#2786: Minta Izin Pada Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar bahawa zaman sahabat bila seseorang meminta izin sedang Nabi SAW khutbah nescaya dia mangangkat jarinya lantas, Rasulullah SAW mengizinkannya. Adakah ini terpakai kepada kita juga?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)

Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362)

Siapa yang mempunyai keuzuran yang memerlukan meninggalkan tempat duduk ketika khatib sedang berkhutbah pada hari Jumaat kerana batal wudhuk untuk diambil semula wudhuknya maka dia berhak keluar dari tempat solat atau masjid tanpa perlu meminta izin daripada imam tetapi hukumnya adalah sunat sebagai mana yang dinaskan oleh sebahagian fuqaha.

Di dalam Manhul Jalil (1/444) ada menyebut, “Dan harus keluar orang yang uzur daripada masjid, seperti yang berhadas atau berdarah hidung ketika khutbah untuk menghilangkan tegahannya tanpa perlu meminta izin dari khatib. Ini adalah harus dan ia tidak menafikan bahawa keluar pada masa itu adalah wajib. Akan tetapi, aula meminta izin.”

Di dalam al-Bahr (8/74) pula menyebut Makhul dan al-Zuhri berkata, “Solat Jumaat daripada perkara yang dilakukan secara berjemaah apabila seseorang yang hadir teah datang kepadanya keuzuran seperti darah hidung, maka hendaklah dia minta izin untuk keluar supaya tidak berlaku buruk sangka.”

Ibn Sirin berkata, “Mereka minta izin daripada imam atas mimbar, maka tatkala terlalu banyak kejadian itu, kata Ziyad, ‘Siapa yang menjadikan tangannya pada hidungnya maka hendaklah dia keluar tanpa meminta izin’ Inilah yang berlaku di Madinah.” Sehingga Suhail bin Abi Soleh juga terjadi kepadanya pada hari Jumaat lantas dia minta izin dengan imam.

Justeru, kami katakan minta izin dalam hal sebegini hukumnya sunat bukan wajib, athar yang dinyatakan itu kami tidak menjumpainya kecuali di sisi Abi Hayyan dalam kitabnya Bahru al-Muhith.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H