#2749: Zakat Wang KWSP ke Tabung Haji?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah mengeluarkan wang KWSP dan mencukupi nisabnya. Kemudian saya telah memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam simpanan Tabung Haji. Adakah saya perlu membayar zakat wang KWSP tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

Takrif KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai.

KWSP juga menyediakan sistem yang efisien dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.

Setiap kakitangan kerajaan dan juga badan-badan berkanun dikehendaki mencarum sebanyak 9% daripada gajinya ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini bererti bahawa jumlah wang yang terkumpul hasil daripada pencaruman tersebut boleh meningkat kepada jutaan ringgit memandangkan jumlah kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun adalah ramai.

Bilangan kakitangan berkenaan yang beragama Islam merupakan kumpulan majoriti yang mencarum kepada KWSP. Sekiranya dibuat potongan terhadap simpanan itu sebagai menunaikan kewajipan membayar zakat sudah tentu jumlah yang akan didapati cukup untuk dijadikan modal bagi mengembangkan harta dan dikembalikan faedahnya kepada golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang dijelaskan dalam Islam.

Dalam hal ini, kami berpendapat hendaklah keluarkan zakat terlebih dahulu dan ini adalah lebih baik dan sepatutnya. Hal ini berdasarkan kepada 2 keputusan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan:

Manakala untuk pembayaran zakat wang simpanan KWSP yang dikeluarkan, kami bersependapat dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Bayaran Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sejurus Pengeluaran – Satu Alternatif. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Jumhur Ulama’ berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.
  • Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali Ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut “Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.”

Justeru, marilah kita laksanakan terlebih dahulu kewajipan menunaikan zakat sebelum dimasukkan ke dalam Tabung Haji seperti dalam kes saudara yang ebrtanya. Akhri kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H