#2806: Jumlah Nama-Nama Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah nama Allah SWT ada 99 sahaja?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman-Nya:

‏ وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.

(Surah Al-A’raf: 180)

Menajwab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.”

Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677)

Namun begitu, hadis ini tidaklah memaksudkan bahawa nama Allah SWT terhad kepada 99 nama sahaja.

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Ulama bersepakat bahawa hadis ini tidak menunjukkan batasan jumlah nama-nama Allah. Tidaklah hadis ini bermaksud: Bahawa tiada nama lain selain daripada 99 nama ini. Sesungguhnya maksud hadis ini ialah jika seseorang melakukan ihsa’ (beriman, meyakini dan beramal) dengan 99 nama ini, maka dia akan masuk syurga.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/39)

Berkenaan makna ‘أَحْصَاهَا’, secara ringkasnya, kami berpendapat ia dengan maksud beriman dan meyakini serta beramal.

Sesungguhnya nama-nama Allah SWT tidaklah terbatas bilangannya. Terdapat nama-nama yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ،

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, (aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku,”

(Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud R.A bertanya: “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab: “Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”

Riwayat Ahmad (3583)

Imam al-Khattabi dan selainnya berkata, “Ini menunjukkan bahawa Dia memiliki nama-nama yang Dia rahsiakan. Hal tersebut menunjukkan bahawa  sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, siapa yang membacanya masuk syurga,” bahawa Allah SWT memiliki 99 nama yang apabila ada seseorang yang mengamalkannya, maka dia akan masuk syurga. Sebagaimana seseorang berkata, “Saya memiliki wang seribu dirham yang saya sediakan untuk sedekah”, sedangkan wangnya lebih banyak daripada itu. Dan Allah SWT dalam Al-Quran berfirman, “وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا” (Dan Allah memiliki nama-nama yang agung, maka berdoalah dengannya). Dia memerintahkan agar berdoa dengan nama-namanya yang mulia secara mutlak. Dia tidak mengatakan bahawa namanya cuma 99 nama.” (Dinukilkan dari kitab Majmu’ al-Fatawa, 22/282)

Ibn al-Qayyim pula menjelaskan: Nama-nama Allah yang indah tidaklah terbatas bilangannya. Sesungguhnya Allah memiliki nama dan sifat yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Malaikat yang rapat dengan-Nya pun tidak mengetahui, tidak juga para nabi yang diutuskan, sebagaimana dalam hadis (riwayat Ahmad di atas). Dia telah menjadikan namanya kepada tiga bahagian:

  • Nama yang Dia berikan kepada diri-Nya dan Dia menzahirkan hal itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada malaikat-Nya, dan selain mereka tetapi Dia tidak menyatakannya di dalam kitab-Nya.
  • Nama yang Dia turunkan dalam kitab-Nya untuk mengenalkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, dan;
  • Nama-nama yang Dia rahsiakan pada ilmu ghaib-Nya dan tidak diketahui oleh satu makhluk pun. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, hlm. 176)

Allah (الله) disebut dengan ungkapan ‘لَفْظُ الجَلَالَةِ’ (lafaz yang agung). Inilah nama Allah yang paling agung dan paling tinggi jika dibandingkan dengan semua Nama-Nama Allah yang lain. Nama ini hanya layak digunakan oleh Allah sahaja, tidak seorang pun dari kalangan makhluk-Nya diizinkan menggunakan nama ini. Lafaz yang agung (الله) ini, Allah telah tanamkan ke dalam hati dan lisan setiap insan, walaupun mereka orang-orang yang kafir. Allah SWT berfirman:

 وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.”

(Surah Luqman: 25)

Ibn Kathir menjelaskan: Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan tentang keyakinan orang-orang Arab Musyrikin penyembah berhala di zaman Jahiliyyah, walaupun mereka menyekutukan Allah kerana menyembah selain Allah, yakni berhala, namun mereka tetap mengakui bahawa Zat yang mencipta langit dan bumi adalah Allah Yang Maha Esa, dan tiada sekutu bagi-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/590)

Nama Allah Yang Maha Agung ini (الله) tercakup di dalamnya segala al-Asma’ al-Husna dan Sifat-Sifat yang Maha Tinggi. Oleh itu, jika hamba-Nya berdoa dengan panggilan (اَللَّهُمَّ) yang maknanya (يـَــا اَللهُ), maka itu bermakna dia telah menyeru atau memanggil Allah dengan segala Nama-Nama-Nya Yang Paling Baik (al-Asma al-Husna) dan Sifat-Sifat-Nya Yang Paling Tinggi (al-Sifat al-’Ula), iaitu Sifat-Sifat-Nya yang Zatiyyah dan Sifat-Sifat-Nya yang Fi’liyyah. (Lihat Asma’ Allah al-Husna, hlm. 25) (Lihat Dengan Nama Allah, hlm. 11-15)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menekuni nama-nama Allah SWT dan memahami serta makrifahnya. Hasilnya, semoga iman kita bertambah dan keyakinan kita kepada-Nya. Kami juga mengajak untuk sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445