#2870: Bersumpah Untuk Menjadi Kafir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf bertanya atas kemusykilan saya. Bagaimana jika seseorang bersumpah sebagai contoh “Aku jatuh kafir jika masuk ke rumah itu“. Sumpah dilafazkan dalam keadaan marah ketika selisih faham keluarga. Jika beliau masuk juga ke dalam rumah tersebut, adakah sah lafaz jatuh kafir tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Hukum Bersumpah Untuk Menjadi Kafir

Pernyataan “Jika saya melakukan perbuatan ini, maka saya kafir” adalah perkataan yang munkar, dan tidak boleh bagi seseorang Muslim untuk mengucapkannya, dan tidak boleh bagi yang bersumpah seperti itu untuk berpegang terhadap sumpah yang dikatakan.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah  berkata: “Namun jika dia membuat pernyataan yang diharamkan seperti, ‘Jika aku melakukan ini, maka aku telah menghina al-Quran‘ atau hal serupa dengannya, maka menurut kesepakatan para ulama, ini tidak berlaku untuknya. Dan dia diwajibkan kaffarah untuk pernyataan sumpah tersebut. Begitu juga jika seseorang mengikat dirinya dengan suatu hukum yang tidak sah untuk diikat, seperti mengatakan, ‘Jika saya melakukan ini, maka saya akan menjadi seorang Yahudi atau Nasrani,‘ maka ini tidak boleh diikat sebagai bentuk kekafiran, meskipun dia bermaksud demikian, kerana ini akan menjadi tindakan kafir yang disengajakan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 33/203).

Justeru, kesan daripada sumpah tersebut tidak menjadikan dia seorang yang kafir. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata lagi:”Jika seseorang bersumpah dengan kekafiran dan mengatakan, ‘Jika dia melakukan ini, maka dia bebas daripada Allah dan Rasul-Nya, atau dia menjadi seorang Yahudi atau Nasrani,’ maka dia tidak kafir disebabkan oleh tindakan yang dikenakan sumpah ke atasnya, meskipun hukum ini diikat dengan syarat dalam kata-kata, karena maksudnya dalam sumpah adalah membenci dan menjauhkan diri daripada perbuatan itu, bukannya dengan niat tersebut.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/91).

Selain itu, pada asasnya, sesiapa yang melanggar sumpah yang disumpahkan, wajib membayar kaffarah sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 89)

Syeikh Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Namun begitu, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’, adakah orang yang melakukan sumpah tersebut dikenakan kaffarah atau pun tidak. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa sumpah semacam ini adalah perkataan biasa dan tidak memerlukan kaffarah, kerana ini bukanlah sumpah yang sah. Namun, sebahagian ulama’ yang lain berpendapat bahawa wajib membayar kaffarah sumpah atas sumpah tersebut.

Ibn Rusyd al-Maliki berkata: “Para ulama berbeza pendapat tentang orang yang berkata, ‘Aku kafir kepada Allah, atau Aku menjadi penyekutu kepada Allah, atau ‘Aku Yahudi atau Nasrani jika aku lakukan ini,’ dan kemudian dia benar-benar melakukan perkara tersebut, adakah dia perlu membayar kaffarah atau tidak? Malik dan al-Syafi’i berpendapat bahawa tidak dikenakan kaffarah dan ini bukanlah sumpah. Manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa ini adalah sumpah dan perlu ada kaffarah jika sumpah itu dilanggar. Pendapat yang sama juga disokong oleh satu pendapat daripada Imam Ahmad bin Hanbal.

Sebab perbezaan pendapat ini adalah kerana perbezaan pendapat mereka mengenai sama ada sumpah boleh diambil dalam semua perkara yang dihormati atau hanya untuk sumpah atas nama Allah sahaja. Kemudian, jika ia terjadi, adakah sumpah itu sah atau tidak? Bagi yang berpendapat bahawa sumpah itu adalah sumpah yang sah, maka ia dikira sebagai bersumpah dengan Allah dan nama-nama-Nya. Manakala bagi mereka mengatakan bahawa tidak perlu kepada kaffarah kerana sumpah seperti ini bukanlah sejenis sumpah. Tetapi bagi mereka yang berpendapat bahawa sumpah yang diambil ini dikira sumpah dengan apa yang diagungkan oleh syara’ dan kehormatannya, maka ia memerlukan kepada kaffarah, kerana bersumpah dengan menghormati sama seperti bersumpah dengan meninggalkan penghormatan. Hal ini kerana jika penghormatan wajib diberikan, maka ia tidak boleh ditinggalkan, sama seperti jika seseorang bersumpah bahawa sesuatu adalah kewajipan Allah atasnya, maka dia mesti mematuhinya, begitu juga jika dia bersumpah untuk meninggalkan kewajipannya, maka dia mesti memenuhinya. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/410)

Justeru, dalam hal ini, pendapat yang menyatakan perlunya membayar kaffarah sumpah adalah pendapat yang jelas dan juga merupakan pendapat yang lebih berhati-hati.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Apabila seseorang berkata, ‘Dia Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi, atau bebas daripada Islam, atau komunis. Sekiranya dia berbuat demikian dan demikian,’ adakah hukumnya adalah hukum sumpah, atau hanya ucapan semata? Sebahagian ulama berpendapat: Hukumnya adalah hukum sumpah, kerana perkara-perkara ini adalah perkara yang tidak disukai menurut pandangannya. Oleh itu, melakukan tindakan seperti ini dan membencinya dianggap sama seperti membenci seseorang menjadi Yahudi, Nasrani, komunis, atau yang serupa dengannya. Oleh itu, hukumannya adalah hukum haram, iaitu mengharamkan yang halal. Justeru, diperlukan baginya untuk melakukan kaffarah sumpah. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab, dan pendapat ini diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma dan para salaf lain. Sebahagian ulama berkata: Tidak ada kaffarah atasnya, kerana ini bukan sumpah, dan tidak termasuk dalam makna yang disebut dalam sumpah. Namun, yang tepat adalah hukumnya adalah hukum sumpah. (Lihat al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’, 15/155).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sesiapa yang bersumpah untuk menjadi kafir, maka dia tidak menjadi kafir sebagaimana hujjah yang kami kemukakan di atas. Namun begitu, dalam hal ini dia perlu membayar kaffarah sumpah dengan membebaskan hamba yang beriman atau memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin atau berpuasa selama tiga hari, dan ini adalah pendapat yang tepat dan lebih berhati-hati dalam kalangan ulama’ berkenaan isu ini.

Kami menasihati bagi mereka yang suka bersumpah dan bermain-main dengan sumpah, supaya meninggalkan perbuatan bersumpah seperti ini yang menyebabkan kesusahan pada diri sendiri dan juga kesan yang tidak baik kepada pegangan hidup dalam beragama ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445