#2814: Doa Kasih Sayang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat di sana doa untuk kasih sayang terutamanya pasangan suami isteri?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Peri pentingnya doa jelas terbukti dalam kehidupan manusia. Kami  mulakan terlebih dahulu berkenaan takrif dan kepentingan doa.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir: 60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Menjawab persoalan di atas, antara doa yang diajar oleh salafussoleh berkenaan dengan permohonan kepada Allah SWT agar diberi kasih sayang terutamanya pasangan suami isteri sebagai mana yang disebut oleh Abdullah Ibn Mas`ud R.A mengajarkan doa:

اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ

Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.”

Athar yang sahih diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10460-10461). Dianggap sahih oleh al-Albani dalam Adab al-Zifaf, Bab Solat Dua Rakaat Sebelum Melakukan Jimak.

Doa di atas diajarkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.A tatkala seorang lelaki datang menemui beliau dan berkata: “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dara tetapi aku amat takut kalau-kalau dia membenci aku.” Maka berkata Abdullah: “Sesungguhnya kemesraan itu datangnya daripada Allah, dan kebencian itu datang daripada Syaitan, kerana Syaitan itu akan mendatangkan benci pada apa yang Allah halalkan, maka ketika kamu mendatangi isteri kamu, arahkan dia untuk bersolat di belakang kamu (yakni jadi makmum) sebanyak dua rakaat.”

Kemudian Abdullah bin Mas’ud R.A pun mengajarkan doa seperti yang telah disebutkan di atas. (Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf, 10461 dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, 17156)

Penutup

Betapa pentingnya kasih sayang, rahmah dan sakinah dalam kehidupan sehingga menjadi salah satu tanda kekuasaan Allah SWT kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Rum:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata, “Penjelasan al-Quran yang lemah-lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik. Seolah-olah gambaran ini diambil dalam lubuk hati dan perasaan supaya kamu tenang tenteram bersamanya. Dan Dia jadikan di antara rasa kemesraan, cinta dan kasih sayang.”

Kami katakan bahawa para ulama telah membincangkan isu cinta sejak manusia bermula di muka bumi. Ramai orang cuba mentakrifkan cinta tetapi kami tertarik dengan pandangan Ibn al-Qayyim yang berkata, “Cinta itu mempunyai dua perkara. Pertamanya, dia mahu orang yang dia cinta mendapat segala kehendaknya dan keduanya dia mahu segala musibah, bala dan keburukan dihindarkan daripada orang yang dia cintainya.” Kalau ini berlaku, maka itulah hakikat sebenar cinta.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT dan munajat kepada-Nya:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445