#2947: Imam Melaungkan Azan dan Iqamah, Kemudian Mengimamkan Solat

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang imam, melaungkan azan, kemudian dia melaungkan iqamah, dan seterusnya menjadi imam dalam solat? Hal ini kerana saya dapati di tempat kita, biasanya kalau orang itu melaungkan iqamah, dia tidak akan menjadi imam. Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tidak disyaratkan orang tertentu untuk melaungkan azan. Sekiranya terdapat seorang lelaki muslim melakukan azan untuk solat, maka gugur kewajiban azan untuk penduduk setempat. Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Dan apabila tibanya waktu solat, maka hendaklah salah seorang daripada kamu mengumandangkan azan, dan yang menjadi imam adalah yang paling tua usianya di antara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (628) dan Muslim (674)

Para ulama menyebutkan beberapa syarat muazin dan perkara yang dianjurkan. Syarat   muazin adalah muslim, berakal dan lelaki, yang mana tidak sah azan jika syarat ini tidak dimiliki.

Ibnu Qudamah mengatakan: “Tidak sah azan, kecuali jika dia adalah orang Islam yang berakal dan lelaki. Sekiranya kafir atau gila, maka tidak sah azan tersebut. Hal ini kerana keduanya bukan termasuk pelaku ibadah. Tidak dianggap sah juga azan seorang wanita, kerana dia bukan termasuk yang disyariatkan untuk melaungkan azan. Sepengetahuan kami, hal ini tidak ada perbezaan  pendapat kalangan para ulama’.” (Lihat al-Mughni, 1/249).

Adapun perkara yang dianjurkan dan digalakkan adalah muazzin hendaklah bersuara elok dan sedap, amanah, adil, mengetahui waktu serta sudah baligh.

Ibnu Qudamah mengatakan, “Dianjurkan seorang muazzin itu adil, amanah dan baligh. Hal ini kerana dia termasuk yang diberi amanah yang urusannya terkait pelaksanaan solat dan puasa. Hal ini kerana dia dipercayai untuk menguruskan solat dan puasa, maka tidaklah sesuai baginya untuk menipu mereka dengan panggilan azan jika sebenarnya tidak berlaku.  Di samping, azan (pada zaman dahulu) dilakukan di tempat yang tinggi (Menara), sehingga (jika tidak punya sifat amanah) dikhawatirkan hal tersebut akan dijadikan kesempatan untuk melihat aurat.”  (Lihat al-Mughni, 1/249).

Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: “Sifat-sifat yang dianjurkan dimiliki muazin; iaitu dianjurkan mempunyai sifat adil karena dia diberi amanah untuk menentukan waktu dan juga menghindarkan daripada memandang aurat. Adapun azannya orang fasiq dianggap sah tetapi makruh. Dianjurkan bersuara merdu. Berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Abdullah bin Zaid:

فَقُمْ مَعَ بِلَالٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ

Maksudnya: “Maka berdirilah bersama Bilal dan tiru apa yang kamu lihat, kerana suara  dia lebih bagus berbanding engkau.”

Riwayat Abu Dawud (499)

Hal ini kerana suara yang bagus lebih memberikan pengaruh dalam hal informasi. Dianjurkan bagi orang melaungkan azan itu faham dan mengetahui waktu-waktu solat agar dia dapat menentukan waktunya dan melaungkan azan pada awal waktu. Maka orang yang normal lebih utama dibandingkan dengan orang buta, kerana orang buta tidak mengetahui bila masuknya waktu solat.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 2/368)

Perlu diambil perhatian di sini, jika terdapat sebuah masjid yang sudah memiliki muazzin tetap untuk lima waktu solat, maka tidak ada seorang pun yang boleh merampas haknya dalam melaungkan azan, atau melakukan perlakuan zalim terhadapnya. Oleh itu, jika ada seseorang yang ingin menggantikan azan tersebut, perlu mendapatkan izinnya terlebih dahulu.

Imam melaungkan Azan dan Iqamah, Kemudian Mengimamkan Solat

Imam dibolehkan melaungkan azan, mendirikan solat, dan memimpin jemaah pada masa yang sama. Ini disebabkan semua tindakan ini adalah tindakan ketaatan dan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. Tiada masalah dalam perkara ini.

“Al-Hattab berkata: ‘Sesiapa yang mengupah seseorang untuk melaungkan azan, melaungkan iqamah, mendirikan solat, dan memimpin mereka dalam solat, itu adalah dibenarkan. Seperti jika upah diberikan hanya untuk panggilan azan, iqamah, dan mengimamkan di masjid, bukan atas pelaksanaan solat itu sendiri. (Lihat Mawahib al-Jalil, 1/455)

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu’: “Para muslim bersepakat bahawa adalah dibenarkan untuk muazzin untuk menjadi imam dan ini adalah disunatkan (istihbab). Penulis al-Hawi berkata: Di dalam kedua-dua panggilan azan dan imamah terdapat keutamaan. (Lihat al-Majmu’, 3/80)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Imam dibolehkan melaungkan azan, mendirikan solat, dan memimpin jemaah pada masa yang sama dan ini sangatlah digalakkan (istihbab). Ini disebabkan semua tindakan ini adalah tindakan ketaatan dan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah dan tiada masalah dalam perkara ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445