#3016: Adakah Terdapat Puasa Sunat Hari Gelap/Hitam?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tahu ada ke puasa hari gelap/hitam? ada kenalan bagitau ianya puasa sunat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa sunat ialah puasa yang tidak diwajibkan, akan tetapi disunatkan berdasarkan sunnah Nabi SAW dan amalan Nabi SAW. Antaranya seperti puasa Isnin Khamis dan waktu-waktu yang lain.

Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.

Kami kemukakan di sini dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.

Antara jenis puasa sunat ialah:

  • Puasa pada Hari Arafah

Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya:Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

Riwayat Muslim (1162)

Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan  hadith, Rasulullah SAW bersabda:

 مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

 Maksudnya:Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.

 Riwayat Muslim (1338)

Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.

  • Puasa pada Hari Asyura’ dan Tasu’aa’

Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.

Riwayat al-Bukhari (1900) dan Muslim (1130)

Hadith yang lain pula, daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Maksudnya:Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

Riwayat Muslim (1162)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

 لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

 Maksudnya:Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.

Riwayat Muslim (1134)

 Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut.

Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.

 

  • Puasa pada Hari Isnin dan Khamis

Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ

 Maksudnya:Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.

Riwayat al-Tirmizi (745)

Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya:Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.

Riwayat al-Tirmizi (747)

  • Puasa Selama Tiga Hari pada Setiap Bulan

Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih      (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya:Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.

Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)

Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ

Maksudnya:Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1162)

 Hadith yang lain pula, daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya:Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.”

Riwayat al-Tirmizi (761)

 Begitu juga hadith, daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.

Riwayat Abu Daud (2449)

Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.

  • Puasa Selama Enam Hari pada Bulan Syawal

Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya:Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Berkenaan dengan soalan di atas, nas tidak menunjukkan ke arah itu, sebaliknya terdapat puasa hari-hari putih. Hari-hari putih ialah hari di mana bulan penuh mengikut takwim kalendar Islam. Justeru, hari-hari putih ialah hari 13, 14 dan 15 setiap bulan Qamariyyah dan bukan bulan Masihi. Disunatkan berpuasa pada hari putih berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 hari bulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”

Riwayat Abu Daud (2449)

Berdasarkan kenyataan di atas bahawa yang sunat berpuasa adalah selama 3 hari iaitu hari di mana bulan mengambang penuh, inilah yang dimaksudkan dengan hari putih.

Mafhum daripada nas ini, puasa waktu lain tidak kecuali bagi mereka yang melazimi seperti puasa selang sehari seperti puasa Nabi Daud.

Akhir kalam kami katakan puasa adalah amalan yang mulia. Nabi bersabda kepada Abu Uumamah:

‏ عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لاَ عِدْلَ لَهُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu banyakkan berpuasa, kerana tiada yang sebanding dengannya.”

Riwayat al-Nasa’ie (2204) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1466). Dinilai sahih dalam Sahih al-Nasa’ie (2221)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445