#2838: Pesakit Meminta Bantuan Untuk Diwudhu’kan

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, bolehkah seorang pesakit di wad hospital meminta bantuan untuk diwudhu’kan? Mohon pencerahan

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, seorang pesakit juga perlu melakukan perkara yang sama seperti orang yang sihat dalam bab taharah dan juga membersihkan diri daripada hadas kecil dan hadas besar. Dia harus berwudhu bagi hadas kecil dan mandi wajib jika dia berhadas besar. Jika dia tidak mampu berwudhu sendiri, maka orang lain boleh membantu mewudhu’kannya.

Al-Buhuti berkata: menyatakan dalam “: “Jika seseorang ditemui dengan kecacatan yang tidak membolehkannya berwudhu’, seperti kekurangan tangan atau seumpamanya, atau seorang pesakit yang tidak mampu berwudhu’ sendiri, maka orang lain yang boleh berwudhu’ hendaklah mewudhu’kan bagi mereka, atau memandikan mereka dengan upah yang sewajarnya jika mampu.” (Lihat Kassyaf al-Qina’, 1/103)

Oleh itu, seseorang boleh meminta orang lain membantunya berwudhu’ seperti membawa air kepadanya atau mencurahkan air ke atas anggota wudhu’nya. Bahkan orang yang membantu itu boleh meratakan air pada anggota wudhu’ orang yang memerlukan bantuan tersebut.

Hal ini sebagaimana riwayat daripada  al-Mughirah bin Syu’bah R.A, katanya:

أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، وَأَنَّهُ ذَهَبَ لِحَاجَةٍ لَهُ، وَأَنَّ مُغِيرَةَ «جَعَلَ يَصُبُّ المَاءَ عَلَيْهِ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ، وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ، وَمَسَحَ عَلَى الخُفَّيْنِ»

Maksudnya: “Sesungguhnya beliau pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam satu permusafiran. Baginda pergi membuang air. (Selepas itu) Mughirah menuang air untuk baginda semasa baginda berwuduk. Baginda membasuh wajahnya, kedua tangannya, menyapu kepalanya dan menyapu kedua khuf”  

Riwayat al-Bukhari (182) dan Muslim (274)

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk hadith “بَابٌ: الرَّجُلُ يُوَضِّئُ صَاحِبَهُ”, iaitu ‘bab seseorang membantu temannya berwuduk’.

Hadith ini menunjukkan bolehnya untuk kita meminta bantuan orang lain semasa berwudhu’. Adapun menyapu atau meratakan air pada anggota wuduk dengan bantuan orang lain, sesetengah ulama’ memakruhkannya jika tiada keperluan berbuat demikian. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/509)

Al-Syaukani berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa meminta bantuan daripada orang lain untuk berwudhu’ adalah dibenarkan, walaupun sesetengah fuqaha’ memakruhkannya. Dalam kitab al-Bahr, disebutkan: “Menggunakan air yang disiram oleh orang lain adalah dibolehkan menurut kesepakatan para ulama, karena mereka pernah menyiram air ke atas Nabi SAW ketika baginda berwuduk.” Al-Ghazali dan beberapa ulama’ mazhab Syafi’i yang lain menyatakan bahawa penggunaan bantuan orang lain dalam berwudhu’ hanya dibenarkan dalam situasi ketika kesulitan melipatkan kedua tapak tangan. Namun, Ibn al-Salah menolak pandangan ini dan menyatakan: “Hadith ini menunjukkan bahawa penggunaan bantuan orang lain dalam berwudhu’ adalah diizinkan secara mutlak, kerana Rasulullah SAW juga membasuh wajah baginda ketika berwudhu’ dengan bantuan orang lain yang menuangkan air ke atasnya.” Sebahagian fuqaha’ yang lain pula juga menyebutkan bahawa bantuan ini terjadi semasa dalam perjalanan safar dan niatnya adalah untuk tidak tertinggal dari rombongan. (Lihat Nail al-Autar, 1/221)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang pesakit yang tidak mampu berwudhu’ dengan sendirinya hendaklah dibantu oleh orang lain untuk mewudhu’kan bagi pihak pesakit seperti membawa air kepadanya atau mencurahkan air ke atas anggota wudhu’nya dan seumpamanya. Selain itu, jika sebahagian anggota wudhu’ pesakit tersebut dibalut dengan pembalut, hendaklah diratakan semburan air pada bahagian anggota wuduk yang masih terbuka dan juga pada pembalut yang menutupi anggota wudhu’nya itu.

Allah SWT tidak membebankan hambanya yang sakit dan mempunyai kesukaran dengan memberikan jalan keluar terhadapap permasalahan tersebut. Hal ini sesuai dengan kaedah yang berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Kami syorkan juga terutamanya di hospital agar diwujudkan pasukan sukarela bagi membantu pesakit yang ingin melaksanakan ibadat seperti isu wudhu’ dan solat. Semoga Allah SWT ganjari pahala yang besar atas usaha seperti ini. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a`lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445