#2777: Puasa Sunat Isnin Khamis Disekalikan Dengan Puasa Sunat Nabi Daud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya beberapa soalan, bolehkah kalau saya niat puasa sunat Isnin, selepas itu, saya niat puasa sunat nabi Daud pada hari Rabu seterusnya puasa sunat hari Khamis? Kalau ikut, kiraan puasa sunat Nabi Daud dikira dari hari apa? Dan kalau dalam masa seminggu bolehkah puasa sunat isnin khamis dan puasa sunat Nabi Daud disekalikan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami telah menjawab beberapa kali berkenaan dengan isu puasa sunat yang digabung dengan beberapa puasa sunat yang lain atau yang fardhu, antaranya:

Dalam menjawab persoalan di atas, permasalahan ini dikenali sebagai al-tasyrik (التَّشْرِيْكُ) atau al-tadakhul (التَّدَاخُلُ) (menggabungkan dan saling memasukkan) antara ibadat. Salah satu bentuknya adalah sepertimana permasalahan di atas.

Imam al-Ramli menyebut:

وَلَوْ صَامَ فِي شَوَّالٍ قَضَاءً أَوْ نَذْرًا أَوْ غَيْرَهُمَا أَوْ فِي نَحْوِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ حَصَلَ لَهُ ثَوَابُ تَطَوُّعِهَا كَمَا أَفْتَى بِهِ الْوَالِدُ – رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى – تَبَعًا لِلْبَارِزِيِّ وَالْأَصْفُونِيِّ وَالنَّاشِرِيِّ وَالْفَقِيهِ عَلِيِّ بْنِ صَالِحٍ الْحَضْرَمِيِّ وَغَيْرِهِمْ، لَكِنْ لَا يَحْصُلُ لَهُ الثَّوَابُ الْكَامِلُ الْمُرَتَّبُ عَلَى الْمَطْلُوبِ لَا سِيَّمَا مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ وَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا.

Maksudnya: Sekiranya dia berpuasa Syawwal untuk qadha’ atau nazar, atau selain itu, atau puasa Asyura, maka dia memperoleh pahala sunat. Inilah sepertimana yang difatwakan oleh bapa saya rahimahullah dengan mengikuti pendapat al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Akan tetapi, dia tidak mendapat pahala sempurna yang diperoleh sepertimana yang diharapkan. Khususnya orang yang beberapa hari tidak berpuasa Ramadhan, lalu dia menggantinya pada bulan Syawwal.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/209; Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/184)

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صِيَامُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا

Maksudnya: “Puasa yang paling dicintai olehi Allah ‘Azza wa Jalla adalah puasa Daud A.S. Baginda berpuasa satu hari kemudian tidak berpuasa pada keesokannya.”

Riwayat al-Nasa’ie (2344)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, niatlah puasa hari Isnin atau hari Khamis. Berkenaan dengan puasa Nabi Daud, tidaklah perlu anda menyebut kecuali puasa sunat mutlak semata-mata yang bersifat selang sehari. Insya Allah memadai dengan niat anda untuk berpuasa pada hari yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa seperti hari-hari putih iaitu 13,14 dan 15 dalam takwim Hijri.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan melakukan sebanyak-banyaknya amalan sunat sebagai nilai tambah kita dan bekalan pada akhirat kelak. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H