#3020: Membayar Fidyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berasal Dari Johor. Masa sekolah Saya tidak puasa selama 1 bulan (iaitu 30 hari). Saya hendak bayar tahun 2023. (2×30=60)x39thn =RM2340. Boleh ke Saya bayar fidyah ini kepada anak-anak saya yang susah. Minta pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama, puasa adalah wajib untuk ditunaikan. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (183)

Saya suka tegaskan di sini bahawa berbuka puasa secara sengaja tanpa uzur syar’i termasuk dalam dosa besar dan menerima ancaman daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Saya kemukakan dua hadith:

  • Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عُرَى الإِسلامِ وَقَوَاعِدُ الدِّين ثلاثَةٌ: عَلَيهِنَّ أُسِّسَ الإسلامُ، مَن تَرَكَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ فَهُوَ بِهَا كَافِر ٌحَلاَلُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أن لا إلهَ إلاَّ الله والصلاةُ الْمَكتُوبَةُ وَصَومُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka ia dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadhan.”

Riwayat Abu Ya’la (2349) dan al-Dailami. Imam al-Haithami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawa’id (1/47-48): Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Akan tetapi, ia hanya menyebutkan tiga sahaja dan tidak menyebutkan riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadith ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/382) berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan.

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَومًا مِنْ رَمَضَانَ، في غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخِّصَهَا الله لَهُ لَمْ يَقْضٍ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ كُلُّهُ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadhan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Riwayat Abu Daud (2396), Ibn Majah (1672) dan al-Tirmizi (723)

Berdasarkan dua hadith di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadhan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Apabila meninggalkan puasa wajib maka hendaklah diqadha’ dan itulah yang utama. Bayar puasa ini, yang seafdhalnya adalah dengan berpuasa. Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.”

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Berkenaan langkah tahun dalam mazhab al-Syafi’i terdapat gandaan, dan ada menyebut tidak digandakan. Dalam isu di atas, anda telah memilih cara yang ihtiyat (lebih berhati-hati).

Selain itu, dalam isu di atas juga, kami syorkan agar berilah kepada yang lain. Kerana anak itu adalah di bawah tanggungan anda. Maka sepatutnya itulah yang lebih baik.

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445