#2920: Menziarahi Kubur Suami dalam Tempoh ‘Iddah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah seorang isteri tidak boleh langsung melawati kubur seorang suami setelah meninggal dunia selagi tidak cukup 4 bulan 10 hari?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Nisa’: 234)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum ihdad (berkabung) bagi si isteri. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ 

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”

Riwayat Muslim (938)

Bagi menjawab persoalan yang diajukan, kami bawakan beberapa nas yang pada terdapat tegahan untuk para isteri yang dalam tempoh ‘iddah untuk keluar daripada rumah, serta perintah untuk mereka tetap di dalam rumah sehinggalah tamat tempoh ‘iddah tersebut.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Furay‘ah binti Malik R.Anha, bahawa dia telah bertemu Rasulullah SAW untuk bertanya sekiranya dia dibenarkan untuk pulang ke pangkuan ahli keluarganya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda SAW:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: “Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan.”

 Riwayat Abu Dawud (2300) dan al-Tirmidzi (1204)

Diriwayatkan pula daripada Ummu Habibah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berihdad (berkabung) di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)

Imam Abu Ishaq al-Syirazi menyebutkan, Ihdad (الْإِحْدَادُ) itu adalah dengan meninggalkan berhias-hias. Maka wanita itu tidak boleh memakai barangan kemas, memakai wangian, menghiasi diri dengan inai, , dan tidak bercelak dengan ithmid atau Sabir (cairan dari pokok Myrrh yang telah mengeras). Sekiranya ada keperluan untuk bercelak, dia dibenarkan untuk bercelak hanya pada waktu malam, dan membasuhnya pada waktu siang. Wanita itu juga tidak boleh memakai pakaian berwarna merah atau biru terang. Dan dia juga tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali jika adanya keperluan, dan tidak boleh keluar dengan adanya keperluan pada waktu malam. Dan dibolehkan untuk wanita yang kematian suaminya untuk keluar pada siang hari untuk menunaikan hajatnya. (Lihat al-Tanbih, 1/201)

Imam al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan, wanita dalam ‘iddah yang tidak mendapat nafkah dan tidak ada sesiapa yang boleh membantunya untuk mendapatkan keperluannya, maka dibolehkan untuk dia keluar dari rumah pada waktu siang seperti untuk membeli makanan atau menjual sesuatu (untuk mendapatkan wang) kerana adanya keperluan. 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada jabir bin Abdillah R.A, katanya:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ ﷺ فَقَالَ:‏ بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan (dengan talak 3). Dia ingin keluar untuk menguruskan kebun tamarnya, kemudian seorang lelaki (yang bertembung dengannya) menegahnya. Selepas itu, ibu saudaraku mengadu kepada Nabi SAW, lantas Baginda bersabda: ‘Keluarlah dan uruskanlah kebun tamarmu. Mudah-mudahan kamu dapat bersedekah daripadanya atau melakukan kebaikan’.”

Riwayat Muslim (1483), Abu Dawud (2297), al-Nasa’ie (3550), Ibn Majah (2034) dan Ahmad (14444)

Dinukilkan daripada Imam al-Syafi‘i, katanya bahawa kebun tamar orang-orang Ansar itu berdekatan dengan kediaman mereka, dan menguruskan kebun itu kebiasaannya tidak dilakukan melainkan pada waktu siang. Sekiranya tidak boleh menguruskannya kecuali pada waktu malam, maka boleh bagi mereka keluar waktu malam. Adapun wanita yang memperoleh nafkah ketika ‘iddahnya, maka mereka ini tidak boleh untuk keluar rumah kecuali dengan izin atau kerana dharurat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/106)

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, tegahan untuk wanita dalam ‘iddah kematian suami keluar daripada rumah sekiranya:

  • tidak ada keperluan yang mendesak untuknya
  • atau wanita tersebut boleh mendapatkan keperluannya dengan bantuan orang lain
  • atau dia menerima nafkah daripada sesiapa yang sudi memberikan kepadanya.

Akan tetapi, sekiranya dia tidak mempunyai kesemua yang disebutkan di atas, dan keluar daripada rumah merupakan satu-satunya cara untuk mendapatkan hajat dan keperluannya, maka dibenarkan.

Melihat kepada persoalan utama yang diajukan pula, menziarahi kubur suami bukanlah suatu keperluan yang mendesak sehingga memerlukan wanita dalam ‘iddah kematian suami keluar daripada rumah secepat mungkin, maka tidak boleh untuk dia keluar dari rumah hanya untuk menziarahi kubur semata-mata. Sebaiknya, dia perlu tunggu sehingga tempoh ‘iddahnya tamat jika ingin menziarahi kubur suami tersebut.

Sekiranya memang ada keperluan untuk menziarahi kubur suami tersebut, tetapi boleh ditunda dahulu sehingga tamat ‘iddah, maka yang terlebih utama adalah menyempurnakan ‘iddah 4 bulan 10 hari. 

Ini bersesuaian dengan kaedah yang menyebutkan:

إِذَا تَزَاحَمَتِ الْوَاجِبَاتُ قُدِّمَ الْمُضَيَّقَ عَلَى الْمُوَسَّعِ، وَالْفَوْرِيِّ عَلَى التَّرَاخِي، وَالْأَعْيَانَ عَلَى الْكِفَايَةِ لِأَنَّ التَّضْيِيقَ فِي الْوَاجِبِ يَقْتَضِي اهْتِمَامَ الشَّرْعِ بِهِ وَكَذَلِكَ الْمَنْعُ مِنْ تَأْخِيرِهِ بِخِلَافِ مَا جُوِّزَ تَأْخِيرُهُ

Maksudnya: “Jika terdapat banyak kewajiban (yang mesti dikerjakan), maka didahulukan yang waktunya sempit daripada yang waktunya luas, didahulukan yang segera daripada yang anjal, didahulukan yang fardhu ‘ain daripada yang fardhu kifayah, kerana yang waktunya sempit memerlukan perhatian Syariat terhadapnya, demikian larangan daripada menundanya, berbeza dengan yang boleh ditunda.” (Lihat al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah, 3/183)

Bahkan larangan keluar rumah ini selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi wanita yang ber‘iddah kerana kematian suami. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:  

  • Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  • Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardhu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudharatan tersebut hilang atau dapat diatasi.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh ‘iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
  • Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  • Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  • Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
  • Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat. [1]

Semoga dengan penerangan ringkas ini, kita akan lebih cakna tentang kewajipan ‘iddah yang telah digariskan oleh syara‘. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dan kekuatan untuk mengikuti setiap perintah Syariat Islam dalam mencapai keredhaan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahu a‘lam

 

[1]  Lihat https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami. Diakses pada 24 Ogos 2023.

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445