#2727: Hibah Sebelum Meninggal Yang Tidak Sempat Dipindah Milik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semasa hidup, bapa ada beritahu untuk memberi sebidang tanah kepada kakak dan adik lelaki (sama rata) tapi belum sempat pindah milik bapa sudah meninggal dunia. 

Sekarang, ibu menjadi pemegang amanah tapi adik lelaki meninggal dunia dan meninggalkan warisnya pula. Adakah sah wasiat bapa untuk memberi kepada kakak dan adik lelaki sama rata? 

Ini kerana adik-beradik lain setuju  kerana sudah dapat bahagian masing-masing ketika bapa masih hidup. Tanah akan dipindah milik ke atas nama kakak dan jika dijual perlu dibahagikan 2:1 (faraid) atau sama rata?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pengertian Hibah

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142) Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian (‘iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)

Di samping itu, hibah adalah merupakan pemberian sesuatu tanpa gantian, dan ini merupakan maksud umum pemberian. Hadiah pula ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Manakala sedekah ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120) Oleh iu, dapat dilihat ketiga-tiga perkara tersebut berbeza mengikut niat pemberi.

Hibah merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk digunakan manfaatnya kepada penerima. Ia merupakan pemberian sesuatu ain (benda) miliknya kepada orang lain sewaktu hidupnya tanpa mengharap apa-apa pembalasan. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/175)

Dalam erti kata lain, hibah merupakan pemberian sesuatu kepada orang lain sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan tanpa sebarang pertukaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum daripada hadiah dan juga sedekah. Setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/120-121, 253)

Pensyariatan dan Hukum Hibah

Terdapat dalil al-Quran, Sunnah serta Ijma’ dalam galakan berhibah bagi membantu dan mengeratkan lagi tali silaturrahim. Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Hukum Asal Hibah

Hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Rukun dan Syarat Hibah

Secara umumnya, rukun bagi hibah ada tiga iaitu:

  • Pemberi hibah
  • Penerima hibah
  • Ijab dan Qabul

Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang shahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman. (Lihat Raudhah al-Talibin, 5/365-366)

Hibah dikira sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukunnya. Syeikh Muhammad Zuhaili membahagikan rukun hibah tiga secara umum dan lima secara terperinci iaitu:

Pertama: Dua pihak yang berakad, iaitu pemberi dan penerima.

  • Para fuqaha’ dalam mensyaratkan pemberi hibahmestilah orang yang mukallaf, berakal, baligh serta layak untuk menyumbang.
  • Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak layak untuk melakukan hibah
  • Harta atau barang yang hendak dihibahkan itu mestilah milik sepenuhnya daripada diri pemberi
  • Selain itu, disyaratkan kepada penerima hibahmestilah orang yang mukallaf. Namun sekiranya tidak mukallaf pihak wali boleh menerimanya.

Kedua: Akad Sighah

  • Di syaratkan untuk melakukan hibahmestilah ada ijab dan qabul dengan lafaz sama ada secara jelas (sorih) atau kiasan (kinayah). Maka sah akad perjanjian secara kinayah seperti akad perjanjian bertulis.
  • Lafaz ijabdan qabul itu mestilah berkesinambungan dan tidak terputus seperti akad jual beli.

Ketiga: Barang yang hendak dihibah

  • Syarat barang untuk dihibahadalah setiap barang yang harus dijual beli. Ini kerana tujuan hibah adalah penukaran hak milik.
  • Barang yang hendak dihibahmestilah wujud. Oleh itu, tidak sah menghibahkan anak kambing yang berada di dalam kandungan.
  • Barangan itu mestilah bernilai dan memberi manfaat. Tidak sah sekiranya menghibah barang yang tidak bernilai di sisi syara’seperti arak dan khinzir.
  • Pemberi mesti memiliki barang yang hendak dihibahkan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/178, al-Fiqh al-Manhaji, 6/120)

Al-Qabd (Penerimaan Hibah)

Apabila sempurna akad hibah ijab dan qabul, akan tetapi belum menerima hibah tersebut maka ia masih lagi belum berpindah hak milik. Oleh itu, pemberi boleh menarik balik hibah tersebut selagi mana hibah tersebut tidak sampai ke tangan penerima. Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan: “Tidak dikira sebagai hak milik penerima selagi mana belum menerima hibah (qabd). Oleh itu, pemberi boleh menarik semula pemberiannya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/182)

Hal ini sepertimana hadith riwayat al-Hakim dengan sanad yang sahih menurutnya:

لَمَّا تزَوَّجَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أُمُّ سَلَمَةِ قَالَ لَهَا: إِنِّي أَهْدَيْتُ إِلِى النَّجَاشِي أَوَاقاً مِنْ مِسْكٍ، وَحُلَّةٌ، وَإِنِّي لاَ أَرَاهُ إِلاَّ قَدْ مَاتَ، وَلاَ أَرَى الَهِدِّيَةَ الَتِّي أَهْدَيْتُ إِلَيْهِ، إِلاَّ سَتَرُدُّ، فَإِذَا رُدَّتْ إِلَيَّ فَهُوَ لَكِ أَمْ لَكُمْ؟ فَكَانَ كَمَا قَالَ هَلَكَ النَّجَاشِي، فَلَمَّا رُدَّتْ إِلَيْهِ الهَدِيَّةُ، أَعْطَى كُلُّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أَوْقِيَّةِ مِنْ ذَلِكَ المِسْكِ، وَأَعْطَى سَائِرَهُ أُمُّ سَلَمَةِ وَأَعْطَاهَا الحُلَّة

