ialah:
- Istilah pertama digunakan untuk mengetahui hukum-hukum.
- Istilah kedua digunakan pada hukum syara’ itu sendiri.
Begitu juga orang yang tidak beriman kepada Allah SWT tidak terikat dengan ibadat solat dan puasa. Mereka akan bertindak tanpa mengira halal dan haram. Justeru, beriltizam dengan segala hukum syara’ merupakan satu cabang daripada beriman kepada Allah SWT yang telah menurunkan syariat kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/93-95)
Dalam menjawab persoalan di atas, Umar bin Abdul Aziz berkata: “Fiqh yang terbesar atau teragung ialah bersifat qana‘ah dan menahan daripada menyakiti manusia.” kenyataan ini jelas menunjukkan betapa faham dan faqihnya Umar bin Abdul Aziz ketika menyampaikan nasihat ini kepada Uthman al-Dujani supaya mendidik anak dengan fiqh yang terbesar ini. Denga mengamati dua sifat tersebut, iaitu qana ‘ah dan menahn daripaada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana kedua-duanya akan menyelamatkan kita daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh manusia. (Lihat Umar bin Abdul Aziz, hlm. 119)
Marilah sama-sama kita menghiasi sifat ikhlas, jujur, qana‘ah dalam kehidupan kita. Juga kita mohon kepada Allah SWT supaya Allah mengislahkan kita.
Marilah kita berdoa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H