#3006: Isteri Membuat Ta’liq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya mengenai lafaz talak. Sebelum ini saya pernah berbual dengan suami tentang isu kahwin dua. Kemudian saya pernah berkata, sekiranya dia ada perempuan lain atau berkahwin lain, saya nak chow(pergi). Kemudian saya tanya suami, tahu tidak apa maksud bila saya cakap chow tu? Dia jawab cerai sayang? Soalannya, adakah jatuh talak sekiranya dia berkata begitu? Sedangkan dia tiada niat menceraikan saya dan cuma memberi jawapan kepada soalan saya. Hubungan kami pun baik baik sahaja dan memang tiada niat kami berdua untuk berpisah. Sekadar meluahkan perasaan seorang isteri yang tak sanggup dimadukan. Soalan kedua, sekiranya isteri berkata saya nak pergi kalau awak ada perempuan lain, suami menjawab pergilah, adakah itu dikira lafaz ta’liq? Sahkah lafaz ta’liq yang dibuat oleh isteri? Terima kasih ustaz.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Taʻliq  ialah  suami menggantungkan talaq kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

  • Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
  • Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
  • Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ

Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Riwayat al-Hakim (2/49)

Kesan daripada Talak Ta‘liq

Talak ta‘liq akan menyebabkan perkara-perkara berikut:

  • Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan engkau tercerai.
  • Talak jatuh sebaik-baik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1504: Lafaz Talak Ta‘liq Boleh Ditarik Balik Jika Darurat?[1]

#1654: Lafaz Talak Bersyarat[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia tidak menjadi ta’liq kerana ia dibuat oleh si isteri. Walhal, suami sahaja yang memegang kuasa talak. Namun bagi persoalan kedua, sekiranya yang dimaksudkan oleh si suami “pergilah” itu talak, maka ketika itu terjadilah talak ta’liq. Akan tetapi, jika ia sekadar bermaksud pergi sahaja tanpa niat cerai, maka tidak jatuh talak.

Akhir kalam, kami ingin mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar tidak bermudah-mudah dengan talak sama ada secara langsung, tidak langsung (kinayah) mahupun dengan ta‘liq. Suami terutamanya janganlah menggunakan senjata talak terhadap isterinya. Sementelahan lagi tindakan yang disyaratkan itu, bertentangan dengan agama, perkara yang remeh-temeh, dan perkara yang mesti dilakukan secara mendesak. Apabila kita ta’liqkan seperti itu sudah tentu kita menyempitkan keluasan yang Allah telah kurniakan kepada kita. Sesungguhnya bermudah-mudah dengan ta’liq adalah sifat yang tidak baik dan boleh mengundang kerosakan rumah tangga dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya:Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

 Surah al-Baqarah (229)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

[1] https://maktabahalbakri.com/1504-lafaz-talak-taliq-boleh-ditarik-balik-jika-darurat/

[2] https://maktabahalbakri.com/1654-lafaz-talak-bersyarat/

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445