#2778: Bacaan Syahadah Yang Betul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara menyebut dua kalimah syahadah yang betul? Saya bertanya kerana saya pernah terdengar sesetengah orang menyebut ‘MuhammadUrrasulullah’ dan ada juga yang menyebut ‘MuhammadArrasulullah. Ia berbeza pada bunyi huruf ‘u’ dan ‘a’.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Berkenaan persoalan saudara lebih kepada nahu dan tatabahasa Arab. Kedua-duanya betul jika disebut seperti berikut:

Pertama:  أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

Di sini kedudukan مُحَمَّدًا dibaca dengan baris atas kerana ia adalah ism أَنَّ

Kedua: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ

Inilah bacaan yang betul. Saudara boleh merujuk kepada guru-guru bahasa Arab yang mengetahui nahu dengan baik untuk memahaminya dengan lebih baik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H