#2831: Tidak Melaksanakan Solat Jumaat Disebabkan Tinggal Berjauhan Dengan Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang guru di pedalaman di Sarawak, bolehkah saya bertanya satu soalan mengenai solat Jumaat? Seperti Dr sedia maklum bahawa sesi persekolahan di Sarawak adalah bermula hari Isnin hingga Jumaat. Untuk hari Jumaat, jadual mengajar terakhir saya adalah pada jam 10:50-11:20. Saya pula ditempatkan untuk berkhidmat di pedalaman yang memerlukan tempoh masa selama dua jam lebih untuk tiba ke masjid (di pekan). Hal ini memandangkan kerana, di kampung ini tiada penduduk yang beragama Islam melainkan diri saya dan seorang guru perempuan  . Oleh itu, adakah saya berdosa sekiranya saya tidak dapat menunaikan solat fardhu (solat Jumaat) tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyebutkan: Wahai orang-orang yang beriman, jika dikumandangkan azan kedua untuk melaksanakan solat ketika khatib duduk di atas mimbar pada hari jumaat, maka berjalanlah untuk melaksanakan solat dan mendengarkan khutbah, kerana di dalamnya disebut nama Allah. Tinggalkanlah kegiatan berjual-beli  dan semua hal yang menyibukkan kalian dari solat. Usaha untuk melaksanakan solat dan meninggalkan jual-beli itu lebih baik daripada kesibukan dunia dan bermuamalah dengannya. Di dalamnya terdapat pahala yang begitu besar jika kalian mengetahui hakikat dua hal iaitu kebaikan dan keburukan. maka lakukanlah,  Jika kalian mengetahui bahawa hal itu adalah kebaikan (Lihat al-Wajiz,hlm.55) 

Diriwayat daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” 

Riwayat Abu Dawud (1067)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat diwajibkan untuk menghadiri solat jumaat adalah seperti berikut:

  • Islam
  • Baligh
  • Merdeka
  • Lelaki
  • Sihat Tubuh badan
  • Menetap di tempat yang didirkan solat Jumaat (Lihat Fiqh al- Manhaji,1/201)

Dalam isu ini kami katakan saudara tidak diwajibkan untuk solat jumaat disebabkan tidak memenuhi syarat yang diwajibkan untuk melakukan solat jumaat kerana saudara menetap di kawasan yang tidak didirikan solat jumaat dan tidak mendengar laungan azan. Solat Jumaat hendaklah dilakukan secara berjemaah dan bilangan minima jemaah adalah seramai 40 orang penduduk tempatan yang bermastautin mengikut pandangan mazhab Syafi’e. Tambahan lagi, saudara berada jauh daripada masjid yang mengambil masa dua jam untuk ke sana. Maka dengan situasi yang dinyatakan, kami berpandangan saudara tidak diwajibkan untuk mendirikan solat jumaat kerana keadaan saudara termasuk dalam golongan yang diberi keuzuran oleh syara’ namun, wajib  ke atas  saudara mendirikan solat zohor.

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji mengenai isu ini bahawa antara syarat wajib menghadiri solat Jumaat adalah tinggal ditempat yang didirikan solat Jumaat maka, tidak diwajibkan melaksanakan solat Jumaat bagi orang yang menetap di tempat di mana solat Jumaat tidak sah sekiranya dilakukan di situ, seperti di kampung yang tidak mempunyai empat puluh penduduk tetap yang tidak mempunyai sebarang keuzuran dan tidak mendengar suara azan dari kawasan atau kampung yang mendirikan solat Jumaat (Lihat Fiqh al-Manhaji,1/201)

Diriwayatkan daripada Toriq Bin Syihab bahawa Rasulullah SAW bersabda:

  الجمعةُ حقٌّ واجبٌ على كلِّ مسلمٍ في جماعةٍ إلّا أربعةً عبدٌ مملوكٌ أو امرأةٌ أو صبيٌّ أو مريضٌ.

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki muslim secara berjamaah kecuali empat golongan iaitu hamba yang dimiliki, atau perempuan, atau kanak-kanak, atau orang yang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067)

Justeru kami katakan, tidak mengapa bagi saudara untuk meninggalkan solat jumaat disebabkan keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ namun, wajib menunaikan solat zohor seperti biasa. Allah SWT tidak membebankan hambanya dalam melaksanak ibadah kepadanya sebagaimana firmannya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,”

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a`lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445