#2937: Kelebihan Ibu Bapa yang Anaknya Menghafal al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat kelebihan bagi ibu bapa yang mana anaknya menghafaz al-Quran? Benarkah terdapat hadith berkenaan syafaat penghafaz al-Quran? Dan apakah status hadith-hadith tersebut. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya).”

(Surah al-Qamar: 17)

Daripada Uthman R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5027)

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

Maksudnya: “Seseorang yang tidak mempunyai sebarang al-Quran pun di dalam hatinya adalah umpama sebuah rumah kosong (yang terbiar usang).”

Riwayat al-Tirmizi (2913)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith-hadith yang berkaitan dengan isu di atas seperti berikut:

Daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ، فَأَحَلَّ حَلاَلَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ بِهِ الْجَنَّةَ، وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، كلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan menzahirkannya, iaitu dengan menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga, dan akan dapat memberikan syafa’at pertolongan terhadap 10 daripada keluarganya, yang mana semuanya sudah ditentukan masuk ke dalam neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (2905) dan Ibn Majah (216)

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini gharib dan tidak diketahui (jalurnya) melainkan daripada jalur ini. Ia tidak mempunyai sanad yang sahih serta padanya Hafs bin Sulaiman yang didha’ifkan dalam meriwayatkan hadith.
  • Imam al-Baihaqi menyatakan Hafs bin Sulaiman bersendiri (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini dan dia seorang yang dha’if dalam meriwayatkan hadith. (Lihat Syu’ab al-Iman, 2/3804)
  • Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Hafs bin Sulaiman adalah seorang matruk (ditinggalkan) dalam meriwayatkan hadith. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/323)

Maka, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith ini teramat lemah dan perawinya telah dihukum dha’if oleh para ulama’.

Namun, terdapat hadith berkenaan kelebihan yang diberikan kepada ibu bapa kerana disebabkan merekalah anak itu mempelajari al-Quran.

Daripada Mu’az bin Anas al-Juhani R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari Kiamat, kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota yang cahayanya lebih indah daripada cahaya matahari yang menyinari rumah-rumah kamu. Kalaulah hal itu terjadi pada diri kalian, bagaimana halnya terhadap yang mengerjakannya?”

Riwayat Abu Daud (1241) dan Ahmad (15645). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnad hadith ini dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Daripada Buraidah al-Aslami R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا ، فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ؟ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا ، فَهُوَ فِي صُعُودٍ ، مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Kemudian diletakkan di atas kepalanya mahkota kewibawaan. Kedua ibu bapanya juga dipakaikan dua perhiasan yang keindahan dunia tidak sebanding dengannya. Kedua ibu bapanya pun bertanya: “Kerana apa kami dipakaikan ini?” Dijawab: “Kerana anak kamu berdua yang telah mengambil (mempelajari/menghafal dll) al-Quran. Kemudian diperintahkan kepada keduanya untuk terus naik di tangga syurga dan (melihat) kamar-kamarnya. Mereka akan terus naik selama anaknya masih tetap membaca al-Quran.”

Riwayat Ahmad (22950), al-Darimi (3391), al-Bazzar (4421) dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (30668). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menyatakan isnadnya hasan dan padanya terdapat mutaba’at dan syawahid.

Penutup

Marilah sama-sama kita mendidik anak kita untuk mencintai al-Quran, membaca dan menghafaznya. Di samping itu, agar dapat memahami makna dan maksud al-Quran al-Karim. Kerana ia adalah kalam Allah yang mempunyai pelbagai kelebihan terutamanya sebagai hidayah kepada kita semua.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445