#2792: Syak Terhadap Najis Yang Tidak Kelihatan Atau Tidak Berbau

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, orang tua saya sering tidak menjirus najis air kencing dengan elok. Oleh itu, setiap kali beliau keluar dari bilik air saya merasa syak samada kakinya yang basah adalah sisa air kencing yang tidak terjirus atau air biasa. Saya menghadapi masalah utk mengetahui kawasan (karpet, tilam, lantai) mana sepatutnya saya basuh kerana saya tidak menghidu bau air kencing bahkan tiada bau pada tempat yang dilalui orang tua saya. Perlukah saya mencuci semua kawasan yang dilaluinya atau ia sekadar waswas sahaja dan tidak perlu dilayan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW :

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan kita menghukum berdasarkan yang zahir bukan hanya syak kerana yang syak tidak boleh menghilangkan yang yakin sebagai mana dalam kaedah yang masyhur. Walaupun begitu, lebih baik saudara wakilkan seseorang dari kalangan keluarga untuk memastikan kebersihan orang tua saudara apabila dia masuk tandas. Sesungguhnya, ini adalah tanggungjawab yang mulia dan menghilangkan wasangka berkenaan dengan kebersihannya.

Berkenaan dengan apa-apa yang tidak pasti atau tidak diketahui yang mungkin berlaku serapan kepada karpet atau tempat-tempat yang didudukinya, selama mana sudah kering dan tidak dapat dikesan lagi maka kami katakan seperti berikut.Manakala apa-apa air yang mungkin terserap di dalam tilam semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah cukup.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa :

لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ

Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)

Kami juga menasihatkan kepada saudara agar menyantuni orang tua dengan sebaik mungkin selagi mana hayat dikandung badan kerana ia adalah pintu keredhaan Allah SWT kepada saudara. Ihsanilah mereka dan rendahkanlah sayap di hadapan mereka sebagaimana firman Allah SWT:

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ‎﴿٢٣﴾‏ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ‎

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 23-24)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita membina keluarga yang baik dan diberkati Allah SWT. Marilah kita berdoa dan bermunajat:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H