#2732: Mayat Tidak Diterima Bumi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kisah mayat tidak diterima bumi pada zaman Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjadi kelaziman apabila berlaku kematian, hendaklah dikebumikan. Firman Allah SWT:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

(Surah Taha: 55)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Anas R.A, katanya:

كَانَ رَجُلٌ نَصْرَانِيًّا فَأَسْلَمَ، وَقَرَأَ البَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، فَكَانَ يَكْتُبُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَعَادَ نَصْرَانِيًّا، فَكَانَ يَقُولُ: مَا يَدْرِي مُحَمَّدٌ إِلَّا مَا كَتَبْتُ لَهُ فَأَمَاتَهُ اللَّهُ فَدَفَنُوهُ، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ فَأَعْمَقُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَقَالُوا: هَذَا فِعْلُ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ، نَبَشُوا عَنْ صَاحِبِنَا لَمَّا هَرَبَ مِنْهُمْ فَأَلْقَوْهُ، فَحَفَرُوا لَهُ وَأَعْمَقُوا لَهُ فِي الأَرْضِ مَا اسْتَطَاعُوا، فَأَصْبَحَ وَقَدْ لَفَظَتْهُ الأَرْضُ، فَعَلِمُوا: أَنَّهُ لَيْسَ مِنَ النَّاسِ، فَأَلْقَوْهُ.

Maksudnya: Ada seorang lelaki Nasrani yang memeluk Islam dan membaca surah al-Baqarah serta Ali ‘Imran. Dia menjadi penulis untuk Nabi SAW. Suatu ketika dia kembali menjadi Nasrani dan berkata: “Muhammad tidak mengetahui selain apa yang aku tulis kepadanya.” Lalu Allah mematikannya dan mereka mengebumikannya.

Pada pagi keesokan harinya, jasadnya dicampak keluar oleh perut bumi. Orang Nasrani berkata: “Ini ialah perbuatan Muhammad dan para pengikutnya, ketika lari daripada mereka maka mereka menggali kubur sahabat kita dan mencampakkannya di atas tanah.” Mereka pun menggali kubur yang lebih dalam untuknya.

Namun, pagi keesokan harinya dia telah dicampak keluar oleh tanah. Mereka berkata: “Ini ialah perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya, mereka membongkar kubur sahabat kita, kerana dia keluar daripada agama mereka, lalu mereka mencampakkannya di atas tanah.” Mereka kembali menggali dan memperdalamkan kuburnya semampu mereka. Pagi keesokan harinya, dia kembali dikeluarkan oleh tanah. Akhirnya mereka mengetahui bahawa itu bukan perbuatan manusia. Maka mereka pun mencampakkannya begitu saja.

Riwayat al-Bukhari (3617) dan Muslim (2781)

Syeikh al-Islam berkata: Orang celaka ini yang mendustakan Nabi SAW bahawa dia tidak tahu apa yang Allah tetapkan ke atasnya sehingga Allah menghukumnya dan mendedah aibnya dengan dikeluarkan daripada bumi sekalipun ditanam beberapa kali. Hal seperti ini adalah perkara yang luar biasa menunjukkan setiap seseorang akan hukuman seperti ini apabila dituduhnya kepada Rasul dengan cara mendustakan sedangkan orang mati lain tidak dikenakan hukuman sepertinya. Ini merupakan jenayah yang amat besar, bukan semata-mata kerana murtad, kerana ramai orang murtad mati tidak dimusibah seperti ini. Sesungguhnya Allah ingin membalas kepada penghina Rasul-Nya SAW sehingga dia menzahirkan bagi agama-Nya dan pendustaan kepada pendusta kerana manusia tidak mungkin untuk membalas dan menghukum mereka. (Lihat al-Sarim al-Maslul,  1/122)

Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa ruginya penentang Rasulullah SAW apatah lagi yang memperlekeh dan mempersendakannya. Balasannya amat dahsyat di sisi Allah SWT di dunia lagi, sementelahan di akhirat pula.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H