#2762: Menegur Melalui Whatsapp Story

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum share ilmu agama dekat status Whatsapp dengan niat ingin memberi sentapan/ teguran pada seseorang? Hal ini kerana saya risau jika orang tersebut terasa pula.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-‘Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.” Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

 مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah –lemah iman.

Riwayat Muslim (49)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk menegur secara kiasan demi menjaga hati seseorang. Bahkan, melalui perkongsian ilmu tersebut, secara tidak langsung memberi manfaat kepada mereka yang melihat perkongsian tersebut.

Dalam hal ini, perlu kepada ilmu dan makrifah yang mendalam di samping memahami uslub dakwah serta fiqh al-nasihah dengan sebaik-baiknya. Matlamatnya biarlah jelas iaitu menjunjung titah perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Surah al-‘Asr: 3)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H