Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apa itu definisi ulama yang sebenar dan bagaimana kita mengenalinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ
Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”
(Surah Fatir: 28)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan:
Takrif Ulama’
Alangkah baiknya kita mengetahui takrif ulama pula sebagai tambahan kepada ilmu:
- Ulama ialah yang mengenali syariah Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
- Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (3/327).
- Ulama ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram. Lihat I’lam al-Muwaqi’in (1/7).
- Ulama ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(Surah al-Sajdah: 24)
- Ulama ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
- Ulama ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
- Ulama ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.
Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali ‘Imran: 18)
Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:
- Dengan ilmu mereka.
- Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
- Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
- Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
- Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
- Ulama dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak sayugia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”
Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati.
Saya tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika saya berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal (عمل) dan natijah dari pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama’ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445