#2942: Gantung Pakaian dalam Tandas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah di sana terdapat larangan menggantung atau meninggalkan pakaian dalam tandas bagi mengeringkannya kerana sebagaimana kita ketahui tandas merupakan tempat syaitan dan boleh jadi ia akan buat sesuatu pada pakaian tersebut? Ini kerana kebiasaannya orang ramai akan meninggalkan dan menggantung  tuala basah mereka di dalam tandas sebelum keluar. Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan bahawa tandas merupakan tempat tinggal syaitan, lebih-lebih lagi ia adalah tempat yang dikaitkan dengan kotor dan najis. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi ketika membahaskan mengenai hadith larangan untuk menunaikan solat dalam tandas, dan menyatakan di antara sebab dilarang solat di tandas adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan. Beliau menegaskan:

وَالْأَصَحُّ أَنَّ سَبَبَ النَّهْيِ كَوْنُهُ مَأْوَى الشَّيَاطِينِ فَتُكْرَهُ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَتَصِحُّ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Pendapat yang paling sahih bahawa sebab larangan (solat di tandas) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka (hukum solatnya) makruh tanzih (yang tidak membawa kepada dosa) namun solatnya adalah sah.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/166).

Dalam menjawab soalan di atas, sekelompok ulama menyatakan bahawa tempat mandi atau tandas di mana orang ramai menunaikan hajat mereka (iaitu buang air) adalah tempat tinggal syaitan. Oleh itu, manusia tidak sepatutnya berlama-lama di dalamnya kecuali dalam kadar yang diperlukan bagi menunaikan hajat tersebut. Terdapat riwayat daripada Zaid bin Arqam, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْخَلَاءَ، فَلْيَقُلْ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tandas-tandas ini sering dikunjungi oleh syaitan. Oleh itu, apabila seseorang daripada kamu pergi ke sana, hendaklah dia mengucapkan: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan jantan dan syaitan betina.’

Riwayat Abu Dawud (6)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, lafaz “الْحُشُوشَ” adalah kata jamak kepada perkataan “حَشَّ” yang bermaksud tandas. Asalnya ia bermaksud himpunan pokok kurma di sekelilingnya. Kemudian, perkataan ini digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada tempat buang air besar, kerana orang dahulu sering buang air besar di antara pokok-pokok kurma sebagaimana disebutkan oleh ulama yang mensyarahkan hadith ini. Menurut al-Tibi, husy (حُشٍّ) dengan dibaca baris depan merujuk kepada tempat buang air besar, manakala hasy (حَشَّ) dengan dibaca baris atas merujuk kepada kebun-kebun kurma kerana sebelum adanya tandas di rumah-rumah mereka, mereka biasanya buang air besar di kebun-kebun kurma.

Manakala lafaz “مُحْتَضَرَةٌ” pula bermaksud dengan dihadiri oleh jin dan syaitan-syaitan yang bersedia untuk menyakiti anak-anak Adam dan memudaratkan mereka kerana ia merupakan tempat terbukanya aurat dan tidak disebutkan nama Allah di dalamnya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/386).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Ali Jumu‘ah, mantan Mufti Mesir mengatakan bahawa tidak ada kaitan antara bilik mandi (tandas), najis, dan meninggalkan pakaian di dalam tandas. Beliau menegaskan lagi bahawa hukumnya tidak makruh. Begitu juga tidak ada yang sahih dalam desas-desus yang berlegar-legar dalam kalangan orang ramai tentang perkara ini.

Bahkan beliau bertanya kembali, “Dari mana asal perkataan ini?” Beliau menekankan bahawa banyak pernyataan semacam itu yang tersebar dan tidak memiliki dasar kebenaran, serta menjelaskan bahawa meninggalkan pakaian di dalam tandas atau bilik mandi yang berada di dalam rumah adalah tidak mengapa sama sekali. Kemudian, beliau menegaskan juga bahawa pakaian yang diharamkan untuk dipakai ialah pakaian yang terkena najis.[1]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa meninggalkan dan menggantungkan pakaian basah di dalam tandas. Hal ini kerana tidak ada larangan mengenai hal tersebut. Jadi, ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Apatah lagi, saranan dan perintah agar manusia tidak berlama-lama dalam tandas kerana ia tempat tinggal syaitan adalah merujuk kepada manusia itu sendiri agar mereka tidak diganggu oleh syaitan-syaitan tersebut, ditambah lagi di situ merupakan tempat terdedahnya aurat dan tidak disebutkan nama Allah. Atas dasar itu, kita diperintahkan untuk memohon perlindungan kepada Allah daripada mereka sebelum memasuki tandas. Adapun menggantung atau meninggalkan pakaian di dalamnya tidak ada kaitannya sama sekali dengan hal ini. Bahkan ia adalah sekadar dakwaan dan sekadar cerita yang tersebar dalam kalangan orang ramai semata-mata serta tidak ada dalil yang menyokong mahupun mengesahkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://www.elbalad.news/5527291. Diakses pada 25 Ogos 2023.

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445