#2845: Jual Beli Burung Hantu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu membeli burung hantu  bagi tujuan menjinakkannya untuk menjaga tanamannya daripada haiwan perosak seperti tikus dan seumpamanya? Adakah sah jual belinya itu? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, burung hantu termasuk dalam jenis haiwan yang haram dimakan di sisi jumhur ulama kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang mempunyai kuku mencengkam dan memburu dengannya. Larangan ini adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Dawud (3803)

Kami telah membahaskan berkenaan hukum memakannya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Memakan Burung Hantu.” Bolehlah merujuknya bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan.

Jual beli burung hantu

Pada asasnya, dalam perkara jual beli, sesuatu yang hendak dijual beli mestilah bermanfaat dan boleh diambil manfaatnya. Hal ini kerana mazhab-mazhab telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan menjual binatang buas dan burung, sekiranya tidak boleh diambil manfaatnya dalam apa jua keadaan pun. Sekiranya ia termasuk dalam jenis yang boleh diambil manfaat, maka harus untuk menjualnya kecuali babi kerana ia adalah najis. Justeru, tidak boleh mengambil menfaatnya dan begitu juga tidak boleh menjualnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/154).

Begitu juga pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan, barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syarak dan uruf (kebiasaan). Maksud pada adatnya, manfaat barangan tersebut menjadi tujuan jual beli dan dibenarkan oleh syara’. Dengan ini, tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan atau manfaatnya tidak menjadi tujuan jual beli diadakan. Demikian juga dengan peralatan yang melalaikan yang manfaatnya tidak dibenarkan oleh syara’. Sebabnya, membayar sesuatu untuk mendapat sesuatu yang tidak bermanfaat adalah perbuatan yang membazir. Rasulullah SAW sendiri melarang pembaziran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya.

Riwayat al-Daraqutni (2815); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan al-Daraqutni (2815) menilainya sebagai sahih.

Imam al-Nawawi menjelaskan hadith di atas dengan menyebutkan, hadith ini difahami jika tujuan makanan itu dijual adalah untuk dimakan. Berbeza halnya jika tujuan menjual benda itu bukan untuk dimakan seperti jual beli hamba, baghal, keldai jinak kerana hukum memakannya (ketiga-tiga perkara ini) adalah diharamkan, akan tetapi dibolehkan untuk menjualnya dengan sepakat para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/3).

Jelaslah bahawa ketiga-tiga benda tersebut iaitu hamba, bangal dan keldai jinak sekalipun haram untuk memakannya tetapi dibolehkan untuk jual beli kerana ia boleh diambil manfaat daripadanya. Justeru, larangan daripada mengambil manfaat dengan cara memakannya, tidak semestinya ia turut dilarang daripada diambil manfaat dengannya dengan cara lain (selain memakannya).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini juag ada menyatakan bahawa menjual haiwan-haiwan yang boleh diambil manfaat daripadanya seperti harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal, lebah untuk tujuan mendapatkan madu dan seumpamanya adalah dibenarkan dan sah jual beli tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/342). Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini mempunyai manfaat menurut adat dan dibenarkan oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Dalam erti kata lain, semua haiwan yang disebutkan di atas, diharuskan untuk jual beli kerana adanya manfaat yang boleh diambil daripada haiwan-haiwan tersebut sekalipun ia adalah binatang buas. Berkenaan hal ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, di antara syarat barang jualan ialah:

النَّفْعُ فَلَا يَصِحُّ بَيْعُ الْحَشَرَاتِ، وَكُلِّ سَبُعٍ لَا يَنْفَعُ

Maksudnya:Bermanfaat. Justeru, tidak sah menjual hasyarat dan semua binatang buas yang tidak ada manfaat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 94).

Kemudian, ‘Umairah telah menjelaskan lagi perkataan Imam al-Nawawi di atas dengan menyebutkan bahawa ‘tidak sah menjual hasyarat’ yang tidak ada manfaatnya. Manakala lafaz “لَا يَنْفَعُ” (tidak ada manfaat) pula adalah seperti tidak boleh dimakan, tidak boleh digunakan sebagai alat komunikasi,[1] tidak boleh digunakan dalam peperangan, tidak boleh dilatih atau diajar dan tidak sesuai untuk memikul barangan. (Lihat Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 2/198).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jual beli burung hantu adalah dibenarkan dan sah jika boleh dimanfaatkan bagi tujuan menjaga tanaman daripada binatang perosak seperti tikus dan seumpamanya.

Sekalipun begitu, keharusan jual beli ini juga tertakluk kepada undang-undang sesebuah negara seperti di Malaysia, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memelihara dan memilikinya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi, atau disyaratkan mesti mempunyai lesen bagi dibolehkan membelanya. Jika terdapat undang-undang seperti itu, maka ia hendaklah dipatuhi. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Hal ini kerana pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Lebih-lebih lagi, tidak dapat dinafikan bahawa burung hantu termasuk dalam jenis burung yang diancam kepupusan. Maka, ia bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar iaitu kepupusan burung hantu. Seterusnya menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] Seperti burung merpati untuk menghantar mesej dan lain-lain.

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445