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW mengahwini Ummu Salamah R.Anha. Baginda bersabda kepadanya: “Aku hadiahkan kepada Najashi beberapa auns minyak kasturi dan perhiasan tetapi aku merasakan dia telah meninggal dunia. Aku juga merasakan hadiah yang aku berikan kepadanya ini akan dipulangkan. Apabila hadiah itu dipulangkan kepada aku, ia akan menjadi hak engkau atau hak kamu semua. Seperti mana yang dikatakan tentang kematian Najashi, apabila dikembalikan hadiah itu, maka dihadiahkan kepada semua isteri-isteri baginda SAW minyak wangi itu, dan diberikan baki selebihnya kepada Ummu Salamah, kemuan ia menerima sebelihnya daripada perhiasan.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/188)

Oleh itu, sekiranya akad hibah berkuatkuasa sebelum penerimaannya, maka Nabi SAW tidak akan bersetuju untuk menerimanya semula. Dan Baginda SAW akan menyerahkan kepada waris Najashi kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pusaka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/126)

Dua Keadaan Hibah

Secara ringkasnya, dalam masalah hukum hibah ini, terdapat dua keadaan:

  • Kita sebut hibah tetapi pelaksanaan kehibahan itu belum berlaku lagi. Maka keadaan seperti ini, kita tidak menganggapnya sebagai hibah.
  • Kita sebut hibah dan pelaksanaan hibah itu turut berlaku.

Sebagai contoh, seseorang berkata kepada anaknya: “Motosikal ayah itu, kamu ambillah. Ayah hadiahkan pada kamu.” Dalam contoh ini, pemberian ini belum berlaku secara sempurna.

Pemberian secara sempurna hanya berlaku selepas berlaku pertukaran nama pada geran motosikal tersebut kepada nama anaknya. Selepas berlaku proses tersebut, barulah ia dipanggil hibah. Tetapi sekiranya hanya menyebut hendak memberi tanpa pertukaran nama, maka ia masih belum dikira hibah.

Hal ini kerana apabila dirujuk kepada undang-undang, sekiranya tidak berlaku proses seperti itu melainkan hanya lafazan mulut sahaja, maka ia akan menjadi pertikaian. Hal ini kerana tiada bahan bukti untuk dijadikan sandaran. Meskipun ketika hibah dilafazkan dengan sempurna malah turut bersumpah dengan nama Allah.

Oleh itu, merujuk isu di atas, apabila seseorang menghibah barang kepada seseorang, maka perlu dilihat setakat mana hibah tersebut berlaku. Adakah hanya lafazan di mulut sahaja atau sudah berlaku proses pertukaran nama. Sebab itulah disebut:

التَّبَرُّعُ لَمْ تَتِمّ حَتَّى يَقْبِض

Maksudnya: “Tabarru’ itu tidak berlaku sehingga dia memegang.” Disebut juga dengan beberapa lafaz lain seperti: ‘لا يتم التبرع إلا بالقبض’ (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 90)

Memegang tersebut adalah sama ada memegang secara hissi atau secara maknawi. Sebagai contoh kereta dan rumah dipegang dengan adanya geran. Hal ini adalah berdasarkan kepada realiti semasa.

Oleh itu, perkara-perkara kecil seperti wang RM50, apabila dihibah kepada seseorang, apabila yang diterima memegang maka ia sudah dikira sebagai hibah.

Akan tetapi benda-benda besar seperti kenderaan, rumah, tanah, share saham dan seumpamanya maka kesemuanya ini perlu kepada pertukaran pindah milik. Apabila berlaku proses tersebut, maka baru dikira sebagai hibah.

Kami nyatakan juga di sini beberapa hukum yang dipetik daripada kitab al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal antara lain menyebut:

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barang yang disedekahnya jika telah diterima oleh orang lain atau kaum keluarga. Ini berdasarkan nas Saidina Umar bin al-Khattab R.A yang berkata:

مَنْ وَهَبَ هِبَةً لِصِلَةِ رَحِمٍ ، أَوْ عَلَى وَجْهِ صَدَقَةٍ ، فَإِنَّهُ لاَ يَرْجِعُ فِيهَا

Maksudnya: “Siapa yang membuat hibahan kerana silaturrahim atau sebagai sedekah maka janganlah dia ambil kembali.” 

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/754), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12386)

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barangan hibah jika adanya gantian antara dua pihak.
  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak harus mengambil kembali hibah jika telah mati salah seorang dari kedua selepas telah diterima harta yang dihibah.
  • Tidak harus mengambil kembali jika hibah dari salah seorang suami isteri kepada pasangan masing-masing atau kaum kerabat seperti saudara perempuan. (Lihat al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal)

Justeru, sekiranya telah berlaku proses pindah milik terhadap barang yang dihibah, maka tidak boleh diambil semula barang tersebut. 

Kami katakan pada persoalan di atas seperti berikut:

  • Apabila berlaku kematian segeralah menyelesaikan pembahagian faraid supaya tidak timbul berlaku kematian seterusnya sehingga sukar untuk membahagi ia dikenali sebagai munasakhah.
  • Pembahagian biarlah mengikut pusaka atau ilmu faraid yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kerana ia menghilangkan rasa ketidakpuasan hati oleh semua pihak. Adapun selepas itu, berhaklah ia atau masing-masing untuk bahagi sama rata.
  • Hukum berkenaan pusaka ini sila rujuk ke Mahkamah Syariah sebagai penyelesaian yang baik.

Inilah sebahagian daripada nasihat saya. Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H