#2964: Dakwah Kepada Orang Yang Panas Baran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana pula cara untuk kita berdakwah kepada orang yang panas baran dan nak kepada perhatian kita sebagai guru?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik,”

(Surah Al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab kami Syarah Hadis 40, hlm. 155-158:

Daripada Abi Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

أَوْصِنِي، قَالَ: لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Wasiatkan kepadaku. Sabda Baginda: “Janganlah marah.” Kemudian beliau berulang kali bertanya. Sabda Baginda: “Janganlah marah.”

Riwayat al-Bukhari (6116)

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Pertama: Akhlak muslim sebenar ialah yang mempunyai sifat yang mulia, lemah lembut, merendah diri dan kasih kepada manusia, serta tidak menyakiti manusia yang lain. Di samping itu juga, dia dapat menahan dirinya ketika marah kepada orang lain dan bermanis muka dalam semua keadaan.

Kedua: Orang yang pemarah adalah orang yang berjiwa lemah dan rapuh, manakala orang yang mampu menahan marah adalah orang yang berjiwa kuat dan kukuh. Ukuran kuat dan lemahnya seseorang tidak dilihat daripada kemampuannya dalam memukul ataupun menendang tetapi dilihat sejauh mana dia mampu menahan hawa nafsu ketika sedang marah.

Ketiga: Imam al-Ghazali berkata: “Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.”

Keempat: Adapun maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda dalam hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.”

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: “Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang dalam kalangan kamu marah maka hendaklah dia berwuduk.”

Kelima: Emosi kita harus matang terlebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan tersalah langkah dan perkara yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita berasa akan bersalah dan cemas kerananya.

Keenam: Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat. Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Ketujuh: Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap sudah tentu kita akan kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperolehi dari pengalaman sebelumnya. Ketidakmampuan untuk mengakui batas-batas kemampuan kita atau mengenali punca yang menjadi pencetus emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.

Kelapan: Luqman al-Hakim menasihati anaknya seraya berkata: “Hai anakku, tiga perkara tidak diketahui kecuali pada tiga keadaan. Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah, orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang dan sahabat sejati tidak diketahui kecuali ketika berhajat.”

Kesembilan: Pujangga berkata: “Jangan marah, sebab marah hanya akan merosakkan keadaan jiwa, mengubah perilaku, memburukkan pergaulan, merosakkan cinta dan memutuskan tali silaturahim.”

Kesepuluh: Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Lelaki tersebut datang menuntut daripada Nabi SAW untuk berwasiat kepadanya supaya beliau dapat memelihara diri daripada terjatuh ke lembah dosa. Jawapan Nabi SAW dengan jangan marah’ adalah kerana marah itu himpunan segala kejahatan dan menghindari himpunan segala kebaikan. Ada pendapat menyatakan lelak tersebut bernama Jariah Bin Qudamah. Tetapi pendapat ini tidaklah kuat.”

Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Sesungguhnya syaitanlah yang mendorong kepada kemarahan, kerana setiap orang yang menginginkan perkara yang terpuji, maka syaitan akan menahannya dan menjauhkannya merupakan أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّحِيمِ) dari keredaan Allah. Ucapan isti’azah senjata yang paling kuat untuk menolak tipu daya syaitan.” “

Ketahuilah, banyak kesilapan yang terjadi dalam hidup sehingga kadang-kadang membawa ke tahap membunuh berlaku disebabkan kemarahan yang di luar kawalan.

Antara doa Nabi SAW ialah:

أَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الحَقِّ فِي الغَضَبِ والرِّضَا

Maksudnya: “Aku bermohon kepada-Mu kalimah yang sebenar ketika marah dan juga redha.”

Riwayat al-Nasa’ie (1305) dan Ahmad (18351)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445